Oleh BORHAN ABU SAMAH (WARTAWAN UTUSAN)
KETIKA angka 48 digunakan bagi menunjukkan tempoh negara mencapai kemerdekaan, angka itu tidak mengundang masalah bagi kebanyakan rakyat Malaysia di Semenanjung.
Tetapi di Sarawak dan barangkali Sabah juga, ia adalah keadaan yang sensitif buat mereka.
Memang benar Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, tetapi itu adalah Tanah Melayu, bukannya Malaysia.
Malaysia hanya ditubuhkan enam tahun kemudian apabila Sarawak dan Sabah menyertai Tanah Melayu iaitu pada 16 September 1963.
Ini bermakna Malaysia baru sahaja merdeka selama 42 tahun dan bukannya 48 tahun.
Pada tahun 1957, Sarawak belum merdeka dan masih dijajah oleh British, jadi adalah tidak tepat untuk menyatakan Malaysia merdeka pada tahun 1957.
Mengulas perkara ini, Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi Sarawak, Datuk William Mawan Ikom berkata, menggunakan angka 48 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan telah mengundang kekeliruan.
``Mengikut buku sejarah, Malaysia diwujudkan pada tahun 1963 dan dengan itu Malaysia berusia 42 tahun,'' katanya.
Ahli Parlimen Santubong, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar pula berpendapat, fakta tersebut perlu diperbetulkan.
Menurut Wan Junaidi, beliau tidak berasa sedih dengan kesilapan itu, tetapi ia perlu diperbetulkan supaya tidak mengelirukan banyak pihak terutama pelajar.
``Kita tidak boleh menggunakan 48 tahun untuk semua orang kerana yang merdeka ketika itu ialah Tanah Melayu dan bukannya Sarawak,'' ujar beliau.
Kalau dilihat kepada pandangan para pemimpin di Sarawak itu, sewajarnya pihak pengajur sambutan kemerdekaan pada tahun depan perlu lebih sensitif kepada sentimen rakyat di Kepulauan Borneo ini.
Pada masa akan datang diharapkan `angka sebenar' bagi menggambarkan fakta sejarah yang betul manakala penjelasan perlu dibuat bagi memastikan ia tidak terus mengelirukan rakyat Malaysia.
Barangkali kesilapan fakta itu juga sedikit sebanyak menyumbang kepada semangat sambutan kemerdekaan yang agak dingin pada tahun-tahun sebelumnya.
Ini kerana suara-suara bahawa hanya Semenanjung Malaysia yang merdeka pada 31 Ogos 1957 dan bukan sebaliknya di Sarawak jelas bergema di merata-rata tempat.
Perkara-perkara kecil itu sering kali terlepas pandang oleh banyak pihak sedangkan ia penting bagi memastikan rakyat negara ini di Semenanjung Malaysia lebih memahami rakan mereka di Sarawak dan Sabah.
Selebihnya, ia adalah jaminan untuk integrasi nasional berkekalan.
Utusan Malaysia 6/9/2005
Wednesday, September 07, 2005
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment