Oleh ENGKU AHMAD ZAKI ENGKU ALWI
Allah yang bersifat Maha Pemurah dan Maha Penyayang telah menganugerahkan pelbagai nikmat kepada hamba-hamba-Nya di atas muka bumi ini. Akan tetapi kurniaan aneka nikmat tersebut tidak dapat dihitung oleh sesiapa pun.
Antara kurniaan nikmat yang tiada ternilai harganya ialah nikmat kesihatan. Dengan kesihatan ini, manusia dapat menjalani kehidupan dengan aman sentosa. Dengan kesihatan juga, manusia dapat melakukan kerja dan aktiviti harian dengan lancar dan baik. Begitu juga dengan kesihatan yang menghiasi seseorang, dia dapat melakukan ibadah kepada Allah Taala dengan sempurna. Demikianlah tingginya nilai kesihatan yang mewarnai serinya kehidupan orang Islam.
Akan tetapi, ada manusia yang alpa dan leka dek kesihatan yang menyerikan hidupnya hinggakan dia tidak menghargai betapa mahalnya nilai kesihatan dalam kehidupannya. Dia tidak sedar dan insaf betapa sihat itu juga sebahagian daripada detik kehidupan yang dia lalui.
Dalam hal ini, Rasulullah ada memberi peringatan tentang kesihatan ini di mana baginda bersabda yang bermaksud: Ada dua jenis nikmat yang banyak melekakan ramai manusia; iaitu nikmat sihat dan nikmat masa lapang. (Hadis riwayat Bukhari)
Kebanyakan manusia hanya menyedari betapa mahalnya nilai kesihatan apabila mereka ditimpa kesakitan atau ditimpa penyakit. Dalam keadaan ini, barulah mereka menginsafi betapa kesihatan amat penting agar aktiviti kehidupan mereka tidak tergendala.
Perlu diingat bahawa maksud kesihatan ini menurut perspektif Islam bukan hanya terhad kepada kesihatan lahiriah atau jasmaninya sahaja, malahan ia juga turut mencakupi kesihatan batin atau rohani.
Hakikat ini menepis sama sekali kesilapan persepsi umat Islam yang hanya menekankan kepada kesihatan jasmani semata-mata dengan mengabaikan aspek kerohanian yang amat penting dalam menentukan kesudahan nasib setiap umat Islam.
Begitu juga, Islam menolak pandangan sebahagian umat Islam yang hanya menitikberatkan kesihatan rohaninya sahaja tanpa mengambil berat akan aspek kesihatan jasmani. Justeru itu, Islam adalah addin yang seimbang dalam urusan duniawi dan ukhrawi.
Kalaulah begini kepentingan kesihatan dalam kehidupan orang Islam, maka kita melihat betapa Islam dari awal-awal lagi telah memberi perhatian yang serius dalam isu kesihatan ini. Jika diperhatikan secara halus, kita dapati Islam menyediakan garis panduan yang lengkap kepada umatnya tentang kesihatan dari segi penjagaan, pengekalan dan pengawalannya.
Sehubungan dalam hal ini, apabila kita cuba membelek-belek kitab fikah sebagai contoh, maka kita akan menemui bab yang pertama ialah berkaitan tentang Taharah iaitu kesucian. Dalam bab ini, Islam telah mensyariatkan kepada setiap umat agar mengambil wuduk sebelum menunaikan solat lima waktu dan sebagainya. Begitu juga disyariatkan mandi untuk kebersihan diri dan juga bersugi untuk kebersihan gigi.
Ini bermakna bahawa kebersihan dan kesucian diri adalah asas yang penting ke arah kesihatan jasmaninya. Bahkan kebersihan dan kesucian diri ini juga adalah antara sifat-sifat utama bagi orang yang bertakwa dan juga layak mendapat mahabbah iaitu kasih sayang Ilahi.
Seterusnya, Islam terus menunjukkan keprihatinannya dalam hal kesihatan ini dengan memberikan panduan dan petua ke arah penjagaan kesihatan yang berterusan. Antaranya sabda Rasulullah yang bermaksud: Lima amalan ini daripada fitrah iaitu mencukur bulu di bahagian kemaluan, berkhatan, menggunting misai, mencabut bulu ketiak dan mengerat kuku. (Hadis riwayat Bukhari)
Begitu juga apabila kita hendak menghadap hidangan makanan, maka Islam menganjurkan kita membersihkan tangan terlebih dahulu.
Di samping itu, Islam juga menggalakkan kita agar melakukan aktiviti-aktiviti kecergasan badan seperti berenang, memanah dan menunggang kuda. Aktiviti ini hendaklah disesuaikan dengan peredaran dan keadaan masa kini berdasarkan kemampuan yang sedia ada pada setiap individu seperti bersenam, berjoging, bermain bola sepak, mendaki bukit dan sebagainya. Yang pentingnya, kita dapat mengembalikan kecergasan tubuh badan di samping dapat mengekalkan kesihatan pada setiap masa.
Selain itu, Islam telah mengharamkan beberapa jenis makanan yang perlu dijauhi seperti arak, dadah, bangkai dan lain-lain lagi. Ini penting kerana Allah Maha Mengetahui betapa makanan tersebut membawa lebih banyak kemudaratan kepada manusia berbanding dengan manfaat yang sedikit.
Oleh sebab itulah, Allah Taala mengharamkan makanan tersebut bagi kebaikan dan kesihatan manusia itu sendiri. Hal ini telah dirakamkan oleh Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 219 yang bermaksud: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat kepada manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya.
Segala perkara yang terkandung dalam tegahan-tegahan tersebut ialah perkara-perkara yang menjadi punca bagi penyebaran penyakit-penyakit di kalangan orang Islam kerana orang awam selalu mengabaikannya dalam kehidupan mereka seharian.
Oleh itu Islam telah menggariskan kaedah-kaedah tertentu sebagai mengawal kesihatan penduduk sesuatu tempat iaitu bila berlaku satu-satu wabak penyakit yang berjangkit di satu-satu tempat, maka penduduk di tempat itu hendaklah dilarang keluar dan masuk dengan maksud supaya wabak tersebut tidak merebak ke kawasan yang lebih besar.
Dalam hal ini, Rasulullah telah bersabda maksudnya: Jika kamu dengar berita suatu wabak taun berlaku di satu-satu tempat maka janganlah kamu memasuki tempat itu dan jika ia sedang berlaku di tempat kamu maka janganlah kamu keluar darinya. (Hadis riwayat Bukhari)
Di samping itu, Islam menggalakkan umatnya di tempat yang terkena wabak itu agar terus tinggal di tempat tersebut kerana menjadi kebiasaan kepada kebanyakan orang untuk menyelamatkan diri dan juga melarikan diri dari tempat tersebut. Akibat dari tindakan mereka itu biarpun untuk kepentingan diri sendiri, namun ia membawa bala bencana kepada seluruh negara dan umat lain.
Mungkin ada orang yang nekad hendak memasuki negeri-negeri yang ditimpa wabak berjangkit dengan hujah, takutkan penyakit merupakan tanda kelemahan iman atau lari daripada takdir. Padahal tindakan dan fahaman seumpama ini adalah salah menurut perspektif Islam.
Pernah tercatat dalam sejarah Islam bahawa Sayidina Umar al-Khattab menolak pemergiannya ke negeri Syam tatkala berlakunya wabak taun di sana. Lalu ada orang berkata kepadanya: ``Adakah tuan hendak lari dari takdir Tuhan?'' Ujar Sayidina Umar: ``Kita lari dari takdir Tuhan kepada takdir Tuhan.''
Jelas daripada kisah di atas bahawa berikhtiar, bertawakal dan berusaha dengan menggunakan sebab-sebab itu adalah suatu perkara yang dituntut Islam. Apa yang telah dinyatakan dan dilakukan oleh Sayidina Umar termasuk dalam pengertian takdir.
Dalam erti kata lain, Islam memerintahkan umatnya supaya berwaspada dan mengawal diri dari tempat penyakit berjangkit menular. Sehubungan itu, Rasulullah bersabda maksudnya: Tidak sepatutnya orang yang sakit mengunjungi (bergaul dengan) orang yang sihat. (Hadis riwayat Bukhari)
Demikianlah antara garis panduan Islam yang serba lengkap berkenaan kesihatan dari sudut penjagaan, pengekalan dan pengawalannya serta kepentingannya dalam hubungan seseorang Islam terhadap Allah Taala dan hubungan seseorang Islam sesama seagama.
Utusan Malaysia:: Jumaat 29/4/2005
Friday, April 29, 2005
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment