Friday, April 29, 2005

Mencari rezeki secara halal tanda syukuri nikmat Tuhan

Bicara Jumaat: Mencari rezeki secara halal tanda syukuri nikmat Tuhan


AHAD ini, kita akan menyambut Hari Pekerja. Dalam Islam orang yang bekerja bagi mendapat keredaan Allah akan mendapat balasan baik di dunia dan akhirat. Jelas, Islam menuntut umat bekerja bagi memenuhi tuntutan diri sendiri, keluarga, masyarakat, bangsa dan negara keseluruhannya. MOHD SHUKRI HANAPI membicarakan persoalan kerja mengikut perspektif Islam.



MENGIKUT al-Qardawi (1998:48), perkataan kerja atau amal memberi pengertian yang agak luas iaitu segala tindakan atau perbuatan yang dilakukan, baik atau buruk, manfaat atau mudarat.

Perkataan kerja juga membawa maksud daya usaha yang dilakukan oleh manusia dalam keadaan sedar sama ada secara bersendirian atau bersama orang lain untuk menghasilkan suatu barangan atau khidmat.

Kamus Dewan (1997:654) pula mendefinisi 'kerja' atau 'bekerja' antaranya melaku atau menjalankan sesuatu atau pelbagai usaha (kegiatan, urusan dan tugas) bagi menghasilkan sesuatu.

Kesimpulannya, ia dapat diertikan pergi ke tempat kerja dan menjalankan tugas serta tanggungjawab sama ada di pejabat, kilang, atau tempat tertentu untuk memperoleh pendapatan dan keredaan Allah.

Bekerja dan berusaha mencari rezeki menjadi suatu aturan tabii manusia untuk terus hidup bagi memenuhi keperluan dan tuntutan hariannya. Ia bererti bekerja adalah suatu perkara yang sangat dituntut oleh Allah untuk membolehkan umat manusia memakan rezeki .Secara tidak langsung menjadi mekanisme memakmurkan bumi ini.

Hal ini bertepatan dengan konsep penciptaan manusia itu sendiri sebagai khalifah di bumi. Allah berfirman bermaksud: “Dialah yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segenap penjurunya dan makanlah sebahagian daripada rezeki-Nya." (Surah al-Mulk, ayat 15)

Firman-Nya lagi bermaksud: "Wahai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada Tuhan bagi kamu selain-Nya. Dia telah menciptakan kamu dari bumi (tanah) dan memerintahkan kamu supaya memakmurkannya." (Surah Hud, ayat 61).

Berdasarkan ayat di atas, kerja adalah tugas yang tidak dapat dielakkan dan tanggungjawab agama. Malah, sebarang usaha mencari rezeki yang halal adalah fardu ain.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas'ud bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Mencari sesuatu yang halal adalah satu fardu selepas menunaikan fardu (sebelumnya)."

Allah mengurniakan kekuatan rohani dan jasmani kepada umat manusia. Salah satu tujuannya membolehkan mereka bekerja mencari rezeki halal. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa berusaha dan kuat bekerja sebagai tanda mensyukuri nikmat kurniaan Allah.

Bagi orang yang hanya berpeluk tubuh tanpa melakukan sebarang pekerjaan pula, sama seperti pesakit yang mengharapkan sembuh, tetapi tidak mahu mengikut nasihat doktor atau makan ubat (sebagai tanda berusaha).

Allah berfirman bermaksud: "Wahai manusia, sesungguhnya engkau sentiasa berpenat-lelah (menjalankan keadaan hidupmu) dengan sedaya upayamu hingga (ketika engkau) kembali kepada Tuhan-mu, kemudian engkau tetap menemui balasan apa yang engkau telah usahakan itu (tercatat semuanya)." (Surah al-Insyiqaq, ayat 6).

Dalam firman Allah itu ada tiga perkara yang berkait rapat dengan kerja iaitu:-


Allah mengajar dan menjana semangat manusia supaya kuat bekerja.


Allah menggesa manusia supaya rajin berusaha dan bekerja bersungguh-sungguh dengan mengikut ajaran yang betul dan diredai-Nya.


Allah menggesa umat manusia supaya bekerja untuk membolehkan mereka mengecapi kebahagiaan, sama ada di dunia dan akhirat.

Oleh itu, setiap pekerjaan yang dilakukan oleh manusia mesti mencerminkan tiga perkara berkenaan.

Ada pun perbuatan mencuri, merompak, memeras ugut, menipu, skim cepat kaya dan sebagainya, tidak termasuk pekerjaan yang dimaksudkan dalam firman Allah itu. Hal ini kerana dalam semua perbuatan itu wujud unsur kezaliman dan penganiayaan yang jelas tidak diredai Allah.

Bagi tujuan membawa umat kepada perkembangan dan pembangunan yang pesat, maka kaedah bekerja yang sihat hendaklah sentiasa diikuti. Kadang kala akibat terdorong dengan perasaan tamak dan haloba ingin cepat kaya, seseorang tidak fikirkan lagi kaedah bekerja yang dianjurkan Islam. Mereka sanggup melaburkan beribu-ribu ringgit melalui pelaburan skim cepat kaya, menipu, merompak dan sebagainya.

Sesuatu pekerjaan yang dilakukan itu tidak akan terlepas daripada kesukaran dan kesulitan. Bagaimanapun ia bukan alasan untuk kita membiarkan masa berlalu begitu saja dan tidak diisi dengan sebarang pekerjaan. Sebaliknya, harus diingat bahawa bersama-sama kesukaran atau kesulitan itu ada kesenangannya.

Perlu diingatkan juga bahawa Allah menciptakan waktu pada tempatnya yang tinggi sehingga manusia dikatakan-Nya rugi jika tidak memanfaatkan waktu. Tegasnya manusia tidak seharusnya membuang masa kerana ia boleh mendatangkan kerugian dan kemunduran.

Justeru, manusia dikehendaki sentiasa bersiap sedia untuk melakukan kerja lain setelah siap menyelesaikan sesuatu kerja itu.

Allah berfirman bermaksud: "Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguh engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain) dan kepada Tuhanmu saja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini)." (Surah al-Insyirah ayat 7-8).

Berita Harian,Jumaat 29/4/2005

No comments: