Permikiran Firdaus
(firdaus@um.edu.my)
Sektor pertanian yang lebih perkasa
Itulah harapan Tan Sri Muhyiddin
Pengagihan ekonomi yang lebih saksama
Matlamat mulia para pemimpin
Menteri Pertanian, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata: ``Kita kena menunjukkan bahawa bidang pertanian bukan tidak menarik. Pelajar (dan golongan terpelajar) mesti mendapat gambaran bahawa pertanian menyeronokkan.''
Sememangnya imej baru itu diperlukan untuk sektor pertanian agar lebih kuat daya tariknya (terutama di kalangan golongan terpelajar). Agar ada gah dan unsur-unsur gemilangnya.
Tetapi kita boleh menduga bahawa apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melantik Muhyiddin menjadi Menteri Pertanian yang baru yang diharapkan oleh Perdana Menteri itu bukanlah sekadar imej baru malah lebih daripada itu beliau mahu melihat sektor pertanian yang lebih aktif dan lebih produktif dan lebih menyeluruh kegiatannya serta lebih luas ruang lingkup atau skopnya. Pendeknya minat terhadap pertanian mestilah digalakkan.
Sektor pertanian kini dilihat bukan sahaja mempunyai potensi ekonomi yang besar malah juga mempunyai dimensi sosial dan politik serta keselamatan negara yang perlu diberi perhatian yang lebih serius.
Tentu dapat difahami implikasi ekonominya bila 80 peratus daripada keperluan daging yang kita makan di negara ini diimport dari luar negara dan bila sebahagian besar bahan-bahan makanan kita yang lain juga bersumber dari negara asing. Ini bermakna bahawa wang kita mengalir ke luar dan menguntungkan sektor pertanian di negara asing, manakala sektor pertanian dalam negara kita akan terus terbantut. Ini bukan sahaja merugikan kita dari segi ekonomi tukaran asing dan imbangan dagangan malah kalau dibiarkan berterusan boleh melemahkan kedudukan kita dari segi percaturan politik antarabangsa.
Ketergantungan kepada orang asing (walau di bidang apa pun) akan membahayakan keselamatan kita. Apatah lagi ketergantungan bahan-bahan makanan!
Tetapi selain daripada unsur-unsur sosial ekonomi dan `ancaman' akibat ketergantungan kepada sumber asing itu pengabaian sektor pertanian juga mempunyai implikasi tersendiri terhadap kerukunan sosial dan kestabilan politik dalam negara.
Sektor pertanian yang kurang produktif dan tidak berkembang juga mengakibatkan ketempangan ekonomi di kalangan masyarakat. Kerana itulah Muhyiddin menganggap usaha-usaha memperkasa sektor pertanian itu sebagai satu komitmen politik untuk membangunkan masyarakat yang lebih saksama dan memastikan pengagihan yang lebih adil.
Jadi jelaslah bahawa usaha-usaha memperkasa dan menggemilangkan sektor pertanian bukanlah untuk tujuan-tujuan ekonomi sahaja. Memang benar bahawa dari segi ekonomi Muhyiddin mengharapkan agar dalam tempoh 10 tahun yang akan datang sumbangan sektor pertanian terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan meningkat daripada 5.5 peratus kepada 10 atau 15 peratus. Tetapi beliau mengingini lebih dari itu.
- PROFESOR DATUK DR. FIRDAUS ABDULLAH ialah bekas Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Malaya.
Utusan Malaysia - Khamis 11/3/2004
Thursday, March 11, 2004
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment