Friday, February 11, 2005

Cabaran membina satu bangsa unggul

Oleh Khalid Abdullah

UNGGUL ertinya yang terbaik dan ternama. Maka adalah menjadi cita-cita setiap pemimpin untuk melahirkan satu bangsa yang unggul. Kerana pemimpin akan turut dihormati jika umat yang dipimpinnya ternama dan terunggul.

Sebelum daripada kita membina sesuatu bangsa yang unggul perlulah terlebih dahulu kita melihat di mana kita berada sekarang, di mana pula kekuatan dan kebolehan kita. Hasil bumi yang kaya raya tidak akan melahirkan satu bangsa yang unggul jika ia tidak menguasai industri dan ekonomi.

Banyak negara Islam yang mempunyai kekayaan semula jadi yang tidak terkira banyaknya. Tetapi mereka hanya menjadi negara pembeli hasil daripada wang jualan barang-barang mentah daripada negara mereka. Namun mereka tidak berjaya melakukan apa-apa pun hingga pembelian senjata untuk mempertahankan negara mereka pun terpaksa dibeli daripada negara-negara industri yang sebenarnya musuh mereka. Dengan erti kata lain, wang yang banyak sahaja tidak akan menjadikan bangsa itu unggul.

Keunggulan adalah lahir daripada kekuatan rakyat negara itu dengan kekuatan industri dan ekonomi mereka. Sebab itulah negara Jepun yang tidak mempunyai hasil semula jadi berjaya menjadi satu bangsa yang unggul kerana tabiat rajin berusaha dan tekun bangsa itu, walaupun negara mereka telah hancur lebur akibat kekalahan Perang Dunia Kedua. Tetapi aset mereka yang penting adalah rakyat negara itu.

Kalau dilihat daripada kedudukan kita hari ini, jika diambil kira daripada barang-barang keperluan harian yang kita guna, mungkin tidak seberapa yang dibuat oleh kita sendiri. Selebihnya kita terpaksa bergantung kepada negara industri yang lain.

Kita pernah dijajah beberapa kali akibat kelemahan bangsa kita sendiri. Walaupun dari segi pelajaran kita sedikit sebanyak mencapai kejayaan sejak selepas merdeka, tetapi pengaruh kita dalam ekonomi dan industri tidak memberi kesan apa-apa. Ini akibat daripada budaya kita yang suka membuang masa pada yang tidak berfaedah.

Seorang sarjana Jepun telah ditugaskan untuk menyelidik keadaan petani yang gagal menghasilkan tanaman mereka mengikut sepatutnya. Pada mulanya penyelidik ini enggan memberitahu hasil kajiannya ke atas petani yang ditemu duga. Tetapi selepas didesak beberapa kali, beliau pun memberitahu, sebahagian daripada kajiannya menyebut, ``Orang Melayu minum secawan kopi selama tiga jam dan jika isteri mereka menyuruh membeli gula di pasar pada waktu pagi, mereka hanya akan balik ke rumah pada waktu makan tenga hari.''

Saya pernah melawat seorang rakan saya, seorang wanita pertengahan umur berbangsa Cina, pada masa itu beliau sedang membuat kerja-kerja rumah. Beliau tidak berhenti untuk bercakap dengan saya, tetapi saya secara berseloroh berkata kepadanya, ``Saya ingin menjadi orang Cina,.''

Beliau dengan spontan bertanya, ``Kenapa kamu ingin menjadi orang Cina?'' Saya menjawab, ``Kerana orang Cina rajin serta tekun dan pandai mengurus perniagaan dan perusahaan.'' Lantas beliau menjawab, ``Kalau boleh saya ingin menjadi orang Melayu.''

Saya bertanya, ``kenapa?'' Jawabnya, ``Menjadi orang Melayu lebih senang kerana semua orang tolong.'' Saya percaya inilah pandangan umum orang bukan Melayu. Sama ada betul atau tidak terpulanglah kepada pertimbangan masing-masing.

Membina satu bangsa yang unggul adalah satu usaha yang amat penting dan mesti dilakukan di peringkat kecil untuk mendidik mereka supaya tidak bergantung kepada orang lain dan sentiasa belajar. Usaha ini harus dilakukan berterusan. Saya kira mungkin akan memakan masa 20 hingga 50 tahun, itu pun jika berjaya.

Kita merasa sedih melihat apa yang berlaku di Tak Bai dan saya sendiri melihat apa yang berlaku semasa pemerintahan British, Jepun dan Siam tentang bagaimana orang Melayu dilayan dengan begitu terhina.

Keadaan ini mungkin tidak akan berlaku ke atas satu bangsa yang unggul. Di mana mereka mempunyai pengetahuan, keperibadian dan budaya yang boleh mempertahankan maruah bangsa dan negara mereka. Saya tidak pasti sama ada kita akan berjaya atau tidak.

Dalam sebuah negara yang demokrasi di mana pemilihan untuk memilih kerajaan diadakan setidak-tidaknya lima tahun sekali, segala perbuatan yang tidak disukai oleh pengundi akan menjatuhkan kerajaan - walaupun ia bertujuan melahirkan bangsa dan negara yang unggul.

Kita semua masih ingat bagaimana pemimpin kita telah dihina oleh Al Gore, Naib Presiden Amerika Syarikat dalam satu majlis yang dihadiri oleh pemimpin-pemimpin negara dunia yang menyebut perkataan `domoi' dan `reformasi.' Ini menunjukkan mereka tidak langsung menghormati negara dan pemimpin kita hingga tergamak mengeluarkan perkataan yang biadab dengan tidak merasa segan silu.

Saya yakin jika kita memiliki sifat-sifat bangsa yang unggul tentu sekali ia tidak akan mengeluarkan perkataan yang begitu buruk dan tidak bersopan itu.

Biar apa pun halangan dan rintangan, kita harus berusaha menjadi satu bangsa dan negara yang unggul. Kerana dengan keunggulan itu akan dituruti dengan keunggulan agama yang kita anuti. Usaha kita melahirkan satu bangsa yang unggul adalah satu ibadat demi kemuliaan agama, bangsa dan negara.

Sistem demokrasi juga boleh menghalang pembangunan sebuah bangsa dan negara yang unggul. Demokrasi juga boleh membawa kepada perubahan pemimpin akibat daripada pengaruh media yang dikuasai oleh negara kapitalis dan parti pembangkang yang tidak sehaluan. Apa yang kita lihat beberapa pemerintahan di Asia Barat telah berubah akibat hasutan dan akhirnya terperangkap semula di bawah telunjuk mereka.

Haruslah diingat sebelum Perang Dunia Kedua dahulu negara-negara yang ingin menjadi sebuah negara yang ulung seperti Jepun, Itali dan Jerman telah mengamalkan sistem Fascis untuk mengajar rakyat mereka tekun bekerja dengan menanamkan sifat-sifat patriotisme dan nasionalisme untuk menjadi sebuah negara dan bangsa yang ulung. Akhirnya mereka telah mencapai matlamat tersebut hinggalah mereka dapat mengeluarkan beberapa peralatan berat untuk dipasarkan ke dunia luar.

Berterusan

Tetapi menyedari hakikat ini Amerika Syarikat, British dan Zionis telah bersepakat untuk menjatuhkan kerajaan Fascis. Bagaimanapun kejayaan negara tersebut melahirkan sebuah bangsa yang unggul telah tercapai. Sebab itulah Jepun dan Jerman mempunyai aset yang penting kerana rakyatnya menjadi unggul dan mereka dapat bangun semula dalam masa yang singkat.

Saya menyebutkan hal ini kerana untuk melahirkan satu bangsa dan negara yang unggul dalam sistem demokrasi akan menghadapi beberapa masalah luar dan dalam. Kerana kita belum mencapai tahap pemikiran orang Jepun atau Jerman.

Saya amat khuatir pada suatu masa kelak, Melayu akan tinggal namanya sahaja sedang mereka tidak memiliki apa-apa kuasa pun sebagai satu bangsa yang unggul dan wajar dihormati.

Islam Hadhari adalah satu-satunya harapan bagi membangunkan semula Melayu menjadi satu bangsa yang unggul jika ia dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dan teratur. Saya percaya ini pun akan menghadapi berbagai-bagai halangan dari segi kefahaman Islam dan juga perlembagaan. Sama ada kerajaan bersedia menghadapi permasalahan ini, masih menjadi tanda tanya.

Sebelum ini saya telah menyebut tentang keunggulan bangsa Jepun. Saya masih ingat sewaktu seorang pelancong Jepun dibunuh di sebuah hotel di Singapura, pada masa itu saya masih menjadi salah seorang ahli lembaga pengarah hotel yang terbesar di Malaysia, kerajaan Jepun telah mengeluarkan satu senarai nama hotel di Malaysia dan Singapura supaya mematuhi syarat-syarat yang dikenakan sebelum mereka membenarkan mana-mana pelancong Jepun menginap di hotel tersebut.

Pihak Kedutan Jepun akan memeriksa hotel-hotel yang memohon untuk menerima pelancong Jepun. Jika Kerajaan Jepun berpuas hati dengan persediaan yang dibuat, maka hotel itu akan disenaraikan sebagai hotel yang boleh didiami oleh pelancong Jepun. Semua ejen-ejen pelancongan di Jepun dikehendaki mematuhi syarat tersebut. Begitu sekali disiplinnya sebuah bangsa yang unggul.

Yang kedua pada waktu krisis petrol di mana Kerajaan Jepun ingin mengurangkan kadar penggunaan petrol, mereka hanya menyiarkan melalui radio sahaja supaya rakyat Jepun jangan menggunakan kenderaan sendiri dan hendaklah mengguna kenderaan awam untuk mengurangkan penggunaan petrol.

Tidak seorang pun rakyat Jepun yang membantah. Mereka semua menggunakan kenderaan awam. Jika terdapat mereka yang menggunakan kenderaan sendiri, mereka akan digelar `petualang negara'. Tetapi di negara kita terdapat mereka yang menjual diesel yang diberi subsidi kepada negara luar untuk mendapat keuntungan. Apakah ini satu petanda untuk menjadi satu bangsa dan negara yang maju.

Akhirnya saya berpendapat yang hitam katalah hitam, bukan sebaliknya, bukan memuji-muji. Dengan itu orang Melayu akan bertambah lalai dan menjauhkan kita daripada mencapai matlamat negara dan bangsa yang unggul.

Sekarang terletaklah kepada kita sekalian bagi mencapainya atau akan tinggal sebagai harapan semata-mata.

- TAN SRI KHALID ABDULLAH ialah veteran UMNO.

Utusan Malaysia:: Jumaat 11.2.2005

No comments: