Thursday, May 26, 2005

Pembangunan Asia Timur merentasi beberapa generasi

KITA bertemu pada detik penting dalam sejarah Asia Timur dan sejarah benua Asia. Berita dan peristiwa hari ini mengandungi terlalu banyak drama, misteri, tanggapan dan penipuan, baik yang nyata atau khayalan, yang belum pernah disaksikan di Asia Timur dalam tempoh dua dekad lalu.

Ini bukanlah sesuatu yang asing dalam percaturan mana-mana negara. Dalam ruang lingkup yang lebih besar ia adalah keadaan yang tercetus hasil daripada peluang, kemungkinan, harapan, kebimbangan, impian, kuasa politik dan pemikiran baru yang menjadi sebahagian daripada kunci kejayaan.

Pada detik penting ini, bercakap mewakili Asia Timur, izinkan saya menekankan terhadap kebijaksanaan yang luar biasa. Sekiranya ada keperluan untuk sifat negarawan yang bersejarah di Asia Timur, inilah masanya.

Untuk Asia, khususnya Asia Timur, amat penting bagi kita untuk tidak memilih persimpangan yang salah sekarang, malah lebih kritikal bagi kita supaya tidak mengikuti jalan yang salah, tidak menapak di laluan bahaya dan tergelincir serta dilupakan terus – untuk kembali ke era sejarah yang berlainan yakni ketika Asia berada pada zaman batu dengan tanggapan ia kehilangan pedoman, miskin dan tertekan sehingga membolehkan kita dibahagikan dan dipotong bagaikan tembikai mengikut keinginan orang lain.

Pada detik penting ini, wujud keperluan untuk wawasan jelas serta pemikiran strategik yang mendalam.

Saya percaya semua wawasan dan pemikiran strategik perlu lahir daripada matlamat muktamad yang jelas. Malaysia tidak banyak masalah mengenai bentuk masyarakat yang kita perlu wujudkan dan apa yang perlu dibina secara teliti oleh masyarakat serantau, generasi demi generasi untuk beberapa dekad akan datang. Haluan kita sudah lama ditetapkan bertahun-tahun sebelum ini dan kini berada di landasan yang sepatutnya.

Menjelang 2020, Malaysia secara keseluruhan perlu maju baik dari segi ekonomi, politik, sosial dan budaya, selain progresif serta penyayang.

Tradisi empat dekad mengenai keselamatan dan pertahanan mengingatkan kita apa saja yang dicapai di tanah air sendiri tidak dapat kita lindungi melainkan jika negara kita berada dalam rantau yang selamat.

Kita tidak boleh selamat jika kedudukan negara ini tidak berada di kalangan masyarakat Asia Tenggara yang cintakan keamanan dan setiakawan, sesuatu yang kita bina dengan penuh kesungguhan selama lebih 40 tahun. Ini membuktikan kesungguhan mendalam untuk mewujudkan Masyarakat Keselamatan Asean (ASC) yang dipersetujui semua negara Asean dalam Bali Concord II di Indonesia pada Oktober 2003.

Kita percaya Malaysia tidak boleh makmur dari segi ekonomi, kita tidak boleh mencapai Wawasan 2020, melainkan kita berada di kalangan masyarakat Asia Tenggara yang menikmati pembangunan pesat dan kemakmuran. Itulah sebabnya kita berpegang kepada konsep ‘Memakmurkan Jiran’. Kita menolak sekeras-kerasnya perumpamaan ‘Mengemiskan Jiran’. Inilah sebabnya kita benar-benar komited terhadap penubuhan Masyarakat Ekonomi Asia (AEC).

Kita juga percaya bahawa untuk mencapai matlamat menjadi masyarakat yang maju, kita mesti menjadi sebahagian daripada rantau yang mengalami permodenan dan kemajuan pesat. Itulah sebabnya kita benar-benar komited mewujudkan Masyarakat Sosio-Budaya Asean (ASCC).

Sememangnya, kita tahu bahawa bangsa yang berdaulat adalah pemacu kemajuan dan pembangunan. Tiada siapa pun yang boleh melakukan sesuatu yang buruk terhadap kita berbanding apa yang boleh kita lakukan sendiri. Tiada sesiapa yang akan melakukan untuk kita sesuatu yang perlu kita lakukan sendiri dalam lingkungan sempadan sendiri.

Perubahan penting tidak boleh dilakukan kerana tekanan daripada luar. Ia mesti berpunca daripada hati, kesungguhan dan tenaga kudrat kita sendiri. Kita mesti pastikan yang kita hidup selamat dalam masyarakat Asean yang mengutamakan keamanan, kemakmuran dan kemajuan. Kita mesti memperluaskan masyarakat sedia ada supaya ia boleh memanfaatkan dan membangunkan kita.

Jangan ada yang salah faham. Dalam masa terdekat, negara Asia Tenggara perlu memberi keutamaan yang tinggi terhadap pembangunan pesat keamanan, kemakmuran dan kemajuan masyarakat Asean. Sudah semestinya usaha memupuk kerjasama dan integrasi meluas di kalangan Asean ini akan menuntut supaya wujud kerjasama lebih erat.

Isu pokok yang ingin saya tekankan ialah hakikat bahawa usaha pembangunan masyarakat dan integrasi ini akan merangkumi rantau geografi. Tiada pelopor pengwujudan konsep serantau atau integrasi boleh menumpukan perhatian untuk menubuhkan satu entiti Asia dengan mengecualikan segala yang lain.

Integrasi Asia juga memerlukan pendekatan pelbagai dimensi. Ia tidak boleh terhad kepada satu dagangan atau lebih khusus kepada kawasan perdagangan bebas, perjanjian dan rejim.

Adalah menjadi satu keperluan supaya integrasi Asia merangkumi pelbagai lapisan. Dalam bidang ekonomi serantau, mereka yang merencana agenda pembangunan negara, pembinaan, jurutera dan memupuk perpaduan bukanlah kerajaan, sebaliknya mereka adalah pengimport dan pengeksport, pengusaha pelancongan dan ejen perkapalan, syarikat penerbangan, masyarakat umum dan pertubuhan media, perbadanan transnasional Asia, Australasia, Amerika, Eropah dan perusahaan, baik yang kecil, sederhana atau besar, dari segenap pelosok dunia. Adalah lebih baik supaya kerajaan Asia Timur mengakui hakikat ini dan tidak pula mewujudkan halangan atau kekangan.

Secara ringkasnya, saya percaya matlamat integrasi ekonomi Asia harus dan akan maju merangkumi bidang yang luas. Ia akan mempunyai pelbagai dimensi dan pelbagai lapisan. Kesinambungan kewibawaan negara Asean dan kesungguhan negara Asean+3 terhadap integrasi ekonomi Asia amat penting. Ini untuk kebaikan kita semua.

Banyak yang bergantung kepada tahun dan dekad mendatang, tetapi biarlah saya bertukar kepada isu yang perlu disegerakan: pembinaan masyarakat Asia Timur yang aman, makmur dan maju. Satu usaha sama yang kini sudah terjalin dan menjadi asas kepada Sidang Kemuncak Asia Timur yang pertama di Kuala Lumpur pada Disember ini.

Seperti yang anda sedia maklum, Sidang Kemuncak Asean+3 yang pertama diadakan di Kuala Lumpur pada 1997. Sidang Kemuncak Asean+3 yang akan mengumpulkan pemimpin Asean, China, Jepun dan Korea Selatan di Kuala Lumpur pada Disember ini adalah yang ke sembilan, bukan kedua, ketiga, keempat atau kelima. Ini kali kesembilan.

Sepanjang tahun yang amat mencabar ini, kita berjaya membangunkan tidak kurang 48 mesyuarat Asean+3. Bukan satu atau dua.

Pada peringkat menteri Asean+3, mereka sudah kerap bertemu dan berbincang mengenai:



Kerjasama Politik dan Keselamatan Asia Timur;

Kerjasama Ekonomi, Perdagangan dan Pelaburan Asia Timur;

Kerjasama Kewangan dan Pemantauan Makroekonomi Asia Timur;

Kerjasama Pertanian, Perikanan dan Perhutanan Asia Timur;

Kerjasama Tenaga Asia Timur;

Kerjasama Alam Sekitar Asia Timur;

Kerjasama Pelancongan Asia Timur;

Kerjasama Berhubung Jenayah Transnasional Asia Timur;

Kerjasama Kesihatan Asia Timur;

Kerjasama Buruh Asia Timur;

Kerjasama Seni dan Budaya Asia Timur;

Kerjasama ICT Asia Timur;

Kerjasama Kebajikan Sosial Asia Timur;

Pada peringkat pegawai kanan pula, Asean+3 turut mewujudkan beberapa proses tambahan untuk kerjasama Asia Timur, umpamanya:


Mengenai isu belia;

Mengenai Sains dan Teknologi dan

Pembangunan luar bandar dan pembasmian kemiskinan.

Saya sudah menggariskan semua proses Asean+3 pertamanya kerana mereka yang hanya mahu mengaut keuntungan daripada pembabitan mereka dalam proses pembangunan masyarakat Asia Timur, perlu mendapat gambaran lebih jelas mengenai apa yang mereka sertai. Kebanyakan mereka ini masih tidak tahu langsung. Ramai yang bertanggapan dan sudah membuat congakan apa yang boleh mereka ambil dari Asia Timur. Sebaliknya, ramai tidak terfikir langsung mengenai apa yang dapat mereka sumbangkan kepada Asia Timur.

Mereka ini hanya bersedia menikmati keistimewaan kerana mengambil bahagian, tetapi sama ada mereka memikirkan tanggungjawab untuk turut serta menjadi persoalan. Adakah mereka sedia untuk mengharungi cabaran jangka panjang?

Pembangunan Asia Timur harus dilakukan dengan sabar merentasi beberapa generasi. Proses membabitkan pelbagai generasi ini tidak wajar dipertanggungjawabkan kepada sesiapa saja dengan sewenang-wenangnya. Ini bukan peluang untuk direbut sekarang apabila potensi membuat keuntungan amat tinggi dan dilupakan esok apabila keuntungan yang menjadi impian tidak seperti diharapkan.

Saya turut menyenaraikan semua proses Asean+3 yang memang diketahui umum kerana selepas sekian lama, tidak munasabah untuk kita menghapuskan semuanya dan bermula daripada awal. Kita juga tidak seharusnya dilihat ibarat menari cha-cha, iaitu melangkah ke depan dan belakang di tempat sama. Tidak ada gunanya untuk kembali ke asal, terutama apabila umum bersetuju kita berada di landasan yang betul. Pembentukan masyarakat Asia Timur berjalan dengan lancar, itulah sebabnya mengapa banyak negara daripada pelbagai benua ingin menyertai Asia Timur ini, tetapi tiada di antara kita yang mahu melepaskan tempatnya.

Izinkan saya menoleh ke belakang sedikit. Seperti yang anda semua ketahui, atas daya usaha Presiden Kim Dae Jung, Sidang Kemuncak Asean+3 menubuhkan Kumpulan Wawasan Asia Timur (EAVG) pada Disember 1998 yang membariskan golongan intelektual terkemuka Asia Timur yang diberi tanggungjawab merangka wawasan ke arah kerjasama dan integrasi di Asia Tenggara. Kumpulan penyelidik Asia Timur yang dianggotai pegawai kerajaan negara Asean+3, dibentuk pada Mac 2001 untuk mengkaji cadangan Kumpulan Wawasan Asia Timur.

Dalam perenggan pertama laporannya, Kumpulan Wawasan Asia Timur menekankan wawasan ‘masyarakat Asia Timur yang aman, makmur dan maju berdasarkan pembangunan menyeluruh penduduk serantau’. Pemimpin Asean+3 menerima dan menyokong wawasan ini sebagai lanjutan kepada penerimaan dan sokongan terhadap kumpulan penyelidikan antara kerajaan Asia Timur. Seperti yang anda ketahui, saya juga menerima dan menyokong sepenuhnya wawasan ini.

Dalam laporannya, kumpulan penyelidikan Asia Timur menyatakan: “EASG berpendapat kerangka Asean+3 kekal sebagai satu-satunya alat yang mampu dan realistik untuk mengetengahkan bentuk dan asas kerjasama rantau Asia Timur.” Saya bersetuju sepenuhnya.

Sebagai tambahan, izinkan saya menyatakan penghargaan terhadap tugasan cemerlang yang dilaksanakan di Tokyo hampir sebulan lalu oleh Kumpulan Kerja Mengenai Kerangka Pembangunan Menyeluruh Masyarakat Asia Timur yang dipimpin Rangkaian Kumpulan Pemikir Asia Timur (NEAT) Jepun.

Kumpulan kerja NEAT sebulat suara memperakui ‘landasan utama bagi pembentukan masyarakat Asia Timur ialah proses Asean+3.’ Mereka juga mencapai kata sepakat bahawa Sidang Kemuncak Asia Timur tidak akan menjadi pertubuhan, sebaliknya forum yang patut menjadi landasan bagi jalinan hubungan Asean+3 dengan negara lain.

Ketika pembangunan masyarakat Asia Timur menjadi tanggungjawab Sidang Kemuncak Asean+3 dan proses Asean+3, kumpulan NEAT turut mencadangkan supaya Sidang Kemuncak Asia Timur dijadikan landasan bagi Asean+3 berdialog dengan negara lain supaya semua pihak dapat saling memberi sumbangan. Saya percaya kerajaan perlu mengambil kira pandangan kumpulan pemikir Asia Timur yang berada di bawah kepemimpinan NEAT Jepun.

Saya percaya, kita perlu mengelak pertindihan daripada segi matlamat dan program kerja di antara kedua-dua proses ini. Sebagai contoh, Sidang Kemuncak Asean+3 boleh dipertanggungjawab untuk mengendalikan proses pembinaan masyarakat Asia Timur dari segi keamanan, kemakmuran dan kemajuan. Sidang Kemuncak Asia Timur pula boleh memberi tumpuan terhadap bagaimana Asia Timur dapat memberi sumbangan kepada dunia dan bagaimana negara lain boleh mengambil bahagian dalam pertumbuhan serta kemakmuran Asia Timur supaya semua pihak dapat mengecap nikmatnya.

Pelbagai agenda dirangka bagi Sidang Kemuncak Asia Timur di Kuala Lumpur. Daripada isu mata wang, tenaga dan pertumbuhan global kepada usaha bersama mengenai keganasan, hingga kaedah menghapuskan kemiskinan dan menjadi rantau negara membangun pertama di dunia mencapai sasaran pembangunan milenium, di samping bagaimana kita boleh meningkatkan kemampuan ke arah integrasi ekonomi Asia menerusi pembangunan infrastruktur ekonomi asas yang merangkumi lebuh raya dan laluan kereta api yang merangkai serta menyatukan masyarakat Asia Timur. Ini boleh dijelmakan sebagai Inisiatif Pembangunan Infrastruktur Asia (AIDI). Idea begini memang memerlukan kita menggunakan segala sumber yang dimiliki. Dalam hal ini, saya gembira kerana Asia semakin rancak bergerak - keyakinannya atas dorongan pertumbuhan pendapatan yang kukuh dan mapan, di samping lebihan imbangan pembayaran.

Lebih ketara, tabungan Asia dalam bentuk simpanan tukaran asing semakin meningkat dan sudah melepasi penanda aras kebangsaan. Baru-baru ini, Bank Pembangunan Asia (ADB) melaporkan bahawa bank pusat kini menguasai lebih daripada dua pertiga simpanan tukaran asing global dengan agregat mencapai AS$2.5 trilion (RM9.5 trilion). Sebahagian daripada simpanan kita boleh digunakan untuk mencapai matlamat ini. Perkara ini boleh dibincangkan dengan lebih lanjut menerusi proses Asean.

Malaysia menetapkan supaya Agenda Kuala Lumpur ditentukan bukan oleh Malaysia sendiri, tetapi secara pelbagai hala atas dasar konsensus dan persetujuan bersama tanpa paksaan, tekanan atau prasangka.

Merujuk kepada Sidang Kemuncak Asia Timur, saya bangga melihat banyak yang sudah dibereskan oleh pegawai kanan dan menteri Asean di Cebu serta oleh pegawai kanan dan menteri Asean+3 di Kyoto.

Masyarakat Asia Timur mesti mempunyai pendirian. Orang lain mungkin mahukan perkara berbeza. Mereka mungkin menganggap keamanan hanyalah untuk golongan lemah, manakala persahabatan tidak mempunyai makna dalam dunia yang mana manusia saling mengkhianati. Mereka berhak mempercayai apa saja.

Apa yang ingin kita bina di rantau ini ialah masyarakat yang komited sepenuhnya ke arah mencapai keamanan dan penyelesaian terhadap pelbagai pertikaian Pasifik. Kita gembira dengan apa yang berlaku di Kyoto apabila Asean+3 sepakat bahawa mana-mana negara yang mahu menyertai Sidang Kemuncak Asia Timur mesti menerima Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama (TAC) Asean yang sudah dipersetujui China, Jepun, Korea Selatan, India, Pakistan dan Rusia.

Pelbagai cadangan dibuat berhubung Sidang Kemuncak Asia Timur dan banyak lagi pasti ditimbulkan apabila tarikhnya semakin hampir. Satu daripadanya ialah supaya kita bersikap ‘terbuka’. Saya setuju dengan cadangan ini.

Kedua, dalam keadaan pelbagai pihak mahu menjadi sebahagian daripada perlumbaan terhebat ini dan diharap terus menjadi yang terhangat, kita tidak boleh mengatakan ‘ya’ kepada semua. Kita bukan mahu mewujudkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mini. Kita juga tidak bercadang untuk meniru Apec atau beberapa pertubuhan lain.

Ketiga dan paling ketara, kita tidak patut menerima negara yang mahu menghancurkan matlamat atau memutarbelitkan tujuan atau menentang kecenderungan kita. Hakikat ini mungkin tidak memerlukan penjelasan lanjut.

Keempat, dalam pembentukan Asean+3, sudah wujud satu gugusan kritikal. Pada peringkat ini, apa yang boleh kita peroleh dengan menambah lagi gugusan ini jika tindakan membantutkan kemajuan kita atau meningkatkan risiko tergelincir daripada landasan asal?

Sudah semestinya evolusi dan masa akan menjadikan ahli kumpulan ini melebihi 13. Bagaimanapun, dalam masa terdekat, wujud kesedaran supaya evolusi ini tidak meluas terlalu awal, sebaliknya tumpuan diberi terhadap evolusi yang produktif dan mendalam.

Idea hebat mengenai pembentukan masyarakat Asia Timur mula dicadangkan kira-kira 12 tahun lalu. Amat menakjubkan bagaimana pantasnya perubahan daripada perasaan tidak yakin kepada kebijaksanaan konvensional. Sesiapa di kalangan kita yang percaya terhadap pembangunan masyarakat Asia Timur yang aman, makmur dan maju, kini perlu mengorak langkah dengan megah dan penuh keyakinan tanpa perlu meminta maaf kepada sesiapa dan semangat setiakawan terhadap semua. Kita berhak menuntut hak menentukan masa depan kita dan anak kita.

Pada masa sama, kita mesti bergerak ke hadapan atas dasar kita mempunyai tanggungjawab untuk bertindak dan memberi sumbangan. Tanggungjawab dan sumbangan ini bukan saja untuk manfaat rakyat kita, tetapi juga untuk masyarakat sejagat, tidak terhad kepada Asia Timur saja.

Tanggungjawab dan sumbangan ini tidak hanya dalam bentuk kemajuan secara zahir, tetapi juga daripada segi kemajuan spiritual dan tamadun. Hanya selepas itu saja kita berhak bercakap dengan penuh kebanggaan, penghormatan dan pencapaian untuk Asia.
Berita Harian 26/5/2005

No comments: