Friday, April 22, 2005

Kaji sejarah Maulidur Rasul

Oleh Abdul Rahman Abdul Rahim


Semalam sambutan Maulidur Rasul iaitu hari memperingati keputeraan Rasulullah s.a.w. Sejarah sambutan Maulidur Rasul bermula pada zaman pemerintahan Fatimiah di Kaherah, Mesir. Kerajaan Fatimiah bermazhabkan Syiah Ismailiah. Ia mengambil sempena nama anak Rasulullah s.a.w., Siti Fatimah yang mana daripadanya dipercayai keturunan khalifah-khalifah Fatimiah.

Atas orientasi besar khalifah Fatimiah ini terhadap keluarga Rasulullah s.a.w., maka mereka mewujudkan perayaan Maulidur Rasul.

Satu lagi sumbangan kerajaan Fatimiah ini ialah penubuhan Al-Azhar sebagai universiti.

Kini majoriti orang Islam Mesir tidak lagi berfahaman mazhab Syiah Ismailiah. Mesir sudah menjadi negara Sunah Waljamaah dan semua empat mazhab fikah Sunah iaitu Syafii, Hanafi, Hambali dan Maliki ada di Mesir. Tetapi istimewa bagi mazhab Syafii, makam Imam Syafii terdapat di Kaherah.

Universiti Al-Azhar pula tidak lagi menjadi pusat pengajian Syiah tetapi kini ia menjadi pusat ilmu Sunah Waljamaah paling utama.

Sementara mazhab Syiah Ismailiah menjadi golongan minoriti dan kini ia terkenal sebagai pemelihara kesenian dan seni bina Islam melalui Anugerah Aga Khan. Pemimpin mazhab Ismailiah dikenali sebagai Aga Khan dan mempunyai rangkaian organisasi yang luas di seluruh dunia dengan beribu pejabat di Eropah.

Ada sesetengah kalangan daripada aliran Salafiah, mazhab Hambali seperti Wahhabi menolak sambutan Maulidur Rasul.

Tetapi secara umum, dunia Islam, baik Sunni mahupun Syiah merayakan Maulidur Rasul.

Pada zaman ini, di mana komunikasi massa dicantum pula dengan teknologi elektronik, ledakan maklumat sedang meragut minda manusia termasuk orang Islam. Maka dalam kesibukan melayani maklumat yang pelbagai, tidak mustahil orang Islam akan terlupa tentang agamanya, dan Rasulullah s.a.w.

Justeru, Maulidur Rasul merupakan masanya bagi umat Islam untuk memperingati semula Rasulullah s.a.w. dan seterusnya menjadikan contoh sifat dan kehidupannya kerana baginda adalah teladan terbaik.

Dari segi tradisi seperti yang dimulakan oleh Khalifah Fatimiah, sambutan Maulidur Rasul dipenuhi dengan bacaan-bacaan puisi memuji Rasulullah s.a.w. dan perarakan untuk menyatakan perasaan cintakan baginda.

Di negara ini, bacaan berzanji dan marhaban merupakan antara aktiviti seni bagi memperingati Rasulullah s.a.w.

Tetapi dalam zaman yang menekankan tentang kajian dan penyelidikan, maka sewajarnya Maulidur Rasul dapat disambut secara mengadakan wacana bagi memahami lagi mengenai Rasulullah s.a.w. melalui penemuan dan penyelidikan sejarah.

e-mel: abdulrahman_abdulrahim@yahoo.com

Utusan Malaysia 22/4/2005

1 comment:

Jamie_lavender said...

Hey...Nice site !! i am doing a project about Maulidur Rasul... Thankz for all de imformation..haha