Wednesday, August 18, 2004

Orang Melayu di persimpangan jalan -- Persaingan globalisasi masa depan

MUKADIMAHPROF. Datuk Dr. Ismail Md. Salleh bertemu dengan sekumpulan mahasiswa yang cacat penglihatan di pejabatnya di Persatuan Bagi Orang Buta (MAB) di Brickfields, Kuala Lumpur, tengah hari kelmarin.
Sebagai seorang yang juga buta tetapi hari ini diiktiraf sebagai pakar ekonomi dan tokoh korporat yang disegani, beliau memang cukup dihormati dan menjadi pendorong kejayaan banyak orang.
Lebih kurang sejam kemudian, beliau meluangkan masa berbual dengan wartawan NOOR AZAM SHAIRI dan FAUZIAH AROF tentang masalah orang Melayu yang masih bergelut mengangkat martabat sosioekonomi dalam masyarakat berbilang kaum.
``Kita sekarang berada di per-simpangan. Pencapaian orang Melayu yang dibangga-banggakan sejak Dasar Ekonomi Baru tamat sudah semakin terhakis,'' katanya.
Ada dua sebab kenapa beliau berkata begitu: Pertama, tekanan globalisasi dan tuntutan persaingan antarabangsa, dan kedua, kegagalan pelaksanaan dasar-dasar tindakan afirmatif serta pemantauan yang lemah.
``Elok sangat kita membincangkan isu ini sekarang,'' tambahnya.
Beliau bagaimanapun menyuarakan kebimbangannya terhadap perbincangan isu itu melalui media massa yang nampak cukup rancak dalam tempoh seminggu ini.
``Janganlah hendaknya kita memperkatakan hal ini hanya kerana perhimpunan agung UMNO tidak lama lagi,'' katanya.
Ada satu hal penting yang cukup menarik dikupas oleh Ketua Jurulapor Majlis Perunding Ekonomi Negara II itu - tentang perlunya masyarakat mengubah pandangan dan pemahaman mereka terhadap isu agenda Melayu.
``Ini bukan isu perkauman atau usaha untuk mengangkat hanya satu kaum. Ini satu isu nasional,'' katanya.
UTUSAN: Dasar Ekonomi Baru (DEB) menyebut tentang penyusunan masyarakat dan pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum. Wujudkah apa yang dikatakan agenda Melayu ini atau ia sebenarnya agenda nasional?
ISMAIL: Jika kita mengambil latar belakang kedudukan orang Melayu dari apa dimensi pun seperti ekonomi, perniagaan budaya, sosial, kita memang terkebelakang terutamanya selepas merdeka dan dalam tahun 70-an. Pada masa yang sama, kita hendak mencapai satu kedudukan yang dikatakan adil dalam masyarakat.
Oleh sedemikian, mahu tidak mahu kita perlu mengangkat kedudukan orang Melayu itu sendiri. Itulah yang dikatakan sebagai agenda Melayu.
Tetapi saya bersetuju dengan saudara bahawa agenda Melayu harus menjadi agenda nasional. Ini kerana keadaan yang tidak adil dan tidak saksama dari pelbagai aspek, akhirnya akan mewujudkan keadaan sosial yang tidak stabil dan boleh meruntuhkan masyarakat itu.
Apabila rosak kedudukan sosial itu semua orang akan rugi. Dalam konteks ini, saya bersetuju bahawa agenda Melayu harus menjadi agenda nasional.
Apatah lagi sekarang ini, bilangan orang Melayu melebihi 60 peratus. Tetapi jika kaum yang majoriti ini menjadi minoriti dari segi kedudukan sosioekonominya, itu tidak menggambarkan keadilan.
Jika kedudukan orang Melayu setimpal dengan bilangan mereka saya rasa ini akan memberikan kebaikan kepada semua orang.
Apakah mungkin istilah agenda Melayu itu menyebabkan orang bukan Melayu tidak begitu membantu pelaksanaan DEB selama ini?
ISMAIL: Mungkin juga, kerana mereka merasakan ia untuk membantu satu kaum sahaja. Saya berpendapat kita perlu mendidik kaum-kaum lain supaya melihat kepentingan Melayu sebagai satu kepentingan nasional.
Mereka harus difahamkan bahawa jika agenda Melayu tidak diselesaikan, masyarakat akan porak-peranda. Orang Cina dan India yang mengaut kekayaan pun nanti akan rugi. Keadaan ini pernah berlaku apabila tercetusnya rusuhan kaum tahun 1969 dulu.
Bagaimana hendak mendapatkan sokongan bukan Melayu?
ISMAIL: Ini satu cabaran kepada kita semua. Kita memang mahu mewujudkan keadaan yang menguntungkan semua orang; semua kaum boleh bergabung dan mengambil faedah daripada kekuatan masing-masing.
Orang Melayu yang lebih dekat dengan kerajaan sehingga boleh mendapat kontrak kerajaan boleh bergabung dengan orang Cina yang mempunyai kuasa ekonomi.
Tetapi, setakat ini dalam masyarakat kita suasana `tidak mempercayai' antara kaum ini masih lagi kukuh. Inilah faktor penghalangnya apabila satu-satu kaum itu melihat sesuatu yang diceburi bersama itu akan merugikan mana-mana pihak dan tidak melihat keuntungan kepada kedua-duanya.
Selagi ada pandangan seperti ini, ia amat menyulitkan penyertaan orang Melayu. Masalah ini masih kukuh dalam masyarakat kita. Maknanya mereka yang mempunyai kuasa ekonomi ini tidak mahu mengaku kalah atau bekerjasama. Inilah paling sukar sekali.
Kita boleh mencuba tetapi saya sendiri tidak mempunyai keyakinan perkara itu boleh berlaku dalam masa yang singkat. Ia boleh berlaku apabila orang Melayu ada kedudukan, barulah kaum lain mahu bekerjasama.
Oleh itu, mahu atau tidak kita masih memerlukan sokongan daripada sektor awam untuk memperkukuhkan kedudukan orang Melayu sehinggalah kerjasama dapat diwujudkan.
Kalau kedudukan kita masih terkebelakang harapan untuk mengadakan kerjasama ini amat sukar kerana mereka bimbang jika kerjasama dengan Melayu mereka akan hilang pula kepentingan-kepentingan mereka sendiri.
Apakah itu akan berlaku?
ISMAIL: Tidak semestinya. Kerjasama itu boleh mewujudkan satu suasana ekonomi yang menguntungkan semua pihak. Bagaimanapun dalam hakikat ini tidak diyakini dengan mendalam oleh masyarakat.
Oleh itu, orang Melayu tiada banyak pilihan selain terpaksa menggunakan kuasa kerajaan untuk memperkukuhkan kedudukan.
Adakah ini menunjukkan ada kaum yang hanya mahu kaya sendiri?
ISMAIL: Itulah hakikat yang berlaku. Mereka tidak mahu memecahkan kedudukan mereka sebaliknya mahu menguasai sepenuhnya.
Apakah melibatkan sokongan semua kaum itu sesuatu yang ideal?
ISMAIL: Apabila bercakap mengenai agenda Melayu mahu tidak mahu kita masih memerlukan sokongan kerajaan, bukannya perlindungan. Sokongan perlu diwujudkan ketika orang Melayu sendiri terpaksa bersaing untuk mendapatkan sesuatu dan berdasarkan meritokrasi juga.
Bagaimanapun, meritokrasi itu perlu dilaksanakan di peringkat orang Melayu dulu. Jangan wujudkan meritokrasi secara global kerana kedudukan kita berbeza. Kita masih lemah tetapi orang lain sudah kukuh, dan apabila ada meritokrasi ia jadi tidak adil.
Apakah yang boleh Datuk simpulkan tentang prestasi bumiputera sekarang?
ISMAIL: Ekonomi orang Melayu dan bumiputera kini berada di persimpangan jalan. Kita berhadapan dengan pelbagai cabaran terutamanya globalisasi, persaingan dan kurangnya sistem pemantauan. Jika ini berterusan ada kemungkinan - dan ada juga bukti-bukti - bahawa apa juga pencapaian yang kita peroleh setakat ini akan semakin terhakis.
Tetapi jika kita boleh melaksanakan dasar-dasar dan strategi yang berkesan, mungkin kita masih menangani masalah ini dan terus dapat mencapai harapan kita. Itu maksud saya.
Tetapi sekarang ini tanda-tandanya berat menunjukkan berlakunya penghakisan.
Adakah ini kritikal?
ISMAIL: Ya, kritikal. Dalam tahun 1970 kedudukan kepentingan kita dalam pemilikan harta hanya 2.4 peratus manakala dalam tahun 1990 sudah meningkat kepada 19.3 peratus. Tetapi pada tahun 2000 ia berkurangan semula kepada 18.7 peratus. Jika trend ini terus berlaku, dalam tempoh 10 tahun lagi kita hanya mungkin mencapai 13 atau 14 peratus sahaja.
Pada tahun 1970, setiap satu ringgit yang diperoleh oleh orang luar bandar , orang di bandar mendapat RM2.14 sen. Sungguhpun dalam tahun 1990 kedudukan itu sudah agak baik iaitu RM1 kepada RM 1.70 sen tetapi hari ini kita sudah balik kepada keadaan 1970. Itu menunjukkan betapa buruk keadaan kita sekarang.
Jika keadaan ini berterusan, dalam jangka 15 tahun lagi kita mungkin berada dalam RM1.00 berbanding RM10.40 sen di bandar. Kedudukan orang luar bandar akan terus terhakis.
Jika kita tidak melakukan sesuatu ia akan mencetuskan ketidakstabilan sosial dan tidak mustahil boleh timbul satu lagi suasana yang tegang di antara kaum.
Ini bukan kenyataan untuk menakut-nakutkan?
ISMAIL: Bukan. Apa yang saya katakan ini berasaskan fakta dan angka. Trendnya sudah kelihatan dan akan menjadi lebih sukar kerana sistem globalisasi yang tidak mengenal kaum. Orang yang lemah akan terus ditekan. Kita akan dapati kedudukan orang Melayu lebih sukar pada masa akan datang.
Dalam senario itu, apakah formula untuk memajukan orang Melayu dan mereka yang di luar bandar?
ISMAIL: Ada beberapa isu yang perlu kita tangani. Kita perlu ada sasaran yang jelas. Pertama, kita perlu mencapai kadar pendapatan yang hampir pariti dalam satu tempoh tertentu, cuba menyamaratakan purata pendapatan antara Melayu dan bukan Melayu, luar bandar dan bandar.
Keduanya, Pekali Gini iaitu indeks mengukur ketidaksamaan yang berjumlah 0.461 di Malaysia perlu dikurangkan pada sekitar 0.3 atau 0.35, sama seperti di negara-negara maju.
Dalam aspek kemiskinan pula, kita perlu menyasarkan bukan sekadar kemiskinan tegar sahaja tetapi mereka yang berada di peringkat 30 peratus ke bawah. Jumlah ini memang melibatkan semua kaum tetapi majoritinya orang Melayu.
Kita juga perlu mewujudkan satu sistem persaingan di kalangan orang Melayu melalui sistem francais. Orang Melayu lemah dalam segi kewangan dan pengurusan, takut mengambil risiko. Apabila diletakkan dalam sistem francais mereka boleh bersaing sesama sendiri. Ini adalah untuk mendidik mereka.
Di samping itu, orang Melayu yang berkelayakan dan mampu masih harus terus diberikan sokongan melalui kontrak-kontrak kerajaan ataupun melalui syarikat yang diswastakan.
Sebenarnya bolehkah orang Melayu survive dalam persaingan yang luas?
ISMAIL: Semasa DEB tamat pada tahun 1990, pencapaian orang Melayu agak baik. Kita telah berjaya mewujudkan golongan menengah yang baik dan mula menceburi bidang-bidang profesional.
Mungkin dalam keadaan seperti itu pemerintah mula merasakan kita sudah bersedia untuk bersaing. Kita mungkin terlupa pada masa itu juga berlaku perubahan ekonomi yang begitu mendadak dan pertumbuhan ekonomi yang begitu besar.
Dalam keadaan itu keupayaan orang Melayu dari segi penguasaan dan produktivitinya masih terkebelakang berbanding dengan kaum-kaum lain.
Kerana itu, orang Melayu ketinggalan semula. Saya menganggap dekad 90-an adalah zaman gelap kepada orang Melayu dan bumiputera. Ia dekad yang cukup malang dan diburukkan lagi oleh kegawatan ekonomi dunia pada penghujungnya.
Kesan penghakisan penguasaan ekonomi yang bermula pada tahun 1997 itu cukup besar kepada orang Melayu kerana orang Melayu selama ini tidak mempunyai asas modal yang begitu kukuh. Mereka terpaksa berhutang sedangkan orang lain ada modal sendiri. Apabila berlakunya krisis ekonomi ini, mereka yang meminjam modal ini terpaksa menjual aset kerana hendak melangsaikan hutang. Ini bukan pilihan orang Melayu.
Dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia, Profesor Diraja Ungku Aziz menyebut tentang sindrom kacang lupakan kulit. Banyak orang Melayu yang berjaya kerana DEB tidak kembali membantu bangsanya yang di bawah. Kenapa itu berlaku?
ISMAIL: Betul apa yang dikatakannya itu. Kepada saya, sepatutnya mereka yang mendapat projek penswastaan daripada kerajaan ini perlu wujudkan sistem vendor, menyediakan payung untuk membantu yang kecil-kecil.
Saya pun tidak tahu apa sebabnya mereka menjadi begitu. Mereka lebih untuk kaya sendiri sahaja dan terlalu individualistik.
Mereka tidak seperti peniaga Cina; apabila kita hendak beli sesuatu barang dari kedai mereka tetapi barang itu tiada, dia boleh pergi ke kedai kawannya untuk mengambil barang itu. Ada sistem sokong-menyokong.
Kuasa membeli orang Melayu besar tetapi kedai runcit Melayu jika kita lihat terdapat kedai runcit orang Melayu yang menjalankan kegiatan di kampung tidak boleh hidup tetapi kedai Cina masuk ke kampung boleh hidup.
Kita selalu bercakap tentang kelemahan orang Melayu dalam bidang ekonomi. Soalnya apakah orang Melayu langsung tidak mempunyai kekuatan yang boleh digunakan?
ISMAIL: Kreativiti dan kehalusan seni orang Melayu. Orang Melayu agak handal kalau dalam bidang sastera, kesenian dan kebudayaan tetapi kenapa tidak kita mengambil kesempatan daripada kekuatan ini.
Mengapa tidak kita usahakan untuk mengkomersialkan bidang-bidang ini, kalau boleh sehingga jadi macam Bollywood. Tetapi tiada langkah-langkah yang diambil untuk menggunakan sepenuhnya kekuatan kita ini.
Ini sama seperti dalam bidang media, animasi, seni lukis dan sebagainya. Orang Melayu memang hebat dalam bidang-bidang ini barangkali kerana jiwanya yang halus. Sayang, bidang ini tidak kita pupuk sehingga boleh menguntungkan. Pemimpin Melayu perlu duduk dan melihat apa kekuatan kita dan menyusun agenda ini.
Apakah harapan Datuk kepada para pemimpin UMNO?
ISMAIL: Saya ingin sekali lagi mengingatkan pemimpin Melayu bahawa kedudukan kita di persimpangan jalan. Kita perlu melakukan sesuatu untuk memperbetulkan kepincangan yang wujud dalam masyarakat ini.
Saya sangat-sangat mengharapkan isu kepincangan ini tidak menjadi satu agenda yang fashionable - isu yang hanya dibangkitkan secara bermusim. Apabila dekat dengan perhimpunan, masalah ini diheboh-hebohkan tetapi kemudiannya senyap begitu saja, seperti sebelum-sebelum ini.
Saya sangat berharap perbincangan tentang isu ini menjadi satu common exercise yang kita lakukan dari masa ke masa. Untuk melakukan itu, pertama, kita harus jelas tentang sasaran yang hendak kita capai. Pada masa yang sama kita harus mewujudkan satu sistem pemantauan yang teratur dan berkesan.
Kita perlu melihat apa yang sudah dicapai, apa yang memerlukan pembetulan dan sebagainya. Inilah yang dikatakan pemantauan.
Masalahnya selepas DEB tamat pada tahun 1990 dulu, kita tidak lagi begitu memantaunya dengan serius. Akibatnya kita jadi kehilangan punca - tidak tahu apa yang sedang berlaku dan apa lagi yang perlu dilakukan.
Kepada saya, kita perlu ada pemantauan yang berterusan. Selepas itu kita keluarkan laporan tahunan setiap tahun, sama seperti kita mengeluarkan laporan Bank Negara dan laporan pencapaian ekonomi. Mungkin hanya dengan itu saja kita dapat memantau perkembangan pencapaian ekonomi dari segi etnik serta bandar dan luar bandar.

Utusan Malaysia :: 16/8/04

No comments: