Friday, April 22, 2005

Ambil keberkatan cara hidup Rasulullah

Oleh Mohd. Sukki Othman


Apabila datang bulan Rabiulawal, setiap orang Islam pasti ingatannya singgah kepada Rasulullah s.a.w. Ini kerana pada bulan yang mulia inilah junjungan besar nabi kita dilahirkan ke dunia ini untuk menyinari umat manusia dengan cahaya Islam dan kebenaran di samping menghapuskan kegelapan dan kezaliman.

Allah s.w.t telah menyatakan dalam al-Quran surah al-Anbiya' ayat 107 yang bermaksud: Tidak Kami utuskan engkau (Muhammad) melainkan untuk memberi rahmat kepada sekalian alam. Rasulullah s.a.w. telah diutus untuk memimpin ummah yang sebelum itu berada dalam kegelapan dan kehancuran.

Setiap individu Islam wajar menjadikan Rasulullah sebagai role model dan idola dalam kehidupan mereka serta berbangga dengan peraturan dan sistem Islam. Orang yang diredhai dan diberi keberkatan oleh Allah dalam hidupnya ialah mereka yang mengamalkan cara hidup Islam.

Benarlah kata Saydina Umar al-Khattab: ``Kita adalah satu kaum (golongan) yang dimuliakan Allah sekiranya kita berpegang kepada Islam.'' Tetapi, cuba kita renung di seluruh dunia hari ini, apa yang terjadi kepada umat Islam? Adakah mereka dipandang mulia?

Kemuliaan Islam boleh dikembalikan dengan mencontohi kepimpinan Rasulullah yang terpancar dalam setiap perbuatan dan perkataan baginda. Rasulullah s.a.w. adalah pemimpin ummah yang boleh diikuti dan dicontohi dalam segenap kehidupan.

Murni

Baginda mempunyai sifat peribadi yang luhur dan murni, seorang manusia yang sentiasa menyeru kepada jalan Allah dengan penuh hikmah, seorang ketua negara yang mendayung bahtera pemerintahan dengan amanah dan cekap, seorang suami mithali, seorang bapa yang bijak menyempurnakan tanggungjawab terhadap anak, seorang sahabat yang setia, seorang jiran yang memahami jirannya dan lain-lain lagi. Jelas, kepemimpinan Rasulullah terserlah dalam seluruh kehidupan baginda.

Sebagai seorang remaja, Rasulullah s.a.w. yang ketika itu belum lagi diangkat menjadi rasul, telah berjaya memimpin diri dengan mempamerkan akhlak yang mahmudah seperti amanah, jujur, bertanggungjawab, menghormati orang yang lebih tua, di samping berjaya menghindarkan diri daripada terjebak dalam sebarang perkara maksiat yang berleluasa dalam masyarakat Jahiliah pada masa itu.

Jadi, tidak hairanlah bagaimana masyarakat Arab Quraisy sejak awal-awal lagi memberikan gelaran `al-Amin' kepada Rasulullah yang bermaksud orang yang amanah.

Remaja Islam pada hari ini sewajarnya dapat mencontohi Rasulullah dengan memimpin diri ke arah perkara-perkara kebajikan seperti menunaikan solat secara berjemaah di masjid, menghadiri program-program ilmu yang bermanfaat, bergaul dengan rakan-rakan yang baik dan sebagainya.

Sebagai seorang bapa, Rasulullah tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak. Rasulullah berjaya memimpin keluarganya ke arah yang dikehendaki oleh Allah. Walaupun puteri Rasulullah mempunyai iman yang kental, namun Rasulullah tetap berpesan kepada puterinya itu: Wahai Fatimah, bebaskanlah dirimu daripada api neraka.

Ibu bapa pada hari ini sewajarnya mencontohi kepimpinan Rasulullah terhadap keluarga dengan berusaha mendidik anak-anak menjadi orang soleh, mengetahui tanggungjawab dan peranan yang harus dilaksanakan sebagai hamba Allah.

Menurut Sayidina Umar, bukan sahaja terdapat anak yang derhaka, tetapi terdapat juga ibu bapa yang derhaka iaitu mereka yang tidak pernah mendidik atau memberi ruang kepada anak-anak mereka untuk mempelajari ilmu agama.

Sebagai seorang pemimpin negara pula, Rasulullah s.a.w. telah berjaya memimpin rakyatnya ke arah kehidupan yang aman bahagia berpaksikan al-Quran dan sunah. Keadilan yang dipamerkan dalam pentadbiran baginda yang bebas daripada rasuah, penyelewengan, kezaliman dan sebagainya menyebabkan negara yang dipimpin oleh Rasulullah berkembang dengan begitu pesat sehingga rakyat dapat hidup dalam keadaan aman sentosa.

Kebijaksanaan kepimpinan Rasulullah bukan sahaja dikagumi oleh umat Islam, bahkan orang bukan Islam sehingga ke hari ini. Dunia Islam dewasa ini hendaklah mencontohi kepimpinan Rasulullah agar kemajuan fizikal dan spiritual dapat dihasilkan dengan jayanya.

Umat Islam pada hari ini wajar berusaha sedaya upaya untuk mencontohi kepimpinan Rasulullah dengan memartabatkan diri agar menjadi umat yang dipandang mulia di peringkat nasional dan antarabangsa dengan menguasai ilmu (fardu ain dan fardu kifayah), kemahiran, teknologi dan sebagainya yang berpaksikan al-Quran dan sunah.

* Mohd. Sukki Othman, Universiti Putra Malaysia.

Utusan Malaysia Jumaat 22/4/2005

No comments: