Lidah PengarangRakyat Malaysia pasti berasa syukur kerana kedudukan ekonomi negara yang baik apabila pertumbuhan terjadi sebanyak lapan peratus pada suku kedua tahun ini.
Kita percaya keadaan ini dapat dicapai kerana kesungguhan kerajaan membangunkan negara melalui pengurusan bagi memastikan defisit bajet dapat dikurangkan secara beransur-ansur.
Dalam suasana baik ini kita mengharapkan Bajet 2005 yang akan dibentangkan Jumaat ini memberi banyak faedah kepada rakyat negara ini dalam pelbagai bentuk khususnya yang berupa material.
Dengan memahami bahawa negara perlu meningkatkan usaha mendapatkan hasil, maka kenaikan cukai terhadap perkara-perkara tertentu seperti rokok pastinya dapat diterima rakyat.
Usaha mendapatkan hasil daripada aliran dana negara asing wajarnya diperluaskan dan diperdalamkan supaya ia benar-benar mendatangkan manfaat yang ketara dan bermakna. Jika usaha hanya sekadar memanfaatkan industri yang ada, maka hasilnya juga akan ala kadar.
Justeru, Bajet 2005 melalui strategi polisi diharapkan dapat mendorong usaha yang bersungguh-sungguh untuk membawa aliran daripada negara asing ke dalam ekonomi negara.
Bidang tradisi yang berkaitan dengan strategi ini adalah pelancongan. Pun begitu pelancongan sudah tidak semata-mata kunjungan terhadap tempat-tempat tarikan baik yang berupa sejarah atau alam semula jadi.
Tambahan kepada itu, pelancongan harus diberi makna luas yang meliputi bidang lain-lain seperti perubatan dan pendidikan.
Kedua-dua bidang ini, perubatan dan pendidikan memerlukan pendekatan baru yang menyeluruh untuk menjadikannya sebagai tarikan bagi negara.
Kita wajar ingat, apabila usaha memajukan sektor-sektor ini dibuat bersungguh-sungguh, akan terserlah bahawa persaingan sengit pasti wujud dengan negara-negara lain yang turut menawarkan khidmat serupa.
Di sini Malaysia perlu mengenal kedudukannya sebagai sebuah negara membangun yang sedang muncul untuk menjadi maju. Maka keupayaannya menawarkan khidmat bermutu tetapi kos berpatutan boleh menjadi tarikan kepada pengguna-pengguna asing.
Kemajuan dan pembangunan bidang perubatan dan pendidikan itu juga akan memanfaatkan rakyat negara ini apabila mereka turut berpeluang menikmati perkhidmatan yang bertaraf dunia.
Kejayaan menjadikan Malaysia sebagai hub pendidikan antarabangsa yang serius boleh menjana kesan sampingan positif pada negara.
Kehadiran pelajar-pelajar asing di negara ini boleh mendorong peluasan jaringan hubungan antara lulusan universiti Malaysia dan selanjutnya menyumbangkan kepada kegiatan perniagaan, perdagangan dan profesional pada masa akan datang.
Pun begitu, pada perkiraan terakhir, kemajuan negara bergantung kepada keupayaannya menarik pelabur-pelabur asing untuk melabur di dalam negara ini bagi pelbagai industri.
Apa yang kita kehendaki ialah pelaburan ini dapat diterjemahkan menjadi peluasan peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan bagi rakyat Malaysia.
Wednesday, September 08, 2004
Subscribe to:
Posts (Atom)