Thursday, August 26, 2004

Orang Melayu leka pada hiburan

Malaysia Idol, Akademi Fantasia, Audition, Who Will Win merupakan di antara rancangan realiti tv yang berbentuk hiburan pada masa kini yang cukup popular dari anak kecil sehinggalah orang tua. Ternyatalah orang Melayu kita memang cukup suka akan rancangan yang berbentuk hiburan tidak kisahlah sama ada yang berbayar ataupun tidak.
Kita suka sangat hiburan sehinggakan sanggup membazirkan wang dan masa untuk menonton rancangan sebegini, buktinya sebanyak RM15 juta telah berjaya dikutip melalui undian SMS oleh sebuah syarikat penyiaran swasta baru-baru ini.
Alangkah bagusnya jika wang itu digunakan untuk membantu kanak-kanak yang mengalami penyakit kronik yang memerlukan wang untuk menjalani pembedahan. Sudah tentulah ramai kanak-kanak seperti adik Intan Syafiqah dapat diselamatkan jika semua masyarakat peka.
Tanpa segan silu, mereka sanggup menangis teresak-esak bagaikan budak kecil kerana terlalu fanatik terhadap artis yang dipuja siang dan malam itu terkeluar daripada senarai pertandingan.
Sungguh memalukan sekali bagi saya kerana murahnya air mata kita kepada hal yang tiada mendatangkan faedah satu sen pun kepada bangsa. Adakah kehidupan kita akan berubah selepas menangisi hal yang remeh itu? Tentu tidak.
Saya rasa orang Melayu terlalu leka dengan hiburan sehinggakan apa jua rancangan yang berbentuk hiburan akan mendapat sambutan di luar jangkaan.
Konsert di Malaysia sekarang ini diadakan hampir setiap bulan membuktikan rakyat Malaysia memang cenderung ke arah hiburan. Apa-apa majlis pun, penutupnya mesti ada hiburan. Hari Kebangsaan akan kita sambut tidak lama lagi, ramai artis telah dijemput untuk meraikan pengunjung yang hadir pada malam itu nanti. Penutupnya juga hiburan.
Kita sibuk menyuruh remaja menjadi insan yang bertanggungjawab kepada negara, pada masa yang sama juga kita lambakkan hiburan kepada mereka. Betulkah semua ini? Tercapaikah Wawasan 2020 nanti? Hiburan akan menyebabkan ramai yang leka, solat Maghrib juga ditangguh hanya kerana ingin menonton rancangan hiburan.
Tidak salah jika mahu berhibur, tetapi janganlah terlalu melampau. Ala kadar sahaja cukup, Nabi Muhammad s.a.w. juga berhibur tetapi tidaklah sehingga melalaikan.
Orang Cina dan India tidak terlalu cenderung ke arah hiburan, jika adapun, hiburan mereka tidaklah sehebat cara orang Melayu, selepas konsert ini habis, pesta ini pula bermula, kemudian karnival ini pula. Semuanya disasarkan kepada orang Melayu, akhirnya orang kita layu, sebabnya tanpa hiburan mereka tidak boleh maju.
Jika orang Cina dan India serta kaum lain sibuk mengejar kejayaan, orang Melayu pula sibuk mengejar hiburan yang tidak pernah bertebing itu.
Lebih parah lagi, seorang mufti yang sangat disegani telah mengharamkan sebuah konsert oleh sebuah televisyen swasta telah ditempelak kerana terlalu mengikut perasaan. Niat mufti tersebut mulia, iaitu tidak mahu orang Melayu terus hanyut dengan hiburan.
Jika konsert nasyid sekalipun, remaja Melayu tetap bergaul bebas kerana tidak diasingkan lelaki dengan perempuan. Jika konsert rock atau nasyid, mereka yang datang tetap berdua-duaan. Walaupun konsert itu atas tiket nasyid, maksiat tetap boleh berlaku.
Kaum lain akan menganggap orang Melayu ini tidak bersungguh-sungguh dalam segala hal kerana asyik berkhayal.
Mereka menganggap orang Melayu tidak boleh diharap, tidak boleh diambil bekerja di syarikat, mudah ditipu dan tidak bersungguh-sungguh menjalankan tugas kerana mereka lebih suka kepada perkara yang ada unsur hiburan. Ini akan menjatuhkan martabat orang Melayu sendiri di mata orang luar.
Untuk mengubah pemikiran masyarakat Melayu yang terlalu suka akan hiburan bukanlah mudah kerana ia sudah sebati dengan jiwa orang Melayu.
Orang Melayu terlalu leka dengan hiburan, tambahan pula sumber hiburan pada masa kini tidak perlu dicari kerana ia datang bergolek kepada kita secara percuma.
Oleh itu, saya merayu kepada semua cukuplah berhibur, mari kita sama-sama bangkit dari tidur agar orang kita tidak dikaitkan dengan orang yang suka berhibur.
Jika selama ini kaum lain menganggap orang Melayu tidak bersungguh-sungguh dalam semua hal kecuali hiburan, hari ini kita buktikan kepada mereka bahawa kita sudah berubah. Ñ HALMY OMAR, Tanjung Malim, Perak.
Kirim pendapat anda melalui emel: pendapat@utusan.com.my

Utusan Malaysia :: 26/8/2004



No comments: