Saturday, February 05, 2005

Komitmen berterusan untuk Aceh

Oleh: ZULKIFLEE BAKAR (Wartawan Utusan)

Langkah kerajaan Malaysia menawarkan pelan induk pembangunan semula Aceh sudah jelas membuktikan ketelusan dan komitmen berterusan negara ini bagi memastikan wilayah Indonesia tersebut mampu bangkit semula selepas dilanda gempa bumi dan bencana tsunami pada 26 Disember lalu.

Ternyata sekali sebagai jiran yang paling dekat dan dianggap sebagai saudara kepada Indonesia, Malaysia tidak mahu sekadar menjadi negara yang hanya menghantar pasukan penyelamat atau melaksanakan misi kemanusiaan semata-mata dan kemudiannya pulang begitu sahaja.

Sebaliknya, Malaysia ingin menyumbang kepada usaha yang lebih besar iaitu terlibat secara langsung untuk membangunkan semula wilayah Serambi Mekah itu dan tidak hanya menjadi pemerhati kepada sebarang usaha untuk tujuan tersebut.

Atas sebab itulah, dengan perasaan tulus ikhlas Malaysia menghulurkan tangan bagi merealisasikan matlamat untuk memastikan Aceh tidak terus menjadi `wilayah berhantu' atau dibiarkan dihiasi dengan sisa-sisa runtuhan akibat bencana yang terjadi.

Bagaimanapun, dalam usaha untuk membantu ini, kerajaan Malaysia amat memahami bahawa segala keputusan terserah kepada pemerintah Indonesia dan menganggap apa yang ditawarkan semata-mata untuk meringankan beban republik berkenaan dan sekali gus memahami betapa beratnya tugas untuk membangunkan semula wilayah yang boleh dianggap 80 peratus daripadanya hancur.

Sebenarnya bagi sesiapa juga yang melihat situasi di Aceh, mereka amat mengerti bahawa bukanlah mudah untuk membangunkan semula wilayah itu dalam masa yang singkat.

Ini kerana kemusnahan dan kehancuran yang dialami oleh wilayah berkenaan terlalu serius dan boleh dianggap tidak mampu ditangani sendirian tanpa sokongan negara-negara asing.

``Jika berdasarkan pandangan saya, kalau mahu dibangunkan semula Aceh, seluruh kawasan yang terlibat dalam bencana tsunami terutama di pusat bandar Banda Aceh `perlu diratakan'.

``Maknanya, kita ibarat meneroka sebuah kawasan baru memandangkan gempa bumi dan tsunami yang terjadi telah memusnahkan segala-galanya termasuk sistem kehidupan masyarakatnya,'' kata seorang tokoh korporat Malaysia yang meninjau keadaan di Aceh baru-baru ini.

Tawaran Malaysia bukanlah bertujuan untuk memperkecilkan keupayaan pemerintah Indonesia tetapi berlandaskan kepada situasi di Aceh yang jelas membuktikan satu perancangan yang cukup teliti diperlukan bagi membolehkan wilayah itu bernafas kembali.

Sudah tentulah, Malaysia turut berduka cita dengan kehilangan nyawa hampir suku juta penduduk Aceh dalam bencana itu tetapi ia tidak bererti Aceh harus terus dibiarkan meratapi tragedi berkenaan.

``Kita tidak mahu dilihat ibarat skuad memungut mayat sahaja, selepas itu pulang tanpa memikirkan apa yang akan terjadi kepada Aceh seterusnya. Kita mahu terus membantu kerana kita memahami keterbatasan yang ada pada pemerintah Indonesia,'' kata seorang pegawai kanan kerajaan Malaysia.

Aceh perlu bangkit semula dan menjadi wilayah yang selama ini turut menjadi penyumbang utama kepada hasil pendapatan pemerintah Indonesia, justeru atas semangat setia kawan inilah Malaysia boleh dianggap memberanikan diri dengan mengemukakan pelan induk pembangunan semula Aceh.

Malaysia seperti mana kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada awal Januari lalu sentiasa bersedia membantu Indonesia dalam apa juga perkara berhubung usaha membangunkan semula Aceh.

Tetapi tegas beliau segala-galanya terserah kepada pemerintah Indonesia untuk menentukannya, Malaysia tidak mahu dianggap jiran yang tidak prihatin dengan membiarkan pemerintah Indonesia bertungkus lumus memerah otak bagaimana memulihkan Aceh.

``Saya yakin pemerintah Indonesia memahami ketelusan Malaysia. Kita bersaudara, saya tidak fikir Malaysia mempunyai apa-apa motif selain benar-benar ingin melihat Aceh kembali pulih,'' kata seorang diplomat Indonesia kepada penulis ketika ditanya mengenai tawaran Malaysia itu.

Malah menurut diplomat berkenaan, apa yang dilakukan oleh Malaysia tidak boleh dianggap sama sekali sebagai satu campur tangan asing sebaliknya keikhlasan seorang sahabat membantu sahabatnya yang lain.

``Kita perlu berlapang dada dan berfikiran terbuka dalam soal ini, jangan terlalu banyak memikirkan soal kenapa Malaysia begitu beria-ia benar ingin membantu Aceh.

``Saya percaya Malaysia memahami kesulitan dan kesukaran pemerintah Indonesia untuk bertindak sendirian menangani masalah di Aceh. Apa yang ingin Malaysia lakukan menyentuh soal pembangunan dan demi kemanusiaan bukannya motif lain,'' katanya.

Pandangan yang sama turut dilahirkan oleh seorang lagi diplomat Indonesia yang menegaskan mahu tidak mahu pemerintah Indonesia harus mengakui tidak akan berupaya membangunkan semula Aceh tanpa bantuan negara asing terutamanya dari jiran-jiran terdekat.

``Rakyat Indonesia perlu bersyukur kerana sekurang-kurangnya kita ada saudara seperti Malaysia yang mahu bersama-sama dalam keadaan susah dan senang, kita percaya jika perancangan Malaysia ini diterima sudah pasti Aceh akan mampu dipulihkan semula dalam tempoh yang singkat,'' katanya.

Sebenarnya pandangan dua diplomat ini tidak ada bezanya dengan pendapat penduduk-penduduk Aceh sendiri yang begitu bangga dan terharu dengan bantuan yang diberikan oleh Malaysia sebaik sahaja wilayah itu dilanda bencana.

Justeru awal-awal lagi ketika bertemu dengan penulis, mereka melahirkan harapan agar Malaysia diberi peranan untuk membangunkan semula wilayah itu dan ia tidak seharusnya melibatkan negara-negara Barat.

``Kerajaan Malaysia lebih memahami situasi di Indonesia memandangkan kita bukan sahaja dari rumpun yang sama tetapi juga mempunyai semangat persaudaraan Islam yang tinggi.

``Kami berpendapat kalau Malaysia terlibat dalam soal memulihkan Aceh, ia akan lebih mudah diterima oleh penduduk wilayah ini kerana amat memahami bahawa Malaysia sentiasa ikhlas dalam membantu,'' kata Syarwan Abdullah, seorang peniaga yang bangunan miliknya turut musnah di tengah-tengah pusat bandar Banda Aceh.

Namun persoalannya, dalam usaha membangunkan semula Aceh langkah yang harus menjadikan keutamaan Malaysia ialah berkaitan dengan penempatan semula penduduk yang kediaman mereka musnah dalam bencana itu serta nasib anak-anak Aceh yang menjadi yatim piatu.

Mengikut statistik pemerintah Indonesia, ketika ini terdapat tidak kurang setengah juta penduduk Aceh terpaksa ditempatkan di khemah-khemah penempatan sementara, manakala hampir 50,000 kanak-kanak menjadi yatim piatu.

Keadaan ini belum lagi termasuk pelbagai infrastruktur yang turut musnah dalam bencana berkenaan antaranya termasuklah sekolah dan hospital. Apa yang lebih membimbangkan ialah kesemua mereka boleh dianggap tidak mempunyai sumber pendapatan berikutan tragedi itu.

Malah mengikut laporan, ratusan ribu penduduk Aceh yang terselamat dalam tragedi itu kini hidup dalam keadaan miskin berikutan kehilangan pekerjaan kerana tempat mereka mencari rezeki di pusat bandar Banda Aceh turut musnah.

``Di kawasan saya ini sahaja terdapat tidak kurang 20,000 orang kehilangan pekerjaan dan kesemua mereka ini tinggal di 17 buah desa. Setiap hari mereka datang ke sini untuk meminta makanan,'' kata Timbalan Pengurus Pesantren Maghfirah, di Kota Baro, Banda Aceh, Umi Sapura Abu Bakar.

Kenyataan Umi Sapura ini hanyalah contoh kecil sahaja tetapi ia cukup memberi isyarat betapa seriusnya keadaan di Aceh jika langkah segera tidak dilakukan bagi membangunkan semula wilayah itu.

Namun begitu jika berdasarkan kepada kemusnahan yang dialami, Aceh tidak mampu dibangunkan dalam tempoh yang singkat. Ini kerana kehancuran yang dialami amat dahsyat sekali.

Kawasan penduduk menjadi padang jarak padang tekukur, bangunan yang tinggal sudah tidak selamat dan pusat perniagaan semakin ditinggalkan. Jika semua ini diambil kira dan kalau pemerintah Indonesia merestui hasrat Malaysia, negara kita mempunyai tugas yang cukup panjang untuk melihat bak kata orang Indonesia, `Aceh menggeliat kembali'.

Namun berdasarkan kepada pengalaman Malaysia membantu membangunkan infrastruktur di beberapa buah negara sebelum ini, negara kita mempunyai keupayaan dan kepakaran bagi merealisasikan matlamat memulihkan Aceh.

Mungkin usaha ini akan mengambil jangka masa yang panjang tetapi sejarah telah membuktikan bahawa Malaysia tidak pernah gagal dalam membantu membangunkan semula sesebuah negara yang mengalami bencana atau dilanda peperangan.

Semoga hasrat murni Malaysia ini yang bakal dilahirkan secara langsung oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika melawat Aceh pada 7 Februari ini akan menjadi kenyataan demi memastikan Nanggoroe Aceh Darussalam `kembali menggeliat'.

Utusan Malaysia:: Sabtu 5/2/2005

No comments: