Saturday, February 19, 2005

Tapai ubi untuk mencegah kanser?

Oleh: LAUPA JUNUS (Wartawan Utusan)

JANGAN terkejut sekiranya satu hari nanti anda perlu menjadikan tapai ubi sebahagian dari menu harian semata-mata untuk menjaga kesihatan meskipun ia bukanlah makanan yang sesuai diambil setiap hari.

Lebih menarik kerana tapai ubi mudah dihasilkan dengan kaedah yang murah berbanding makanan kesihatan lain sama ada dalam bentuk pil atau cecair yang mahal dan tidak dapat dipastikan keberkesanannya ke atas tubuh anda.

Apa yang berlaku, proses penapaian ubi menghasilkan sejenis bahan dikenali sebagai bakteriosin.

Bakteriosin ini dihasilkan oleh sejenis bakteria asid laktik yang dipencil atau diasingkan dari tapai ubi (Manihot esculanta) dan didapati berkemampuan mencegah kanser.

Di Universiti Putra Malaysia (UPM), sekumpulan penyelidik sedang berusaha untuk mencari kemungkinan bahawa tapai ubi boleh dimakan sebagai makanan tambahan atau makanan berfungsi selepas mendapati kemampuannya mencegah penyakit kanser.

Kumpulan tersebut terdiri daripada Dr. Latifah Saiful Yazan sebagai ketua penyelidik, yang merupakan seorang pensyarah di Jabatan Sains Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan.

Beliau menjalankan penyelidikan tersebut bersama tiga pensyarah lain dengan kepakaran yang berbeza-beza iaitu Prof. Madya Dr. Foo Hooi Ling dan Prof. Madya Dr. Raha Abdul Rahim dari Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul serta Dr. Loh Teck Chwen dari Fakulti Pertanian.

Menurut Latifah, kajian beliau sebelum ini lebih menjurus kepada aktiviti sitotoksik sesuatu agen atau sebatian, atau secara ringkasnya ke arah pencarian sesuatu agen atau sebatian yang berkemampuan untuk membunuh sel-sel kanser pada peringkat in vitro (ujian dalam makmal).

Proses penyaringan seumpamanya telah dijalankan oleh Institut Kanser Nasional, Amerika Syarikat (AS) semenjak tahun 1960.

Kaedah ini lebih murah, memerlukan sampel yang sedikit, mudah dan cepat jika dibandingkan dengan kaedah yang menggunakan haiwan.

Oleh kerana kebanyakan ubat anti kanser membunuh sel dengan berkesan, bahan-bahan ini juga dikenali sebagai agen sitotoksik dan inilah asas kepada penyaringan tersebut.

Pada masa yang sama, Prof. Madya Dr. Foo Hooi Ling telah berjaya mengasingkan bakteriosin yang dikenali sebagai bakteriosin UL4 yang dihasilkan oleh Lactobacillus plantarum UL4 (sejenis bakteria asid laktik).

Bakteriosin UL4 ini didapati berkemampuan untuk menyekat atau merencat pertumbuhan beberapa jenis patogen atau mikroorganisma yang boleh menyebabkan penyakit seperti Bacillus aureus, Escherichia coli, Streptococcus pneumoniae, Staphylococcus aureus, Salmonella typhimurium, Enterococcus faecium, Enterococcus feacalis dan Listeria monocytogenes.

Selain itu, ia juga boleh bertahan pada suhu setinggi 1210C selama 15 minit dan suhu serendah 150C selama 60 hari dan dalam julat pH yang besar, iaitu di antara pH 2-5 (pH berasid) dan pH 7-8 (pH beralkali).

Berdasarkan ciri-ciri hebat itu, bakteriosin tersebut dilihat berpotensi besar untuk menjadi bahan pengawet semula jadi dan mesra pengguna di dalam pelbagai industri makanan seperti makanan yang dibekukan dan hasilan makanan berasid dan beralkali.

``Disebabkan ciri-ciri tersebut jugalah, kami bercadang untuk menguji aktiviti sitotoksik bakteriosin tersebut terhadap beberapa jujukan sel kanser yang kami ada,'' katanya kepada Utusan Malaysia.

Secara amnya, di dalam kaedah untuk menguji aktiviti sitotoksik ini, sel-sel kanser yang dibiakkan di dalam telaga yang terdapat pada plat 96-telaga atau plat mikrotiter dirawat dengan bakteriosin pada kepekatan yang berbeza-beza dan dibiarkan selama 72 jam di dalam kebuk karbon dioksida. Prinsipnya agen atau bahan yang sitotoksik akan merencat pembahagian sel dalam kultur.

Oleh itu, pada kepekatan yang berkesan bagi agen atau bahan tersebut, sel-sel tidak akan tumbuh membahagi dan memenuhi ruang telaga tersebut.

Kesan perencatan tersebut boleh dianalisis melalui beberapa teknik dan yang paling mudah adalah melalui asai kolorimetri dan bukan radioaktif menggunakan garam tetrazolium MTT.

Latifah mendapati bahawa bakteriosin telah menunjukkan keputusan yang positif dalam menghalang pertumbuhan sel-sel kanser berkenaan.

Bagaimanapun, beliau tidak melihat bakteriosin berpotensi untuk dibangunkan sebagai agen untuk mengubati kanser kerana nilai IC50 (kepekatan yang berkemampuan untuk mengurangkan bilangan sel sebanyak 50 peratus berbanding kawalan) adalah agak tinggi.

Dengan kata lain, sekiranya sesuatu bahan atau sebatian yang digunakan untuk membunuh sesuatu sel perlu pada tahap kepekatan sehingga separuh daripada bahan dalam uji kaji kawalan dalam makmal, ia dianggap tidak sesuai dijadikan ubat.

``Oleh kerana itu, kami cuba memandang kemampuan bakteriosin dari sudut yang berbeza.

Walaupun tidak mampu mengubati kanser, siapa tahu ia mampu untuk mencegah dari mendapat kanser.

Latifah berkata, geran yang diperoleh dari MAKNA tersebut akan digunakan untuk menguji secara teliti kesan bakteriosin ke atas tikus makmal yang diaruhkan untuk mendapat kanser kulit.

Tikus-tikus tersebut akan diaruh menggunakan bahan kimia pemula dan penggalak kanser.

Dalam pada itu, bilangan dan saiz tumor yang terbentuk akan diperhatikan.

``Insya-Allah, sekiranya penyelidikan yang dijangka memakan masa dua tahun ini menunjukkan hasil yang memberangsangkan, kami berhasrat untuk membangunkan bakteriosin sebagai makanan berfungsi,'' katanya.

Utusan Malaysia: Sabtu 19/1/2004

Friday, February 11, 2005

Cabaran membina satu bangsa unggul

Oleh Khalid Abdullah

UNGGUL ertinya yang terbaik dan ternama. Maka adalah menjadi cita-cita setiap pemimpin untuk melahirkan satu bangsa yang unggul. Kerana pemimpin akan turut dihormati jika umat yang dipimpinnya ternama dan terunggul.

Sebelum daripada kita membina sesuatu bangsa yang unggul perlulah terlebih dahulu kita melihat di mana kita berada sekarang, di mana pula kekuatan dan kebolehan kita. Hasil bumi yang kaya raya tidak akan melahirkan satu bangsa yang unggul jika ia tidak menguasai industri dan ekonomi.

Banyak negara Islam yang mempunyai kekayaan semula jadi yang tidak terkira banyaknya. Tetapi mereka hanya menjadi negara pembeli hasil daripada wang jualan barang-barang mentah daripada negara mereka. Namun mereka tidak berjaya melakukan apa-apa pun hingga pembelian senjata untuk mempertahankan negara mereka pun terpaksa dibeli daripada negara-negara industri yang sebenarnya musuh mereka. Dengan erti kata lain, wang yang banyak sahaja tidak akan menjadikan bangsa itu unggul.

Keunggulan adalah lahir daripada kekuatan rakyat negara itu dengan kekuatan industri dan ekonomi mereka. Sebab itulah negara Jepun yang tidak mempunyai hasil semula jadi berjaya menjadi satu bangsa yang unggul kerana tabiat rajin berusaha dan tekun bangsa itu, walaupun negara mereka telah hancur lebur akibat kekalahan Perang Dunia Kedua. Tetapi aset mereka yang penting adalah rakyat negara itu.

Kalau dilihat daripada kedudukan kita hari ini, jika diambil kira daripada barang-barang keperluan harian yang kita guna, mungkin tidak seberapa yang dibuat oleh kita sendiri. Selebihnya kita terpaksa bergantung kepada negara industri yang lain.

Kita pernah dijajah beberapa kali akibat kelemahan bangsa kita sendiri. Walaupun dari segi pelajaran kita sedikit sebanyak mencapai kejayaan sejak selepas merdeka, tetapi pengaruh kita dalam ekonomi dan industri tidak memberi kesan apa-apa. Ini akibat daripada budaya kita yang suka membuang masa pada yang tidak berfaedah.

Seorang sarjana Jepun telah ditugaskan untuk menyelidik keadaan petani yang gagal menghasilkan tanaman mereka mengikut sepatutnya. Pada mulanya penyelidik ini enggan memberitahu hasil kajiannya ke atas petani yang ditemu duga. Tetapi selepas didesak beberapa kali, beliau pun memberitahu, sebahagian daripada kajiannya menyebut, ``Orang Melayu minum secawan kopi selama tiga jam dan jika isteri mereka menyuruh membeli gula di pasar pada waktu pagi, mereka hanya akan balik ke rumah pada waktu makan tenga hari.''

Saya pernah melawat seorang rakan saya, seorang wanita pertengahan umur berbangsa Cina, pada masa itu beliau sedang membuat kerja-kerja rumah. Beliau tidak berhenti untuk bercakap dengan saya, tetapi saya secara berseloroh berkata kepadanya, ``Saya ingin menjadi orang Cina,.''

Beliau dengan spontan bertanya, ``Kenapa kamu ingin menjadi orang Cina?'' Saya menjawab, ``Kerana orang Cina rajin serta tekun dan pandai mengurus perniagaan dan perusahaan.'' Lantas beliau menjawab, ``Kalau boleh saya ingin menjadi orang Melayu.''

Saya bertanya, ``kenapa?'' Jawabnya, ``Menjadi orang Melayu lebih senang kerana semua orang tolong.'' Saya percaya inilah pandangan umum orang bukan Melayu. Sama ada betul atau tidak terpulanglah kepada pertimbangan masing-masing.

Membina satu bangsa yang unggul adalah satu usaha yang amat penting dan mesti dilakukan di peringkat kecil untuk mendidik mereka supaya tidak bergantung kepada orang lain dan sentiasa belajar. Usaha ini harus dilakukan berterusan. Saya kira mungkin akan memakan masa 20 hingga 50 tahun, itu pun jika berjaya.

Kita merasa sedih melihat apa yang berlaku di Tak Bai dan saya sendiri melihat apa yang berlaku semasa pemerintahan British, Jepun dan Siam tentang bagaimana orang Melayu dilayan dengan begitu terhina.

Keadaan ini mungkin tidak akan berlaku ke atas satu bangsa yang unggul. Di mana mereka mempunyai pengetahuan, keperibadian dan budaya yang boleh mempertahankan maruah bangsa dan negara mereka. Saya tidak pasti sama ada kita akan berjaya atau tidak.

Dalam sebuah negara yang demokrasi di mana pemilihan untuk memilih kerajaan diadakan setidak-tidaknya lima tahun sekali, segala perbuatan yang tidak disukai oleh pengundi akan menjatuhkan kerajaan - walaupun ia bertujuan melahirkan bangsa dan negara yang unggul.

Kita semua masih ingat bagaimana pemimpin kita telah dihina oleh Al Gore, Naib Presiden Amerika Syarikat dalam satu majlis yang dihadiri oleh pemimpin-pemimpin negara dunia yang menyebut perkataan `domoi' dan `reformasi.' Ini menunjukkan mereka tidak langsung menghormati negara dan pemimpin kita hingga tergamak mengeluarkan perkataan yang biadab dengan tidak merasa segan silu.

Saya yakin jika kita memiliki sifat-sifat bangsa yang unggul tentu sekali ia tidak akan mengeluarkan perkataan yang begitu buruk dan tidak bersopan itu.

Biar apa pun halangan dan rintangan, kita harus berusaha menjadi satu bangsa dan negara yang unggul. Kerana dengan keunggulan itu akan dituruti dengan keunggulan agama yang kita anuti. Usaha kita melahirkan satu bangsa yang unggul adalah satu ibadat demi kemuliaan agama, bangsa dan negara.

Sistem demokrasi juga boleh menghalang pembangunan sebuah bangsa dan negara yang unggul. Demokrasi juga boleh membawa kepada perubahan pemimpin akibat daripada pengaruh media yang dikuasai oleh negara kapitalis dan parti pembangkang yang tidak sehaluan. Apa yang kita lihat beberapa pemerintahan di Asia Barat telah berubah akibat hasutan dan akhirnya terperangkap semula di bawah telunjuk mereka.

Haruslah diingat sebelum Perang Dunia Kedua dahulu negara-negara yang ingin menjadi sebuah negara yang ulung seperti Jepun, Itali dan Jerman telah mengamalkan sistem Fascis untuk mengajar rakyat mereka tekun bekerja dengan menanamkan sifat-sifat patriotisme dan nasionalisme untuk menjadi sebuah negara dan bangsa yang ulung. Akhirnya mereka telah mencapai matlamat tersebut hinggalah mereka dapat mengeluarkan beberapa peralatan berat untuk dipasarkan ke dunia luar.

Berterusan

Tetapi menyedari hakikat ini Amerika Syarikat, British dan Zionis telah bersepakat untuk menjatuhkan kerajaan Fascis. Bagaimanapun kejayaan negara tersebut melahirkan sebuah bangsa yang unggul telah tercapai. Sebab itulah Jepun dan Jerman mempunyai aset yang penting kerana rakyatnya menjadi unggul dan mereka dapat bangun semula dalam masa yang singkat.

Saya menyebutkan hal ini kerana untuk melahirkan satu bangsa dan negara yang unggul dalam sistem demokrasi akan menghadapi beberapa masalah luar dan dalam. Kerana kita belum mencapai tahap pemikiran orang Jepun atau Jerman.

Saya amat khuatir pada suatu masa kelak, Melayu akan tinggal namanya sahaja sedang mereka tidak memiliki apa-apa kuasa pun sebagai satu bangsa yang unggul dan wajar dihormati.

Islam Hadhari adalah satu-satunya harapan bagi membangunkan semula Melayu menjadi satu bangsa yang unggul jika ia dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dan teratur. Saya percaya ini pun akan menghadapi berbagai-bagai halangan dari segi kefahaman Islam dan juga perlembagaan. Sama ada kerajaan bersedia menghadapi permasalahan ini, masih menjadi tanda tanya.

Sebelum ini saya telah menyebut tentang keunggulan bangsa Jepun. Saya masih ingat sewaktu seorang pelancong Jepun dibunuh di sebuah hotel di Singapura, pada masa itu saya masih menjadi salah seorang ahli lembaga pengarah hotel yang terbesar di Malaysia, kerajaan Jepun telah mengeluarkan satu senarai nama hotel di Malaysia dan Singapura supaya mematuhi syarat-syarat yang dikenakan sebelum mereka membenarkan mana-mana pelancong Jepun menginap di hotel tersebut.

Pihak Kedutan Jepun akan memeriksa hotel-hotel yang memohon untuk menerima pelancong Jepun. Jika Kerajaan Jepun berpuas hati dengan persediaan yang dibuat, maka hotel itu akan disenaraikan sebagai hotel yang boleh didiami oleh pelancong Jepun. Semua ejen-ejen pelancongan di Jepun dikehendaki mematuhi syarat tersebut. Begitu sekali disiplinnya sebuah bangsa yang unggul.

Yang kedua pada waktu krisis petrol di mana Kerajaan Jepun ingin mengurangkan kadar penggunaan petrol, mereka hanya menyiarkan melalui radio sahaja supaya rakyat Jepun jangan menggunakan kenderaan sendiri dan hendaklah mengguna kenderaan awam untuk mengurangkan penggunaan petrol.

Tidak seorang pun rakyat Jepun yang membantah. Mereka semua menggunakan kenderaan awam. Jika terdapat mereka yang menggunakan kenderaan sendiri, mereka akan digelar `petualang negara'. Tetapi di negara kita terdapat mereka yang menjual diesel yang diberi subsidi kepada negara luar untuk mendapat keuntungan. Apakah ini satu petanda untuk menjadi satu bangsa dan negara yang maju.

Akhirnya saya berpendapat yang hitam katalah hitam, bukan sebaliknya, bukan memuji-muji. Dengan itu orang Melayu akan bertambah lalai dan menjauhkan kita daripada mencapai matlamat negara dan bangsa yang unggul.

Sekarang terletaklah kepada kita sekalian bagi mencapainya atau akan tinggal sebagai harapan semata-mata.

- TAN SRI KHALID ABDULLAH ialah veteran UMNO.

Utusan Malaysia:: Jumaat 11.2.2005

Saturday, February 05, 2005

Komitmen berterusan untuk Aceh

Oleh: ZULKIFLEE BAKAR (Wartawan Utusan)

Langkah kerajaan Malaysia menawarkan pelan induk pembangunan semula Aceh sudah jelas membuktikan ketelusan dan komitmen berterusan negara ini bagi memastikan wilayah Indonesia tersebut mampu bangkit semula selepas dilanda gempa bumi dan bencana tsunami pada 26 Disember lalu.

Ternyata sekali sebagai jiran yang paling dekat dan dianggap sebagai saudara kepada Indonesia, Malaysia tidak mahu sekadar menjadi negara yang hanya menghantar pasukan penyelamat atau melaksanakan misi kemanusiaan semata-mata dan kemudiannya pulang begitu sahaja.

Sebaliknya, Malaysia ingin menyumbang kepada usaha yang lebih besar iaitu terlibat secara langsung untuk membangunkan semula wilayah Serambi Mekah itu dan tidak hanya menjadi pemerhati kepada sebarang usaha untuk tujuan tersebut.

Atas sebab itulah, dengan perasaan tulus ikhlas Malaysia menghulurkan tangan bagi merealisasikan matlamat untuk memastikan Aceh tidak terus menjadi `wilayah berhantu' atau dibiarkan dihiasi dengan sisa-sisa runtuhan akibat bencana yang terjadi.

Bagaimanapun, dalam usaha untuk membantu ini, kerajaan Malaysia amat memahami bahawa segala keputusan terserah kepada pemerintah Indonesia dan menganggap apa yang ditawarkan semata-mata untuk meringankan beban republik berkenaan dan sekali gus memahami betapa beratnya tugas untuk membangunkan semula wilayah yang boleh dianggap 80 peratus daripadanya hancur.

Sebenarnya bagi sesiapa juga yang melihat situasi di Aceh, mereka amat mengerti bahawa bukanlah mudah untuk membangunkan semula wilayah itu dalam masa yang singkat.

Ini kerana kemusnahan dan kehancuran yang dialami oleh wilayah berkenaan terlalu serius dan boleh dianggap tidak mampu ditangani sendirian tanpa sokongan negara-negara asing.

``Jika berdasarkan pandangan saya, kalau mahu dibangunkan semula Aceh, seluruh kawasan yang terlibat dalam bencana tsunami terutama di pusat bandar Banda Aceh `perlu diratakan'.

``Maknanya, kita ibarat meneroka sebuah kawasan baru memandangkan gempa bumi dan tsunami yang terjadi telah memusnahkan segala-galanya termasuk sistem kehidupan masyarakatnya,'' kata seorang tokoh korporat Malaysia yang meninjau keadaan di Aceh baru-baru ini.

Tawaran Malaysia bukanlah bertujuan untuk memperkecilkan keupayaan pemerintah Indonesia tetapi berlandaskan kepada situasi di Aceh yang jelas membuktikan satu perancangan yang cukup teliti diperlukan bagi membolehkan wilayah itu bernafas kembali.

Sudah tentulah, Malaysia turut berduka cita dengan kehilangan nyawa hampir suku juta penduduk Aceh dalam bencana itu tetapi ia tidak bererti Aceh harus terus dibiarkan meratapi tragedi berkenaan.

``Kita tidak mahu dilihat ibarat skuad memungut mayat sahaja, selepas itu pulang tanpa memikirkan apa yang akan terjadi kepada Aceh seterusnya. Kita mahu terus membantu kerana kita memahami keterbatasan yang ada pada pemerintah Indonesia,'' kata seorang pegawai kanan kerajaan Malaysia.

Aceh perlu bangkit semula dan menjadi wilayah yang selama ini turut menjadi penyumbang utama kepada hasil pendapatan pemerintah Indonesia, justeru atas semangat setia kawan inilah Malaysia boleh dianggap memberanikan diri dengan mengemukakan pelan induk pembangunan semula Aceh.

Malaysia seperti mana kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada awal Januari lalu sentiasa bersedia membantu Indonesia dalam apa juga perkara berhubung usaha membangunkan semula Aceh.

Tetapi tegas beliau segala-galanya terserah kepada pemerintah Indonesia untuk menentukannya, Malaysia tidak mahu dianggap jiran yang tidak prihatin dengan membiarkan pemerintah Indonesia bertungkus lumus memerah otak bagaimana memulihkan Aceh.

``Saya yakin pemerintah Indonesia memahami ketelusan Malaysia. Kita bersaudara, saya tidak fikir Malaysia mempunyai apa-apa motif selain benar-benar ingin melihat Aceh kembali pulih,'' kata seorang diplomat Indonesia kepada penulis ketika ditanya mengenai tawaran Malaysia itu.

Malah menurut diplomat berkenaan, apa yang dilakukan oleh Malaysia tidak boleh dianggap sama sekali sebagai satu campur tangan asing sebaliknya keikhlasan seorang sahabat membantu sahabatnya yang lain.

``Kita perlu berlapang dada dan berfikiran terbuka dalam soal ini, jangan terlalu banyak memikirkan soal kenapa Malaysia begitu beria-ia benar ingin membantu Aceh.

``Saya percaya Malaysia memahami kesulitan dan kesukaran pemerintah Indonesia untuk bertindak sendirian menangani masalah di Aceh. Apa yang ingin Malaysia lakukan menyentuh soal pembangunan dan demi kemanusiaan bukannya motif lain,'' katanya.

Pandangan yang sama turut dilahirkan oleh seorang lagi diplomat Indonesia yang menegaskan mahu tidak mahu pemerintah Indonesia harus mengakui tidak akan berupaya membangunkan semula Aceh tanpa bantuan negara asing terutamanya dari jiran-jiran terdekat.

``Rakyat Indonesia perlu bersyukur kerana sekurang-kurangnya kita ada saudara seperti Malaysia yang mahu bersama-sama dalam keadaan susah dan senang, kita percaya jika perancangan Malaysia ini diterima sudah pasti Aceh akan mampu dipulihkan semula dalam tempoh yang singkat,'' katanya.

Sebenarnya pandangan dua diplomat ini tidak ada bezanya dengan pendapat penduduk-penduduk Aceh sendiri yang begitu bangga dan terharu dengan bantuan yang diberikan oleh Malaysia sebaik sahaja wilayah itu dilanda bencana.

Justeru awal-awal lagi ketika bertemu dengan penulis, mereka melahirkan harapan agar Malaysia diberi peranan untuk membangunkan semula wilayah itu dan ia tidak seharusnya melibatkan negara-negara Barat.

``Kerajaan Malaysia lebih memahami situasi di Indonesia memandangkan kita bukan sahaja dari rumpun yang sama tetapi juga mempunyai semangat persaudaraan Islam yang tinggi.

``Kami berpendapat kalau Malaysia terlibat dalam soal memulihkan Aceh, ia akan lebih mudah diterima oleh penduduk wilayah ini kerana amat memahami bahawa Malaysia sentiasa ikhlas dalam membantu,'' kata Syarwan Abdullah, seorang peniaga yang bangunan miliknya turut musnah di tengah-tengah pusat bandar Banda Aceh.

Namun persoalannya, dalam usaha membangunkan semula Aceh langkah yang harus menjadikan keutamaan Malaysia ialah berkaitan dengan penempatan semula penduduk yang kediaman mereka musnah dalam bencana itu serta nasib anak-anak Aceh yang menjadi yatim piatu.

Mengikut statistik pemerintah Indonesia, ketika ini terdapat tidak kurang setengah juta penduduk Aceh terpaksa ditempatkan di khemah-khemah penempatan sementara, manakala hampir 50,000 kanak-kanak menjadi yatim piatu.

Keadaan ini belum lagi termasuk pelbagai infrastruktur yang turut musnah dalam bencana berkenaan antaranya termasuklah sekolah dan hospital. Apa yang lebih membimbangkan ialah kesemua mereka boleh dianggap tidak mempunyai sumber pendapatan berikutan tragedi itu.

Malah mengikut laporan, ratusan ribu penduduk Aceh yang terselamat dalam tragedi itu kini hidup dalam keadaan miskin berikutan kehilangan pekerjaan kerana tempat mereka mencari rezeki di pusat bandar Banda Aceh turut musnah.

``Di kawasan saya ini sahaja terdapat tidak kurang 20,000 orang kehilangan pekerjaan dan kesemua mereka ini tinggal di 17 buah desa. Setiap hari mereka datang ke sini untuk meminta makanan,'' kata Timbalan Pengurus Pesantren Maghfirah, di Kota Baro, Banda Aceh, Umi Sapura Abu Bakar.

Kenyataan Umi Sapura ini hanyalah contoh kecil sahaja tetapi ia cukup memberi isyarat betapa seriusnya keadaan di Aceh jika langkah segera tidak dilakukan bagi membangunkan semula wilayah itu.

Namun begitu jika berdasarkan kepada kemusnahan yang dialami, Aceh tidak mampu dibangunkan dalam tempoh yang singkat. Ini kerana kehancuran yang dialami amat dahsyat sekali.

Kawasan penduduk menjadi padang jarak padang tekukur, bangunan yang tinggal sudah tidak selamat dan pusat perniagaan semakin ditinggalkan. Jika semua ini diambil kira dan kalau pemerintah Indonesia merestui hasrat Malaysia, negara kita mempunyai tugas yang cukup panjang untuk melihat bak kata orang Indonesia, `Aceh menggeliat kembali'.

Namun berdasarkan kepada pengalaman Malaysia membantu membangunkan infrastruktur di beberapa buah negara sebelum ini, negara kita mempunyai keupayaan dan kepakaran bagi merealisasikan matlamat memulihkan Aceh.

Mungkin usaha ini akan mengambil jangka masa yang panjang tetapi sejarah telah membuktikan bahawa Malaysia tidak pernah gagal dalam membantu membangunkan semula sesebuah negara yang mengalami bencana atau dilanda peperangan.

Semoga hasrat murni Malaysia ini yang bakal dilahirkan secara langsung oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika melawat Aceh pada 7 Februari ini akan menjadi kenyataan demi memastikan Nanggoroe Aceh Darussalam `kembali menggeliat'.

Utusan Malaysia:: Sabtu 5/2/2005