Monday, May 31, 2004

Pemilihan secara telus

Oleh Zulkifli Abdullah (WARTAWAN UTUSAN)


SISTEM meritokrasi yang diperkenalkan oleh kerajaan dalam Dasar Pendidikan Negara sejak tahun 2002 terbukti mampu mempertingkatkan kualiti pembelajaran pelajar-pelajar Melayu.

Dengan itu, ia mampu melenyapkan segala salah tanggapan atau kebimbangan di kalangan pemimpin mahu pun masyarakat Melayu bahawa kemungkinan sistem tersebut membuatkan generasi pelajar kaum berkenaan akan tercicir dalam arus pendidikan moden.

Bagaimanapun, mereka kini boleh menarik nafas lega apabila mendapati bilangan kemasukan pelajar bumiputera semakin meningkat selepas ada `arus desakan yang kuat' untuk mereka berusaha bersungguh-sungguh bagi menjejakkan kaki di menara gading.

Ini kerana menerusi sistem meritokrasi, mereka yang gagal mencapai kecemerlangan akan terus tercicir apabila kerajaan tidak lagi menggunakan sistem kuota berdasarkan kaum untuk meneruskan pengajian di peringkat tinggi.

Pada tahun ini, kemasukan pelajar bumiputera ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi sesi akademik 2004/ 2005 ialah sebanyak 24,837 berbanding 23,182 pada tahun lalu.

Seperti lazimnya persaingan sengit untuk mendapat tempat bagi program-program pengajian kritikal seperti perubatan, pergigian, farmasi dan undang-undang terus berlaku.

Apa yang menarik kali ini ialah tindakan Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) yang buat pertama kalinya mendedahkan bilangan calon yang terpilih ke program-program berkenaan berdasarkan kaum.

Sejak meritokrasi dilaksanakan isu mengenai jumlah tempat yang diperuntukkan kepada sesuatu kaum terutama bagi program kritikal terus dipertikaikan.

Ini turut mengheret kewibawaan pelaksanaan program matrikulasi yang dikatakan tidak mempunyai skema penggredan sama seperti peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Kononnya, lulusan matrikulasi dianggap begitu mudah untuk memasuki IPTA yang sekali gus seolah-olah menutup peluang kepada lulusan STPM.

Pengarah JPT, Prof. Datuk Dr. Hassan Said menegaskan program matrikulasi telah diiktiraf di seluruh dunia malah pelajarnya diterima oleh institusi pengajian tinggi di United Kingdom, Ireland dan Amerika Syarikat.

Dengan itu, tegasnya, isu kualiti pelajar matrikulasi tidak harus dipertikaikan apatah lagi jika ia membabitkan `keistimewaan' sesuatu kaum kerana program berkenaan kini sudah terbuka kepada semua kaum di negara ini.

Malah Hassan menegaskan, apa perlunya membangkitkan isu berkenaan sedangkan yang lebih utama untuk dilihat ialah hasil pembelajaran dari kedua-dua sistem akademik itu.

Jika dilihat daripada perangkaan yang dikeluarkan oleh JPT, jumlah pelajar Melayu yang layak untuk mengikuti pengajian dalam bidang sains iaitu seramai 24,678 sedangkan jumlah yang ditawarkan hanya 14,497 atau 58.7 peratus.

Sedangkan bagi bidang yang sama untuk pelajar Cina, peratusan jumlah pengambilannya agak tinggi iaitu 84.0 peratus atau 8,047 orang berbanding jumlah yang layak ialah sebanyak 9,577.

Manakala bagi pelajar keturunan India pula peratusan pengambilannya juga lebih tinggi daripada pelajar Melayu iaitu 60.2 peratus iaitu jumlah yang ditawarkan ialah 1,118 daripada sebanyak 1,858 yang layak.

Kemungkinan ini berlaku kerana tahap pencapaian pelajar Melayu dalam bidang sains belum lagi setaraf dengan pelajar bukan Melayu.

Dalam memperkatakan mengenai sistem meritokrasi, kedengaran juga suara-suara sumbang yang berasa tidak puas hati hingga menganggapnya tidak telus dan menyebelahi kaum-kaum tertentu sahaja.

Semua pihak harus bersikap terbuka dengan sistem ini yang mahukan pendidikan negara lebih kompetitif ke arah mengejar kecemerlangan, gemilang dan terbilang.

Dengan itu, sewajarnya tidak ada pihak-pihak tertentu yang bersikap skeptikal dengan kecemerlangan dicapai oleh kaum-kaum tertentu seolah-olah mereka tidak dapat menerima hakikat erti sistem meritokrasi.

Begitu juga kejayaan kelompok masyarakat tertentu menjejakkan kaki ke menara gading tidak harus menjadi isu politik sebaliknya mereka harus menerima hakikat itu.

Apa yang pasti, kejayaan jumlah yang ramai pelajar dari satu-satu kaum tertentu memasuki IPTA tidak harus melihat kejayaan itu hingga memuatkan mereka mendabik dada dan berasa puas akan apa yang mereka capai.

Mereka mesti ingat bahawa sistem meritokrasi ini bukanlah satu penilaian statik malah ia akan dinilai berdasarkan kepada pencapaian calon secara keseluruhan tanpa mengira kaum.

Andainya mereka leka dan kejayaan memasuki IPTA dengan jumlah yang ramai pada tahun ini, tidak mustahil angka itu akan bertukar pada tahun-tahun depan.

Sistem pendidikan yang bersikap terbuka ini sebenarnya mahukan setiap pelajar terus mengejar kecemerlangan dan persaingan sihat ini tidak harus dijadikan kemelut politik.

Seperti mana menjadi fokus perbincangan di kalangan ahli-ahli akademik, soal kuantiti bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan malah soal kualiti merupakan perkara pokok yang harus diberi perhatian serius.

Kita tidak mahu pelajar bumiputera hanya menang dari segi kuantiti tetapi akhirnya pada penghujung pengajian bilangan yang mendapat ijazah kelas pertama hanya dapat dibilang dengan jari.

Seperti mana peringatan yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa pencapaian akademik universiti tempatan masih belum mencapai tahap membanggakan di rantau ini harus menerjah pemikiran pelajar di menara gading.

Pelajar universiti harus menyahut cabaran ini dengan lebih gigih berusaha supaya kecemerlangan mereka setaraf dengan lulusan universiti di rantau ini mahu pun dunia.

Ini penting sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju berdasarkan wawasan keramatnya, Wawasan 2020 yang diyakini akan tercapai sebelum tempoh tersebut

Utusan Malaysia::31/5/04

No comments: