Monday, January 31, 2005

Hukum pekerja bermasalah -- Sekiranya kerajaan tidak mahu usaha mantapkan sektor awam gagal

Oleh: HERMAN HAMID


KUALA LUMPUR 30 Jan. - Kerajaan perlu melaksanakan kaedah menghukum kakitangan awam yang bermasalah sekiranya tidak mahu melihat usaha memantapkan sektor berkenaan menemui kegagalan.

Rata-rata bekas pegawai tinggi kerajaan yakin kaedah tersebut paling sesuai setelah pelbagai imbuhan berbentuk kewangan, kemudahan dan latihan yang diberikan kepada kakitangan awam tidak lagi berjaya merangsang prestasi mereka.

Sehubungan itu, mereka mencadangkan supaya Kaedah Tatatertib Kakitangan Awam yang selama ini menyukarkan tindakan disiplin diambil ke atas kakitangan awam, dipinda.

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha I Kementerian Pendidikan, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, walaupun ada cadangan lain untuk mengubah mentaliti dan sikap kakitangan awam tetapi beliau percaya kaedah `menghukum' adalah jawapan yang paling tepat.

Beliau menarik perhatian pendekatan negara jiran Singapura membentuk perkhidmatan awam yang efisien setaraf dengan sektor swasta.

Katanya, perkembangan di republik itu wajar dijadikan contoh kerana proses tindakan tatatertib yang diguna pakai amat cekap dan tidak mengambil masa yang panjang.

``Di sana jika ada dua atau tiga aduan pelanggan terhadap seseorang kakitangan, sudah cukup bagi siasatan dalaman dijalankan dan keputusannya boleh diketahui dalam masa dua atau tiga minggu sahaja,'' katanya.

Abdul Rashid berkata, ketegasan itu ternyata berjaya melahirkan kakitangan awam yang bukan sahaja komited, malah tidak berani melakukan sesuatu yang menyalahi peraturan kerja.

Menurut beliau, peraturan yang sama jika dilaksanakan di negara ini pasti menjadi peringatan kepada kakitangan awam supaya tidak lagi bekerja sambil lewa kerana tahu tindakan tegas menanti mereka.

``Di Malaysia kita hendak ambil tindakan bukannya senang, macam-macam benda yang terpaksa dilakukan dan akhirnya sampai pencen pun orang yang nak dikenakan tindakan tidak dapat dihukum, sebab itu mereka ambil mudah,'' katanya yang kini Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdulllah Ahmad Badawi baru-baru ini menekankan kelemahan dalam sektor perkhidmatan awam yang antara lain menyaksikan pelanggan di sepak seperti bola ke sana ke mari ketika membuat urusan.

Pendapat Abdul Rashid disokong oleh bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Tan Sri Ramon Navaratnam yang menyifatkan langkah menghukum sebagai jalan penyelesaian terbaik untuk mengatasi masalah yang berpunca dari sikap ambil mudah yang menebal di kalangan kakitangan.

``Oleh itu jika tindakan disiplin boleh dikenakan dengan cara yang lebih praktikal, maka itulah cara yang terbaik.

``Cara lain tidak nampak hasil sangat kerana sekarang ini apa yang kakitangan awam tidak dapat? Cuba bagi tahu saya, gaji, bonus, cuti tahunan, imbuhan lain, latihan, kemudahan kerja semuanya cukup baik malah ada kalanya lebih daripada sektor swasta.

``Walaupun bukan semua jentera kerajaan lemah tetapi kenapa masih ada yang bersikap sedemikian sedangkan semua telah diberi? Jawapannya tentulah kerana kalau tidak buat kerja pun, tiada tindakan yang boleh dikenakan melainkan setakat ditegur oleh ketua sahaja,'' ujarnya.

Sementara itu, bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Abdullah Ayub turut menegaskan tentang perlunya penggunaan kaedah `menghukum' dalam meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam kerana itu adalah satu-satunya aspek sangat jarang digunakan.

Katanya, lebih-lebih lagi apabila membabitkan perbuatan rasuah tanpa mengira sama ada kecil atau besar serta lain-lain bentuk penyelewengan yang kadangkala dipandang ringan oleh kakitangan kerajaan.

Katanya, kaedah tersebut adalah lebih kepada meningkatkan kecekapan bekerja, namun dari segi aspek lain seperti kerenah birokrasi, pendekatan lain perlu dicari.

``Antara yang boleh digunakan adalah seperti apa yang disyorkan oleh Perdana Menteri iaitu memindahkan sebahagian kuasa yang tidak melibatkan dasar kepada pegawai rendah.

``Saya memang menyokong sangat cara ini kerana ia dapat mengelakkan pelanggan diperlakukan sebagai bola apabila pegawai atasan tidak berada di pejabat,'' jelasnya.

Utusan Malaysia:: Isnin 31/1/2005

Thursday, January 20, 2005

Rasional kempen nilai-nilai murni

Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni perlu diadakan kerana kedapatan di kalangan masyarakat kini mengamalkan hidup yang kasar, melanggar bahasa, tidak mengendahkan tatasusila dan beradab.

Cara memberi khidmat, cara melayani pelanggan atau orang ramai oleh kakitangan kaunter hadapan di jabatan-jabatan kerajaan kurang cekap seterusnya menimbulkan tidak puas hati di kalangan orang ramai.

Ada yang menjawab telefon dengan kasar atau acuh tak acuh (atau langsung tidak berjawab), surat-menyurat rakyat lambat dijawab; merosotnya amalan gotong-royong dan kecenderungan menolong orang lain dalam kesusahan; hilangnya amalan hormat-menghormati identiti manusia dan pihak-pihak tertentu yang dahulunya dihormati; keterlaluan mengejar kemajuan kebendaan sehingga lupa akan betapa pentingnya tatasusila berhemah diamalkan semula secara menyeluruh.

Tuntutan Rukunegara tentang tatasusila yang baik harus diisi semula. Bangsa Malaysia yang dicita-citakan harus terus dibekalkan dengan amalan-amalan murni.

Segala bentuk program penerapan nilai yang lalu telah menanam asas keutuhan yang kuat namun permasalahan nilai dan kelemahan integriti masyarakat masih berlaku dengan ketara. Selain kelakuan yang tersua dalam amalan di atas, perkara-perkara berikut juga kedapatan secara meluas di kalangan masyarakat Malaysia:

* Kurang hormat kepada guru, ibu bapa, pemimpin, ketua dan orang-orang tua.

* Trend atau kecenderungan suka mengambil hak orang lain.

* Tidak suka senyum bila bertegur sapa atau semasa memberi khidmat.

* Tidak suka mengungkapkan terima kasih atau bersyukur bila beroleh sesuatu yang baik.

* Kurangnya mengungkapkan ``Apa khabar'' atau ``Assalamualaikum''.

* Kurang mengendahkan budaya kebersihan (misalnya tandas kotor).

* Tidak menepati masa.

* Kurang bertolak ansur di jalan raya.

Budi bahasa dan amalan murni tidak boleh bercambah dengan hanya membiarkan keadaan yang sedia ada. Rakyat dan kerajaan mesti berjuang bersama untuk mewujudkan masyarakat yang berhemah dan berbudi agar tamadun kita tidak hilang mutu dan keindahan sosialnya. Untuk itu kita perlu ingat-mengingatkan akan amalan murni yang sudah hilang itu.

Gerakan dan kempen budi bahasa dan nilai-nilai murni ini adalah puncak daripada tindakan kerajaan untuk menerapkan serta menanam nilai-nilai murni ke dalam alam fikiran, hati budi serta perilaku warganegara Malaysia pada pelbagai lapisan masyarakat. Kempen ini diharap akan meneguhkan kembali kekuatan peribadi dan jati diri masyarakat.

* Petikan daripada Buku Panduan Kempen Budi Bahasa Budaya Kita, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

Utusan Malaysia::19/1/2005

Bina rakyat kelas satu

Oleh Sivamurugan Pandian

Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Istana Budaya pada 11 Januari 2005 merupakan satu kempen yang dirasakan sesuai dengan persekitaran hari ini demi kesejahteraan masa depan.

Malahan, ini merupakan susulan kepada usaha Institut Sosial Malaysia (ISM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di bawah kepimpinan Datin Profesor Roziah Omar yang telah menganjurkan satu Seminar Nilai dan Pembangunan Sosial ke arah pemantapan Dasar Sosial Negara (DSN) dan masyarakat cemerlang pada 16 September 2004. Seminar ini membincangkan mengenai penyematan nilai-nilai murni dalam usaha melahirkan warga cemerlang sebagai `masyarakat kelas satu di sebuah negara kelas pertama.'

Masalah sosial bukan baru tetapi liputan mengenainya menjadi kronik kebelakangan ini. Ini seolah-olah menimbulkan persoalan sama ada kesejahteraan masyarakat Malaysia dan kehidupan berkualiti mereka belum berada dalam tahap yang memberangsangkan.

Pada waktu yang sama, negara tidak ketandusan rakyat yang memiliki nilai-nilai murni, bermoral dan memiliki ciri-ciri kemanusiaan yang tinggi sebagaimana yang boleh dilihat sewaktu Majlis Anugerah Kemanusiaan Muda tahun lalu.

Apa yang jelas, DSN merupakan mekanisme terbaik ke arah melahirkan individu yang mempunyai keyakinan diri, memiliki nilai-nilai moral, bertolak-ansur, berbudi, adil, berdaya tahan, progresif dan dinamik. Ia juga mampu mewujudkan sebuah negara yang maju dan mantap, mewujudkan masyarakat cemerlang.

Pembangunan berterusan dan pesat berlaku di dalam negara kerana kerajaan menyediakan persekitaran yang membolehkan masyarakat terus diberi peluang untuk melibatkan diri dalam pelbagai jenis aktiviti ekonomi tetapi pembangunan tidak dapat dinikmati sepenuhnya jika ia tidak bersifat menyeluruh.

Ketidakseimbangan pembangunan dengan berfokuskan kepada ekonomi secara total akan menyebabkan wujudnya masalah di cabang lain dalam lingkaran kesejahteraan masyarakat.

Jelas, jika karakter dan personaliti masyarakat kurang mantap dan gagal mengimbangkan penyerapan kemajuan negara apatah lagi komposisi populasi masyarakat Malaysia merupakan adunan pelbagai etnik yang mempunyai adat resam, budaya, nilai dan norma serta perbezaan taraf sosial, ekonomi dan politik, maka kecenderungan ke arah konflik yang menggugat kesejahteraan, perkongsian dan keharmonian yang dikecapi selama ini merupakan suatu yang tidak dapat dielakkan lagi.

Kelunturan nilai-nilai ini bukan bersifat kejutan kerana ia sudah dilihat seawal tahun 1950-an yang jelas di dalam penulisan Tun Dr. Mahathir Mohamad di dalam akhbar Straits Times pada akhir tahun 1940-an dan awal tahun 1950-an. Pada awalnya nilai-nilai yang wujud di dalam lingkaran jaringan nilai masyarakat diubahsuai tanpa melunturkan nilai asal masyarakat tersebut.

Bagaimanapun pembangunan berterusan seolah-olah meminggirkan pembentukan nilai budaya ke atas personaliti individu menjadikan mereka tidak matang. Penekanan berterusan ke atas ekonomi yang memperlihatkan kepentingan nilai materialistik dan pembangunan yang menampilkan kecanggihan infrastruktur serta sektor pendidikan yang menekankan mengenai pencapaian akademik menyebabkan pembangunan sosial seolah-olah sukar bersekedudukan dengan transformasi tersebut dan rongga-rongga yang mengikat nilai dan budaya tidak melalui transformasi yang sewajarnya.

Ikatan kerjasama masyarakat menjadi rapuh, terhakis dan cenderung untuk hilang jika masyarakat bersifat individualistik dan mengejar kebendaan semata-mata dan meminggirkan nilai berkompromi, berkerjasama, berbudi bahasa dan bertolak-ansur ke arah merealisasikan pembentukan masyarakat yang cemerlang, masyarakat kelas pertama.

DSN memperlihatkan kepentingan ke atas moral dan nilai yang dianggap sebagai penjana masyarakat yang progresif. Masyarakat dikatakan hanya akan berjaya jika mengamalkan nilai-nilai yang progresif.

Nilai-nilai ini termasuklah rasa hormat kepada orang tua, pentadbiran serta mengamalkan pakaian yang sopan, kelakuan yang baik serta amalan keagamaan, bertanggungjawab ke atas perkahwinan, keluarga, kerja dan sifat-sifat yang bermoral.

Amalan

Di sebalik mempertahankan nilai-nilai murni tersebut, masyarakat perlu sedar bahawa ia penting untuk menghadapi ancaman Barat. Ia memiliki banyak nilai-nilai kurang sihat, dengan mengetepikan amalan tradisional walaupun nilai-nilainya itu pernah menghasilkan kejayaan kepada mereka pada satu ketika dahulu.

Anjakan juga berlaku kerana ada golongan yang tidak dapat mengawal perasaan serta gagal menerap atau menyemai nilai yang boleh memantapkan gaya hidup seseorang. Ini berlaku terutama di kalangan `masyarakat transisi', yakni masyarakat yang terpaksa melakukan perpindahan ke tempat baru akibat pembangunan. Kesannya besar jika mereka gagal menyesuaikan diri dengan jaringan nilai kehidupan di kawasan baru yang mungkin tidak selari dengan amalan sebelum ini.

DSN merupakan pemangkin kepada pengukuhan nilai-nilai ini serta menjana kelahiran masyarakat cemerlang, masyarakat kelas pertama. DSN boleh dimantapkan jika pengurusan berorganisasi dan disiplin diberi penekanan berterusan kerana kedua-duanya juga penting untuk masyarakat Malaysia kekal bersaing dalam era globalisasi ini.

Begitu juga dengan penubuhan Pusat Rujukan Sosial (PRS) di semua kawasan Parlimen mulai tahun ini yang dianggap satu usaha murni untuk menggembleng tenaga ke arah `masalah sosial sifar'. PRS berperanan sebagai pusat tindakan awal, kaunseling dan khidmat nasihat, penghubung antara rakyat dan pihak berkuasa.

Malahan, DSN boleh berfungsi dengan lebih efektif jika penekanan semula dibuat ke atas program kesejahteraan masyarakat seperti aktiviti bersama, menanamkan semangat kekitaan, sebagaimana yang boleh dilihat dalam program gotong-royong dan Rukun Tetangga.

Program seperti ini memerlukan penampilan baru yang mampu menarik golongan remaja. Apa yang diperlukan adalah pelan induk yang bersifat menyeluruh, tersusun dan pelaksanaan yang berdisiplin dengan pemantauan yang berterusan supaya masyarakat sedar kepentingannya.

Mahu tak mahu, transformasi nilai perlu ketika proses perubahan dan penyesuaian berlaku. Prestasi sesebuah komuniti juga turut dikaitkan dengan sistem nilai yang membentuk asas budaya mereka, sebagaimana yang ditekankan oleh DSN dan teras ucapan Perdana Menteri dalam kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni .

Selain daripada itu, rangkaian kerjasama antara pelbagai pihak termasuklah kerajaan, badan bukan kerajaan, parti politik yang mempunyai yayasan sosialnya yang tersendiri boleh diperkemaskan supaya satu ikatan yang lebih menyeluruh dapat dibentuk.

Dasar keluarga negara di bawah DSN akan membantu ia bertindak positif kerana punca permasalahan lazimnya bermula di rumah sebagaimana dinyatakan oleh Perdana Menteri dalam ceramah tahunan Institut Pengurusan Wanita (WIM) bahawa perilaku yang baik bermula di rumah.

* Dr. Sivamurugan Pandian, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Utusan Malaysia :: 19/1/2005

Monday, January 17, 2005

Tsunami: Cabaran terhadap kebajikan Islam antarabangsa

Saudara Pengarang,

SECARA kebetulan saya baru-baru ini membeli sebuah album lagu-lagu Arab berjudul `Arabia'.

Sama ada kita faham bahasa Arab atau tidak, lagu-lagu Arab adalah antara yang paling bermelodi lantaran sedap didengar.

Tetapi itu bukan cerita yang hendak saya kisahkan. Banyak orang membeli album lagu ada yang tulen dan tidak kurang pula yang dicetak rompak.

Yang hendak saya ceritakan ialah hanya setelah mendengar beberapa buah lagu daripada album itu dan meneliti kulitnya, barulah saya sedar bahawa saya terserempak dengan sesuatu yang sangat menarik.

Album itu diterbitkan oleh sebuah syarikat muzik bernama World Music Network dengan kerjasama Oxfam.

Mungkin ada di antara penonton televisyen, pendengar radio dan pembaca akhbar mengetahui mengenai Oxfam kerana ia adalah antara badan sukarela antarabangsa yang paling cergas membantu mangsa tsunami (daripada bahasa Jepun "tsu" yang bererti pelabuhan dan "nami" ombak) di persisiran pantai Lautan Hindi.

Oxfam adalah antara yang paling awal menghantar sukarelawan, kelengkapan, makanan dan ubat-ubatan kepada mangsa tsunami, termasuk di Aceh.

Melalui pengeluaran album lagu-lagu Arab itu, Oxfam mendapat 28 pence (bersamaan RM2.04) bagi setiap unit yang dijual di United Kingdom dan 19 pence (RM1.38) bagi jualan antarabangsa.

Oxfam adalah antara contoh terbaik bagaimana rakyat sesebuah negara boleh mewujudkan sistem jangka panjang membantu mangsa perang dan bencana alam.

Oxfam adalah sebuah organisasi swasta yang bergiat di bidang pembangunan dan bantuan kemanusiaan dengan bermatlamatkan penghapusan kemiskinan dan penderitaan.

Ia ditubuhkan di United Kingdom dan beribu pejabat di Oxford.

Bagi saya, ini bukanlah kali pertama didedahkan kepada Oxfam. Kali pertama saya mengetahui mengenai kerja-kerja amal Oxfam yang tidak ternilai harganya adalah ketika melawat Bosnia-Herzegovina pada tahun 1995.

Waktu itu, Perjanjian Dayton yang menamatkan peperangan di Bosnia-Herzegovina belum pun ditandatangani secara rasmi.

Saya ke negara itu dengan kontinjen Tentera British atas jemputan Kementerian Luar dan Komanwel di London.

Apa yang menarik dan serentak itu memilukan hati saya adalah hakikat bahawa kegiatan utama Oxfam di Bosnia-Herzegovina adalah memelihara, melatih dan memberi rawatan psikiatri kepada wanita dan gadis Islam yang menjadi mangsa rogol orang Serbia.

Di pusat perlindungan Oxfam di Tuzla, sebuah bandar di utara negara itu, seorang wanita mangsa rogol yang memberi namanya sebagai `Selma' merayu agar dunia dimaklumkan mengenai puluhan ribu lelaki Islam yang hilang entah ke mana.

Kebimbangan Selma menjadi kenyataan apabila beberapa bulan selepas itu kubur demi kubur yang mengandungi puluhan ribu mayat ditemui di Srebrenica, sebuah bandar Islam yang ditawan oleh kaum Serbia.

Saya menyebut mengenai Oxfam kerana pada hemat saya, jika rakyat Malaysia yang begitu spontan membantu mangsa tsunami di dalam dan luar negara mahu berbakti sambil mengharumkan nama negara, mereka perlu memikirkan penubuhan sebuah badan bantuan bertaraf dan berskala antarabangsa.

Buat waktu ini, kita sudah pun mempunyai banyak badan sukarela yang cergas dan komited seperti Persatuan Bulan Sabit Merah, Mercy Malaysia, Yayasan Salam dan Aman Malaysia.

Tetapi untuk membantu mangsa bencana alam dan perang secara berterusan dan untuk jangka masa panjang seperti yang diperlukan oleh mangsa tsunami, Malaysia memerlukan sebuah organisasi bantuan swasta yang besar dengan kepakaran dan sumber kewangan yang kuat.

Kegagalan negara dan masyarakat Islam menyerlah dalam membantu mangsa tsunami, khasnya di Aceh di mana hampir semua penduduknya Islam, adalah kerana negara dan masyarakat Islam tidak mempunyai gerakan sivik dan sukarela yang teratur dan terancang.

Akibatnya umat Islam di Aceh lebih banyak diselamatkan, dirawat dan diberi makan oleh negara-negara dan pertubuhan-pertubuhan sukarela bukan Islam.

Kita tidak boleh cemburu atau menaruh syak jika orang Islam yang menjadi mangsa tsunami berasa terhutang budi kepada Amerika, Australia, Britain dan Singapura kerana mereka lebih awal dan lebih banyak memberi bantuan.

Justeru, jika ada hikmah dan teladan daripada tragedi yang diakibatkan oleh gempa bumi dan tsunami pada 26 Disember itu, salah satu daripadanya ialah negara Islam dan umat Islam perlu lebih prihatin, proaktif dan berorientasikan tindakan.

Imej Islam tidak akan cemerlang jika negara dan masyarakat Islam sekadar mengikuti dan mengekori negara dan masyarakat bukan Islam dalam kerja-kerja kebajikan antarabangsa.

Bayangkan apa ertinya kepada imej Islam apabila negara-negara Islam hanya menderma hanya AS$88 juta (RM334.4 juta) daripada AS$5 bilion (RM19 bilion) bantuan rasmi yang dijanjikan oleh negara-negara di dunia dan oleh pertubuhan antarabangsa?

Namun begitu, wang dan harta benda bukanlah satu-satunya jalan membantu dan berbakti.

Mangsa perang dan bencana alam memerlukan simpati, sokongan moral dan pertolongan psikiatri.

Walaupun agak terlambat, kita tetap boleh membantu usaha menyelamat, merawat dan membangunkan semula kawasan bencana.

Negara dan masyarakat yang terlibat memerlukan bantuan jangka panjang. - A. KADIR JASIN, Kuala Lumpur.

Utusan Malaysia::17/1/2005

Saturday, January 08, 2005

Masjid Baitulrahman diguna semua

BANDA ACEH 7 Jan. - Masjid Baituraman di sini digunakan kali pertama untuk solat Jumaat sejak 26 Disember lalu selepas ia digunakan untuk menempatkan mayat-mayat mangsa ombak tsunami.

Orang ramai menunaikan solat Jumaat tanpa menghiraukan bau mayat yang masih menyelubungi dalam masjid yang dibina sejak tahun 1614 lalu.

Pengerusi Majlis Ulama Indonesia, Din Syamsuddin berkata, malapetaka tersebut merupakan ujian Allah dan sebagai satu peringatan kepada hamba yang sering melupakan-Nya.

``Kita berkumpul dan menunaikan solat hari ini untuk memberitahu seluruh negara dan dunia bahawa kita masih wujud walaupun ditimpa tragedi pahit.

``Kita sangat sedih dan masih dalam suasana berkabung tetapi Allah menyuruh kita untuk sentiasa optimis dan menghadapi ujiannya dengan tabah,'' kata Din sewaktu menyampaikan khutbah di hadapan 2,000 jemaah.

Beliau turut meminta penduduk wilayah Aceh yang ditimpa bencana itu untuk terus tabah dan bersabar dengan ujian tersebut.

``Allah tidak menyayangi kita sekiranya Dia tidak menguji kesabaran dan keimanan kita.

``Bencana ini berlaku sebagai satu peringatan kepada kita yang sering gagal melaksanakan ajaran Islam dengan baik,'' tegas beliau.

Para jemaah turut menunaikan sembahyang jenazah selepas menunaikan solat Jumaat hari ini.

Seorang jemaah, Nazurridin berkata, dia kehilangan kedua ibu bapanya dalam tragedi 26 Disember itu.

``Saya berdoa agar kedua-dua mereka masih hidup dan sekiranya nyawa mereka telah diambil oleh Allah, saya berdoa moga mereka mendapat tempat di syurga-Nya.

``Kita tidak tahu apa yang ditetapkan oleh Allah tetapi kita perlu yakin bahawa Dia hanya satu dan satu-satunya yang berhak disembah,'' kata lelaki itu penuh tabah. - AP



Pendidikan menghadapi gempa bumi dan tsunami

Oleh NOR AZIZI YUSOFF

GEMPA sebesar 9 skala Richter pada 26 Disember lalu banyak meninggalkan kesan kepada kita semua.

Sebanyak 12 negara yang terlibat secara langsung terhadap bencana yang boleh dikira sebagai yang terburuk pada abad ini.

Setakat Khamis lepas, angka kematian telah mencecah 140,339 orang di beberapa negara Asia sehingga Somalia di Afrika.

Kematian sememangnya sesuatu yang tidak dapat diganti tetapi kemusnahan harta benda juga suatu yang agak memeritkan.

Di Malaysia sahaja angka kematian adalah 68 orang dengan kemusnahan harta benda masih belum jelas ditafsirkan.

Ramai nelayan dan penduduk di sekitar pantai juga kehilangan mata pencarian.

Apa yang berlaku di negara jiran terutamanya di Banda Aceh, Indonesia jauh menyedihkan lantaran mayat-mayat masih terdampar dengan kerja-kerja menyelamat masih diteruskan.

Ujian yang diberi memang amat dahsyat dan ada pihak yang menuding jari menyalahkan satu sama lain.

Ada yang menyalahkan Jabatan KajiCuaca oleh kerana tidak memberi maklumat awal dan pelbagai tuduhan lagi yang tidak mampu menyelesaikan apa-apa.

Tsunami yang berlaku akibat gegaran gempa kali ini adalah luar dari biasa dan juga di luar daripada kemampuan jangkaan orang biasa termasuk saintis.

Secara umumnya, kita selama ini diberi maklumat yang Malaysia tidak berisiko terhadap gempa bumi kerana kedudukan kita di luar Lingkaran Api.

Bukan itu sahaja, sejarah terdahulu menunjukkan bahawa Malaysia, Myanmar dan Thailand juga bebas dari pengaruh ini.

Bagaimanapun kejadian 26 Disember lepas telah mengubah segalanya.

Hari ini kita dikejutkan dengan kenyataan yang tidak dapat disangkal sama sekali. Malaysia juga tidak lagi selamat dari gempa bumi dan tsunami.

Pada tahun 1833, satu gempa bumi sebesar 8.8 pada skala Richter pernah direkodkan dan tsunami terbentuk tetapi tidak memberi kesan kepada kita.

Gempa bumi ini telah meranapkan bangunan di sekitar 100 kilometer jejari dan terdapat juga bangunan yang sejauh 300 kilometer turut mengalami kesannya.

Pada tahun 1883, letusan gunung berapi Krakatau telah mengorbankan sekitar 86,000 orang dan memusnahkan 160 perkampungan akibat lahar dan gegaran yang terwujud.

Kesan gegaran dapat dirasai di Singapura, Kuala Lumpur dan Selangor. Walaupun ia juga menyebabkan tsunami tetapi tidak memberi kesan kepada negara kita.

Tsunami diwujudkan oleh gempa bumi yang pernah berlaku pada satah kegagalan subduksi yang sama adalah sekitar 8.5 pada skala Richter dan tidak membawa kesan kepada Semenanjung Malaysia.

Sebenarnya, gempa bumi yang sebesar 9 skala Richter merupakan sesuatu yang amat luar biasa di rantau Asia Tenggara dan juga di dunia.

Ia sangat jarang berlaku, amat besar dan hakikatnya ia telah pun terjadi.

Penulis telah mengkaji sejarah kejadian gempa bumi yang memberi kesan kepada Malaysia.

Hasil analisis dari tahun 1897 hingga tahun 2004, gempa terbesar yang memberi kesan kepada Malaysia dan pernah direkodkan sebelum ini adalah berukuran 8.6 pada skala Richter dan berpusat di 1.1 darjah utara dan 126.4 darjah timur iaitu pada sekitar tahun 1950.

Bagaimanapun, gempa ini tidak mendatangkan kesan yang besar kepada negara pada masa itu memandangkan belum ada bangunan-bangunan tinggi seperti sekarang.

Jadi apa kesimpulan yang dapat dibuat? Sebenarnya bencana yang baru sahaja terjadi amat sukar dijangkakan.

Sejarah sebelum ini menunjukkan kesan gempa boleh mengakibatkan kemusnahan yang besar sehingga sejauh 500km seperti yang dialami di Mexico City pada tahun 1985.

Berkuasa

Gempa bumi sekuat 8.3 pada skala Richter telah mengorbankan hampir 10,000 orang serta menyebabkan kerugian sekitar AS$4,500 juta (RM17 bilion) kepada negara Mexico.

Bagaimanapun, gempa pada 26 Disember lalu membuka lembaran baru dalam kajian serupa apabila memberi kesan yang jauh lebih hebat hingga mengorbankan 298 rakyat Somalia yang letaknya beribu-ribu kilometer dari pusat gempa yang menghasilkan tsunami.

Dari suatu sudut, bencana yang berlaku mungkin ujian Allah ke atas semua. Ia berkuasa atas segala sesuatu dan berhak merencanakan segalanya, baik di laut, darat mahupun di mana jua.

Dari aspek sains, gempa bumi sehebat itu bukanlah suatu yang mustahil. Ahli seismologi dan ahli geologi sedia arif tentang keadaan ini.

Penulis bersetuju dengan tulisan bekas Pengarah Bahagian Seismologi, Jabatan Kaji Cuaca Rosaidi Che Abas pada 2 Januari lalu yang menyatakan kita masih belum teruji dengan ujian yang sebenar.

Sebenarnya Semenanjung Malaysia terdedah kepada ancaman gempa yang berada kira-kira 400 kilometer, manakala di Sabah memang terdapat gempabumi setempat yang pernah berlaku.

Gempa yang berlaku beberapa hari lalu berjarak lebih 1,000 kilometer dari Semenanjung Malaysia dan di atas kertas ia tidak akan memberi implikasi yang hebat pada negara ini.

Bagaimanapun, kesannya lebih besar dari apa yang disangkakan.

Semenanjung Malaysia adalah terdedah kepada gempa bumi yang berpusat dari kawasan yang dinamakan Lengkung Indonesia yang sangat aktif (kawasan gempa bumi kerap berlaku).

Setakat ini, ia telah menjana gempa sebesar 9 pada skala Richter dan boleh sehampir 400 kilometer dari Semenanjung Malaysia.

Jadi, apakah yang boleh dilakukan? Penulis amat percaya saranan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mewujudkan Sistem Amaran Awal Serantau adalah tindakan yang paling bijak.

Ini kerana bencana seperti ini tidak akan mengenal sempadan antara negara seperti yang ada di dalam peta dunia.

Ia perlu digerakkan dan penulis percaya Malaysia boleh memainkan peranan yang penting memandangkan kita mempunyai prasarana yang baik dan boleh membantu ke arah usaha ini.

Aspek pendidikan juga merupakan sesuatu yang amat penting. Masyarakat perlu didedahkan dengan situasi yang sebenar supaya lebih bersedia.

Ini kerana masyarakat mungkin tidak dapat menggambarkan betapa bahayanya tsunami ataupun gempa bumi.

Kita tidak dapat menganggarkan bila kejadian seumpama ini akan berulang dan berapa kuat gegaran serta tsunami yang terhasil.

Mungkin dalam masa lima tahun, sepuluh ataupun 100 tahun akan datang ia akan berulang.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna ia tidak akan berulang dalam masa terdekat dan aspek siap sedia sepanjang masa perlu ditanamkan di hati masyarakat.

Pendidikan boleh disampaikan secara formal mahupun tidak formal dari peringkat rendah hinggalah ke universiti.

Di peringkat sekolah rendah, pengetahuan seumpama ini boleh dimasukkan di dalam mata pelajaran berteraskan sains, manakala di peringkat sekolah menengah pula, banyak pilih untuk ia diteapkan dalam mata pelajaran geografi, fizik, sains mahupun mata pelajaran sejarah.

Di universiti pula, ia mungkin menjadi bertambah penting.

Kajian demi kajian harus dilakukan bukan hanya untuk memahami permasalahan yang dihadapi, malah mencari jalan penyelesaian yang terbaik berdasarkan acuan kita sendiri.

Penulis percaya anak Malaysia mampu mencorakkan yang terbaik untuk negara kita sendiri.

Televisyen dan radio pula boleh dijadikan saluran pendidikan secara tidak formal. Rencana dan maklumat yang sesuai boleh disalurkan melaluinya.

Diharap kita akan lebih bersedia sekiranya bencana ini berulang lagi. Apa yang berlaku harus dijadikan ingatan dan teladan supaya pisang tidak berbuah dua kali.

- Nor Azizi Yusoff ialah pensyarah di Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUiTTHO).

Utusan Malaysia : 8/1/2005



Ujian nuklear mempengaruhi gempa dan tsunami?

Oleh LAUPA JUNUS dan KHAIRUNNISA SULAIMAN

TRAGEDI gempa bumi yang mencetuskan gelombang besar atau tsunami kini semakin menimbulkan banyak perdebatan meskipun bencana alam itu pernah berlaku dan sudah mengorbankan ramai manusia sejak berkurun lamanya.

Antara pendapat yang timbul adakah aktiviti manusia seperti ujian nuklear yang dijalankan di dasar laut mampu memberi kesan kepada bencana alam tersebut.

Sememangnya kita mengetahui banyak aktiviti manusia yang menjejaskan perjalanan alam semula jadi seperti pelepasan gas-gas karbon ke udara, pencemaran laut dan sungai dan pembalakan di hutan.

Bagaimanapun, pakar-pakar geologi berpendapat, belum ada bukti menunjukkan bahawa ujian nuklear boleh dianggap penyebab utama gempa bumi besar dan tsunami.

Fellow Kehormat Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Emeritus Dr. Tjia Hong Djin berpendapat, ujian nuklear biasanya hanya mencetuskan gegaran kecil yang magnitudnya mencatatkan angka yang minimum sahaja.

Beliau yang juga pakar geologi berkata, biasanya gegaran yang dihasilkan akibat ujian nuklear hanya mencatatkan magnitud kurang daripada 5 pada skala Richter.

Gempa bumi yang melanda Banda Aceh di Sumatera yang menyebabkan berlakunya tsunami di beberapa pantai negara sekitarnya baru-baru ini adalah berukuran 9 pada skala Richter.

``Tenaga dari ujian nuklear kecil berbanding gempa bumi,'' katanya kepada Utusan Malaysia.

Malah, menurut beliau, letupan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki (pada Perang Dunia Kedua) mengeluarkan tenaga yang sejuta kali lebih kecil berbanding gempa bumi baru-baru ini.

Justeru beliau berkata, ujian nuklear mungkin boleh dianggap sebagai pemacu (triggering) kepada gegaran gempa bumi dan bukan faktor penyebab.

Bagaimanapun, kemungkinan gempa bumi boleh berlaku sekiranya ujian nuklear dilakukan di kawasan sempadan antara tektonik (plet bumi) pada permukaan bumi, tidak boleh ditolak.

Namum demikian, ia bergantung kepada bagaimana letupan itu menyebabkan pergerakan kepada tektonik.

``Kalau ujian diadakan di kawasan tersebut dalam tempoh seminggu sebelum berlaku gempa bumi, maka ia juga tidak boleh dikaitkan,'' katanya.

Sebenarnya, ujian-ujian nuklear yang boleh menghasilkan gegaran kepada kerak bumi merupakan sebahagian daripada gempa bumi aruhan (induced earthquake) iaitu kejadian gegaran yang dihasilkan daripada aktiviti manusia.

Aktiviti manusia terutama di negara maju dan membangun sememangnya banyak menyumbang kepada kerosakan alam sekitar.

Ada yang mendakwa kerakusan aktiviti manusia seperti ujian nuklear, letupan kuari, pembinaan empangan dan struktur tinggi mungkin menyumbang kepada kejadian gempa bumi serta tsunami.

Pensyarah di Jabatan Geologi, Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. John Kuna Raj tidak menolak kenyataan bahawa gempa bumi juga boleh terhasil akibat aktiviti manusia.

``Gegaran yang terhasil daripada aktiviti manusia dinamakan gempa bumi aruhan.

``Di negara ini misalnya, ketika pembinaan Empangan Kenyir di Terengganu dulu, beberapa gegaran kecil yang berpusat di kawasan empangan dikesan dalam masa satu hingga tiga tahun,'' katanya.

Kajian menunjukkan fokus gegaran berkenaan terletak di kawasan empangan yang baru dibina.

Guna Raj berkata, gempa bumi aruhan juga banyak berlaku di beberapa kawasan di dunia dan telah dikaji dengan baik di beberapa kawasan di Amerika Syarikat (AS).

Contohnya, gegaran terjadi apabila sebuah lubang yang dalam digerudi untuk memasukkan bahan tercemar ke dalam sub permukaan dengan menggunakan tekanan suntikan yang tinggi.

``Kadang kala gempa bumi juga boleh berlaku disebabkan oleh tekanan air yang tinggi,'' tambahnya.

Gegaran atau gempa bumi yang berlaku boleh dikaitkan dengan kegiatan manusia harus dipertimbangkan apabila sesebuah empangan dibina kerana ia boleh mempengaruhi kestabilan empangan.

Biasanya, sebelum empangan dibina kajian perlu dijalankan sekiranya gempa bumi berlaku akibat faktor manusia serta kesannya kepada empangan.

Jadi adakah ujian letupan bom nuklear di bawah permukaan bumi mempengaruhi kejadian gempa bumi?

Menurut beliau, dari segi geologi, sesuatu gegaran yang berlaku di permukaan bumi boleh juga diakibatkan oleh beberapa faktor misalnya letupan bom nuklear atau letupan di kawasan kuari.

Misalnya, ujian letupan bom nuklear menghasilkan gelombang yang boleh mengakibatkan getaran yang boleh dikelaskan sebagai gempa bumi.

Gelombang seismos tersebut boleh dapat dikesan oleh stesen seismologi.

``Bagaimanapun bentuk gelombangnya adalah berlainan daripada ombak semula jadi yang terhasil daripada beberapa siri getaran,'' katanya.

Gempa bumi akibat gegaran atau getaran di permukaan bumi juga boleh diakibatkan oleh letupan bom dan kuari.

``Bagaimanapun letupan bom nuklear dan kuari tidak mampu menyebabkan alihan batuan di sub permukaan, tetapi lebih di permukaan bumi,'' katanya.

Gempa bumi merupakan proses semula jadi yang berlaku apabila sempadan kepingan tektonik beralih dan mengubah permukaan.

Dari segi geologi, gempa bumi terjadi apabila terdapat alihan jasad batuan ke arah bertentangan dan sempadan dua jasad batuan permukaan bergeser antara satu sama lain.

Terdapat beberapa sempadan kepingan tektonik yang membahagikan beberapa kawasan di dunia sama ada di lautan atau daratan.

Oleh kerana dua kepingan tektonik bergerak ke arah yang bertentangan, alihan berlaku serta-merta dan terikan atau tenaga terkumpul dibebaskan dikeluarkan sebagai gelombang-gelombang seismos.

Tenaga gelombang seismos itu akan melalui bumi ke permukaan dan melalui sub permukaan yang menghasilkan getaran dan boleh dikaitkan dengan gempa bumi.

Gegaran yang berlaku di permukaan bumi akan menyebabkan gempa bumi, manakala di lantai lautan mungkin mengakibatkan tsunami.

Sebelum alihan, terikan yang berlaku sejak bertahun-tahun akan menyimpan tenaga yang banyak.

Apabila alihan berlaku, gempa bumi terjadi dengan melepaskan tenaga yang begitu banyak.

Bagaimanapun hanya gempa bumi semula jadi yang berlaku di bawah lantai laut yang menghasilkan tsunami.

``Tsunami biasanya hanya boleh berlaku jika gempa bumi terjadi di bawah lantai lautan dengan magnitud lebih 7 pada skala Richter,'' katanya.

Tsunami, menurut Guna Raj merupakan satu proses semula jadi yang banyak memberi kesan kepada penduduk di kawasan tepi pantai.

``Kita tidak boleh menghentikan proses pergerakan kepingan tektonik semula jadi tetapi kita harus mencari jalan bagi meminimumkan kesan kerosakan serta bilangan yang terkorban,'' tegasnya.

Misalnya pusat amaran awal perlu dibina bagi memberikan amaran kepada penduduk di sekitar tepi pantai.

Guna Raj menambah, pembinaan struktur atau bangunan perlu dibina jauh dari pantai dan perlu mempunyai zon penampan.

``Dinding perlindungan yang kukuh mungkin diperlukan, perancangan pembangunan tepi pantai harus dibuat dengan teliti dengan mengambil kira masa akan datang.

``Manakala hutan bakau yang berada di sekitar pantai juga boleh mengurangkan kesan kelajuan ombak tsunami,'' katanya lagi.

Beliau menegaskan, kebarangkalian tsunami berlaku dalam jangka masa singkat adalah terlalu rendah kerana tenaga yang dikeluarkan pada 26 Disember lalu amat besar.

Pensyarah geofizik gunaan dari Pusat Pengajian Sains Sekitaran dan Sumber Alam, Fakulti Sains dan Teknologi UKM, Prof. Dr. Abdul Rahim Samsudin pula berkata, sama ada letupan akibat ujian nuklear menghasilkan gegaran yang menyerupai gempa bumi bergantung kepada sejauh mana besarnya tenaga nuklear yang dihasilkan.

Kesan mungkin berlaku sekiranya ia dilakukan di sempadan-sempadan plet tektonik (kepingan batu di bawah tanah) tetapi magnitudnya mungkin kecil.

``Belum ada bukti atau kajian mengenai perkara ini bagi menentukan kebenarannya tetapi letupan hasil ujian nuklear mungkin boleh dianggap sebagai faktor pemacu sahaja,'' katanya.

Bagaimanapun, dakwaan tersebut tidak boleh ditolak sama sekali, tetapi kebenaran hanya boleh ditentukan sekiranya terdapat kajian mengenai perkara tersebut.

Utusan Malaysia: 8/1/2005

Pastikan bantuan sampai kepada mangsa

Oleh Azman Anuar (Wartawan Utusan)


DERITA mangsa bencana tsunami telah membangkitkan kesetiakawanan sosial di kalangan masyarakat dunia yang luar biasa. Sesama manusia tanpa mengira kerakyatan, agama, suku, ras, serta asal-usul dan jantina, semua terpanggil untuk menghulur bantuan mengikut kemampuan masing-masing.

Setiap hari, bantuan kemanusiaan daripada penderma yang menghulurkan wang, barang dan tenaga terus mengalir. Yang kaya membawa wang besar, yang miskin membawa wang kecil. Nilainya tetap sama di hadapan Yang Maha Esa.

Sesama manusia, kita menghulurkan tangan, memberi yang terbaik bagi mangsa yang sedang dirundung malang.

Dalam mana-mana bencana, nilai-nilai luhur manusia kembali terserlah. Banyak orang sekarang tergerak, bukan hanya menyumbangkan sebahagian hartanya, tetapi menyiapkan diri sebagai sukarelawan.

Tabung bencana tsunami yang terus dikumpul adalah bukti hebatnya perhatian masyarakat dunia terhadap derita yang menimpa mangsa tsunami. Dalam konteks sekarang perhatian yang lebih perlu diberikan kepada rakyat Aceh dan Sumatera Utara.

Jika menonton berita-berita dari CNN, BBC, CNBC dan juga berita dari TV tempatan, perhatian yang ditunjukkan warga dunia sangat mengharukan.

Ketika mata memerhati mangsa di Aceh, jangan dilupa kepada mangsa tsunami tempatan. Selepas 12 hari tragedi tsunami melanda mangsa tsunami di Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Perak dan Selangor, apakah mereka sudah menerima bantuan seperti yang dijanjikan. Jika belum atau hanya baru sedikit dihulurkan, bantuan yang mencukupi perlu dihulurkan segera. Taksiran kerugian dan kemusnahan harta benda yang ditanggung oleh mangsa perlu dipercepatkan.

Ini kerana desas-desus bantuan kepada mangsa banjir di Pantai Timur Semenanjung khabarnya masih ada yang belum menerimanya.

Perkara ini hendaknya jangan disalah anggap, tapi harus diteliti. Barangkali ada masalah birokrasi dan kerumitan dalam mengagihkan bantuan-bantuan tersebut. Hendaknya jangan disusahkan wang bantuan kerajaan dan derma orang ramai yang tulus ikhlas menghulurkan bantuan.

Jika kita menyeru masyarakat supaya tampil menghulurkan sebarang bantuan dan ia disambut dengan tangan terbuka, maka jangan menyukarkan proses mengagihkan bantuan itu. Merumitkan atau melambatkan agihan bantuan, tanpa disedari bererti menghalang saudara kita sendiri untuk hidup.

Jumlah tabung bencana tsunami sudah melebihi angka jutaan ringgit, tetapi ia tidak menggembirakan mangsa-mangsa jika agihannya lambat.

Kita boleh menerima hujah bahawa pihak berkenaan memerlukan masa untuk menaksir kerugian dan jumlah bantuan yang perlu diberikan kepada individu mangsa, tetapi jangan terlalu lama.

Niat penderma menghulurkan bantuan supaya ia segera dapat diberikan kepada mangsa. Lagi cepat diberikan wang derma itu, lebih segera mereka dapat membina semula kehidupan baru.

Di samping itu, satu perkara yang perlu diawasi ialah penyelewengan. Semua sumbangan dan niat yang baik ini boleh menjadi `bomerang' apabila ada otak kotor dan tangan busuk mengambil bantuan itu sehingga tidak sampai kepada sasaran.

Atau ada yang cuba-cuba mengurangkan jumlahnya, sehingga yang sampai kepada mangsa hanya sebahagian saja. Atau nilai sumbangan kepada mangsa ditambah, jauh daripada nilai sebenar, dan lebihannya dikaut untuk kepentingan peribadi.

Tidak semua orang berhati tulus. Selalu saja ada yang mencuri dalam kesempitan. Inilah yang harus diwaspadai. Kita harap sikap buruk itu tidak berlaku di negara ini.

Utusan Malaysia: 8/1/2005


Waspada limpahan bantuan kuasa besar

Oleh RUHANIE AHMAD


Tsunami yang melanda sebahagian rantau Asia Selatan dan Asia Tenggara baru-baru ini adalah tragedi yang ditakdirkan oleh Allah. Segala-galanya terjadi dengan sekelip mata. Tiada siapa yang mampu menghalangnya.

Hakikat ini termaktub dalam ayat 82 Surah Yasin yang bermaksud: Sesungguhnya keadaan kekuasaan-Nya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu, ``Jadilah engkau!'' Maka ia terus menjadi.

Bagaimanapun, kesan daripada tragedi tersebut nampaknya seakan-akan menjadi `anugerah' Tuhan kepada sesetengah kuasa besar dunia yang sebelum ini bergelumang dengan pembunuhan, darah dan air mata di Iraq dan Afghanistan.

Kelompok ini seolah-olah sedang menggunakan darah dan air mata mangsa tsunami di beberapa lokasi di Asia Selatan dan Asia Tenggara untuk membasuh dan menyucikan imej serta nama baik mereka yang amat buruk sejak Peperangan Antiterorisme Global (PAG) mulai akhir Oktober 2001.

Oleh itu, mangsa tsunami di Asia Selatan dan Asia Tenggara, khususnya yang di Aceh dan barat daya Thailand, perlulah waspada terhadap seluruh perkembangan diplomasi antarabangsa dan percaturan geopolitik global di wilayah masing-masing .

Mereka perlu insaf, sesetengah kuasa besar yang kini terkejar-kejar ke Aceh dan barat Thailand ada juga yang menganggap kematian adalah collateral damage dan perangkaan yang langsung tidak bermakna.

Kepada kuasa besar seperti ini, kematian dan kemusnahan kononnya amat diperlukan supaya sesuatu perbuatan khianat mereka boleh diterima oleh komuniti dunia sebagai kejadian yang tragik, spontan dan semula jadi.

Oleh itu, berhati-hatilah supaya tsunami baru-baru ini tidak menjadi seperti peristiwa Pearl Harbour yang menyebabkan bom atom diledakkan ke Hiroshima dan Nagasaki di Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua, atau seperti Tragedi 11 September 2001 yang menyebabkan PAG dilancarkan di Afghanistan dan Iraq.

Maka, wajarlah warga Asia Tenggara di Aceh dan barat daya Thailand bersikap berpada-pada ketika menghargai komitmen dan dedikasi sesetengah kuasa besar dunia dalam mengatasi masalah jangka pendek dan panjang yang bangkit daripada tragedi tsunami.

Dengan cara ini, moga-moga wilayah-wilayah terbabit akan terhindar daripada tipu daya dan manipulasi sesetengah kuasa besar yang sentiasa mahu menjadikan Asia Tenggara satu kawasan tumpuan geopolitik mereka di abad ke-21.

Memang komuniti Asia Selatan dan Asia Tenggara yang dilanda tsunami wajar berterima kasih di atas sumbangan kemanusiaan sesetengah kuasa besar yang kini mencecah sehingga berbilion ringgit nilainya.

Tetapi, komuniti di atas juga perlu insaf bahawa sesetengah kuasa besar berkenaan sebenarnya mempunyai matlamat `udang di sebalik batu' ataupun `menangguk di air keruh' bila mereka mempamerkan keprihatinan masing-masing terhadap mangsa tsunami.

Ini kerana sesetengah kuasa besar berkenaan sebenarnya mempunyai matlamat geopolitik yang jelas dan mendesak, terutamanya di Thailand, Indonesia dan Malaysia.

Sesetengah kuasa besar itu telah menyuarakan hasrat mewujudkan pangkalan tentera udara di Thailand, pangkalan tentera laut di Indonesia, dan mahu menguasai keselamatan Selat Melaka milik Malaysia dan Indonesia.

Bagaimanapun, semua cita-cita kuasa besar itu masih belum tercapai. Oleh itu, waspadalah. Janganlah limpahan bantuan terhadap mangsa tsunami dari sesetengah kuasa besar dunia sekarang ini menyebabkan mana-mana pihak di Asia Tenggara kehilangan kedaulatan dan integritinya di masa akan datang.

Kewaspadaan seperti ini penting kerana di beberapa wilayah tertentu di dunia, sesetengah kuasa besar memang telah menggunakan bantuan kemanusiaan sebagai satu cara untuk mencapai beberapa matlamat geopolitiknya.

Kebelakangan ini, ada pula kuasa besar beranggapan bahawa terorisme maritim akan menggugat pengangkutan petroleum di seluruh dunia, khususnya di beberapa perairan di Lautan Hindi.

Antara kumpulan teroris yang dituduh `menghantui' perairan di Lautan Hindi adalah Al-Qaeda, Hezbullah, Jemaah Islamiah (JI), Tamil Tiger, Gerakan Aceh Merdeka (GAM) dan Abu Sayyaf.

Daripada seluruh kes terorisme maritim pada 2003, 42 peratus dikatakan terjadi di Selat Melaka, membabitkan GAM dan JI yang dipercayai menggunakan hasil terorismenya untuk membiayai kegiatan masing-masing. Lantaran itu, tsunami baru-baru ini juga dipercayai akan melumpuhkan seluruh kegiatan terorisme maritim Tamil Tiger di Laut Andaman dan GAM di Selat Melaka di masa akan datang.

Pergerakan dan perjuangan politik Tamil Tiger di Sri Lanka serta GAM di Aceh juga dijangka terjejas. Ramai ahli dan pemimpin kedua-dua organisasi ini dipercayai terkorban dalam bencana tsunami.

Perkembangan seperti ini pasti menggembirakan sesetengah kuasa besar dunia. Mereka yakin terorisme maritim membabitkan Tamil Tiger dan GAM akan berkurangan atau terus lumpuh.

Tsunami itu juga, dipercayai akan melumpuhkan ancaman GAM kepada operasi kilang gas cecair asli di Aceh, di samping melemahkan semangat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa yang kononnya memihak kepada GAM.

Berasaskan seluruh huraian di atas, jelaslah gempa bumi skala besar dan gelora raksasa yang melanda sebahagian Asia Selatan dan Asia Tenggara baru-baru ini seolah-olah membantu sesetengah kuasa besar dunia menyelesaikan pelbagai masalah geopolitiknya di rantau terbabit.

Sebab itulah terdapat sekelompok warga dunia yang kini menjadi sinis. Secara bergurau mereka bertanya: ``Mustahilkah kalau gempa bumi dan tsunami baru-baru ini angkara sesetengah pihak yang mahu bertapak di Indonesia dan Thailand?''

Pertanyaan tersebut sungguh aneh. Mana boleh manusia mencipta tsunami, dan mana boleh manusia mengambil alih kuasa Tuhan? Bagaimanapun, kumpulan tersebut menghujah, bukankah manusia mutakhir sudah menguasai pelbagai ilmu dan teknologi canggih lagi terkini?

Seterusnya, golongan manusia sinis ini pun memetik kandungan buku The New Babarians oleh Dr. Lawrence Dunegan yang memuatkan kenyataan Dr. Richard Day pada 20 Mac 1969 seperti berikut:

``Cuaca boleh dikawal supaya menjadi senjata di dalam sesuatu peperangan. Ia juga boleh dijadikan senjata untuk mempengaruhi sesuatu dasar awam. Cuaca panas boleh diadakan di musim menanam supaya semua tanaman mati dan kering kontang. Hujan pula boleh diadakan di musim menuai supaya seluruh hasil binasa dan tidak boleh dikeluarkan.''

Oleh itu, kata Dr. Day, kawasan yang cuacanya dimanipulasikan oleh manusia menerusi sains, tentu boleh dikongkong oleh pihak yang memanipulasikan cuaca berkenaan, demi sesuatu kepentingan atau matlamat tertentu.

Kenyataan Dr. Day seperti di atas sebenarnya menghuraikan perihal sekumpulan manusia yang kononnya berkonspirasi untuk menentukan agenda serta susunan dunia (world order) dari zaman ke zaman. Tetapi, tidak mungkinkah konspirasi seperti itu relevan dengan perkembangan di dunia mutakhir?

Seterusnya, kumpulan sinis itu bertanya, kenapakah pada 26 Disember 2004, seolah-olah tidak ada satu pun kapal yang melalui Lautan Hindi berhampiran Aceh, Teluk Benggala, Laut Andaman, atau utara Selat Melaka?

Kalaulah ada kapal yang sedang belayar ketika itu, tidak mungkinkah ada di antara mereka yang terjejas oleh pukulan tsunami yang ganas? Tidakkah ketiadaan kapal yang terjejas ini sama dengan tiadanya orang Yahudi yang pergi ke pejabat di WTC, New York, pada pagi 11 September 2001?

Oleh itu, kumpulan sinis tersebut berharap, janganlah soalan-soalan seperti di atas disifatkan sebagai bodoh, gila atau perbuatan `anjing menyalak bukit.'

Kata mereka, kalau hari ini ada `anjing menyalak bukit,' periksalah bukit berkenaan. Siapalah tahu kalau di sebalik bukit itu terdapat `musang berbulu ayam' atau `serigala berwajah rusa?'

Oleh itu, walaupun suara kumpulan sinis seperti di atas tidak memerlukan penelitian khusus, rakyat dan kerajaan Indonesia, Thailand dan Malaysia mestilah insaf bahawa tsunami baru-baru ini memang sedang dieksploitasikan oleh sesetengah kuasa besar untuk mencapai pelbagai agenda geopolitiknya di Asia Tenggara. Waspada!

Utusan Malaysia: 8/1/2005

Tsunami menyatukan dunia

Oleh Zulkefli Hamzah (Di Jakarta, Indonesia)


APA yang dibanggakan pada Mesyuarat Ketua-Ketua Negara ASEAN Mengenai Bencana Gempa Bumi dan Tsunami di Jakarta Khamis lalu ialah sambutan pemimpin dunia untuk sama-sama terlibat membantu negara-negara mangsa bencana itu.

Mesyuarat yang diadakan 12 hari selepas gempa bumi dan ombak tsunami melanda Asia yang mengorbankan lebih 150,000 nyawa ini bukan sahaja `padat' dengan pemimpin-pemimpin utama dunia tetapi sarat dengan komitmen untuk menghulurkan bantuan.

Sempena pertemuan tergempar ini, para pemimpin dunia turut tidak melepaskan peluang untuk melihat sendiri kesan-kesan kemusnahan akibat gempa bumi dan tsunami di kawasan yang paling teruk terjejas, Aceh.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Colin Powell, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah antara pemimpin yang melawat Aceh.

Pada pertemuan sehari ini malah pada hari-hari sebelumnya, bantuan antarabangsa mengalir begitu menakjubkan. Pelbagai negara dan organisasi antarabangsa seperti berlumba-lumba memberi bantuan - wang tunai, penangguhan bayaran hutang dan pinjaman mudah yang jumlahnya mencapai RM13.3 bilion.

Malaysia sendiri, sebagai jiran terdekat Indonesia iaitu negara yang paling teruk terjejas dalam bencana itu menyerahkan derma wang tunai RM12.95 juta hasil sumbangan kerajaan dan syarikat yang beroperasi di republik ini.

Jumlahnya mungkin kecil berbanding bantuan dari negara lain tetapi sebagai negara yang turut terjejas akibat bencana itu komitmen Malaysia menggambarkan semangat membantu yang tinggi.

Malah Malaysia seperti dinyatakan Abdullah membuka tawaran untuk membantu memulih dan membangunkan semula Aceh, proses bantuan kedua selepas bantuan kecemasan yang kini telah dihantar ke wilayah tersebut.

Negara-negara mangsa khususnya Indonesia memang wajar mendapat bantuan antarabangsa kerana tidak mungkin sebuah negara dapat menangani bencana sedahsyat ini.

Di wilayah Aceh dan Sumatera Utara, bencana itu mengorbankan lebih 97,000 orang. Ibu kota Banda Aceh porak-peranda manakala kota-kota lain yang terletak di pesisir pantai Barat termasuk Aceh Jaya, Meulaboh dan Aceh Besar lenyap disapu tsunami.

Powell yang sudah biasa berada di medan bencana dan peperangan pun membuat kesimpulan bahawa beliau belum pernah menemukan bencana sedemikian dahsyat dan tidak mampu membayangkan kengerian bencana itu.

Kengerian tsunami dan kesan kemusnahan yang diakibatkannya inilah yang mengetuk pintu hati banyak negara dan organisasi antarabangsa menghulurkan bantuan yang terbahagi kepada peringkat bantuan kecemasan, pemulihan dan pembangunan semula serta pencegahan.

Kehadiran pemimpin dunia walaupun dengan notis singkat dan komitmen mereka untuk membantu memang wajar dikagumi. Hampir semua negara dunia seperti tidak mahu ketinggalan untuk ikut berperanan serta meringankan penderitaan sesama umat manusia.

PBB yang diberi tanggungjawab untuk mengurus semua bantuan bencana tsunami melantik Margareta Wahlstrom sebagai penyelaras berikutan adanya kebimbangan kerenah birokrasi bakal menghambat kelancaran bantuan.

Mungkin masyarakat antarabangsa telah belajar daripada pengalaman tragedi gempa bumi di Bam, Iran pada 26 Disember 2003. Janji bantuan dari banyak negara dilaporkan hanya sampai setahun kemudian.

Malah beberapa negara dan organisasi antarabangsa tidak menunaikan janjinya sehingga jumlah sumbangan yang terkumpul jauh lebih rendah daripada yang dijanjikan.

Atas alasan ini, mesyuarat kelmarin sebagaimana yang terkandung dalam deklarasi menekankan pentingnya PBB memainkan peranan utama mengelola bantuan secara telus dan dapat sampai kepada mangsa secepat yang mungkin.

Kofi Annan menganggarkan sekurang-kurangnya RM3.7 bilion diperlukan dalam waktu terdekat ini untuk bantuan kecemasan terutama bagi menghindari jangkitan penyakit berikutan keadaan negara yang terkena bencana begitu memprihatinkan.

Sebagaimana di Aceh, masih banyak mayat belum dikuburkan walaupun telah memasuki hari ke-12 manakala keadaan persekitaran yang kotor dan bekalan air bersih masih terhad.

Indonesia yang masih dijerat dengan hutang menganggarkan memerlukan dana sebesar antara RM5.7 bilion dan RM7.6 bilion untuk menangani bencana tersebut.

Isu bantuan kecemasan dan pemulihan serta pembangunan semula yang menjadi inti perbincangan dalam mesyuarat kelmarin telah menghasilkan ketetapan-ketetapan yang menjanjikan buat negara-negara yang menjadi mangsa.

Sebuah lagi kesepakatan yang penting sebagai langkah pencegahan kepada rantau ini ialah membangunkan sistem amaran awal di Lautan Hindi agar musibah ini jika ia datang semula tidak mendatangkan kemusnahan sedemikian besar.

Tetapi sekali lagi, banyak negara rantau ini tidak mampu untuk membangunkan sistem amaran awal ini kerana kos infrastrukturnya begitu tinggi tanpa dibantu oleh negara maju mahupun pertubuhan antarabangsa khususnya PBB.

``Saya setuju pembangunan sistem amaran awal ini yang dapat membuka peluang menyelamatkan banyak jiwa itu,'' kata Annan mengulas kesepakatan negara ASEAN untuk membangunkan sistem berkenaan.

Beberapa buah negara telah memberikan komitmennya untuk membantu mewujudkan sistem amaran awal ini sebagaimana dinyatakan oleh Perdana Menteri Jepun, Junichiro Koizumi.

``Kita bersedia menjalin kerjasama dengan negara-negara lain dan organisasi antarabangsa untuk membangunkan mekanisme amaran awal tsunami bagi negara-negara di sekitar Lautan Hindi,'' kata Koizumi.

Sistem tersebut, menurut Koizumi, akan meniru model di Lautan Pasifik yang dibangun setelah terjadi bencana tsunami yang diakibatkan oleh gempa bumi di Chile pada 1960.

Rancangan untuk membangunkan sistem amaran awal itu akan dibentangkan pada Persidangan Antarabangsa PBB Mengenai Pengurangan Kesan Bencana di Kobe, 18 Januari ini. Kobe ialah wilayah yang pernah dilanda gempa bumi dahsyat sepuluh tahun lalu.

AS juga kini sedang merancang untuk mencipta sistem amaran tsunami global yang dapat melindungi populasi besar penduduk yang tinggal di wilayah pantai.

Selain itu Australia juga dilaporkan sedang mereka cipta sistem amaran di Lautan Hindi yang dapat dibangun dalam waktu setahun dengan kos awal sebanyak RM76 juta.

Memang alam tidak selalu dapat dijinak dan ditaklukkan tetapi manusia seharusnya belajar daripada pengalaman agar derita yang ditanggung di Indonesia, Thailand, Sri Lanka, Maldives, India mahupun Malaysia tidak terulang lagi.

Di Jakarta, masyarakat antarabangsa telah menunjukkan komitmennya untuk menghulurkan bantuan dan memastikan agar tsunami tidak menelan banyak korban lagi. - Utusan

Utusan Malaysia :8/1/2004

`Saya pilu lihat keadaan mayat berpelukan sesama sendiri'

Oleh: RAHMAN DAUD

KUALA LUMPUR 7 Jan. - Bau mayat puluhan ribu mangsa gempa bumi dan ombak besar tsunami di Aceh tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Begitulah luahan seorang anggota Persatuan Bomba dan Penyelamat Sukarela Malaysia (MVFRA) yang mengikuti misi kemanusiaan selama tujuh hari di Banda Aceh sejak 30 Disember lalu.

Walaupun Koperal Noor Amali Mahat sudah kali kedua menyertai kerja-kerja kemanusiaan termasuk di Bam, Iran yang dilanda gempa bumi, tetapi keadaan di Banda Aceh lebih dahsyat.

Menurutnya, beliau tidak dapat menggambarkan dengan kata-kata keadaan mayat bergelimpangan yang bengkak, berulat malah berbau, sebaik sahaja menjejakkan kaki di bumi Banda Aceh.

Beliau berkata, pasukannya yang diketuai jurulatih kecemasan Kapten K. Balasupramaniam bersama sukarelawan lain termasuk tentera Indonesia bertungkus-lumus dalam operasi mencari dan menyelamatkan mangsa.

Katanya, keadaan menyayat hati apabila melihat mayat-mayat bergelimpangan bersama sampah-sarap dan lumpur selain dibawa arus deras.

``Lebih menyedihkan ada mayat yang berpelukan sesama sendiri dan dibawa arus bagaikan `sungai mayat'. Keadaan ini begitu memilukan dan menyentuh perasaan saya.

``Ada sesetengah mayat pula tersangkut pada pokok dan ada juga terdampar di tebing sungai.

``Bayangkan sebatang sungai selebar lapan meter sarat dengan mayat manusia termasuk orang tua, perempuan, lelaki, kanak-kanak selain golongan remaja. Keadaan air yang dulunya bersih sudah bertukar warna,'' katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekembalinya dari Aceh, malam tadi.

Beliau bersama lima anggota MVFRA tiba di (KLIA) setelah seminggu berada di Aceh bagi membantu mangsa-mangsa tsunami.

Lima lagi anggota sukarelawan lain ialah Anita Lim Sim Wei, Teresa Lim Sim Lee, Shahrul Ariffin, R. Ramakrishnan dan Balasupramaniam.

Noor Amali menjelaskan, saat lebih memilukan apabila dia bersama rakan-rakan bertemu dengan mayat seorang ibu bersama anak perempuannya di sebatang jalan dalam keadaan bogel dan berulat.

``Mayat anak perempuannya itu pula sudah ketiadaan kaki dipercayai dilanggar kenderaan,'' katanya.

Selain itu, katanya, limpahan air laut dan cuaca panas mempercepatkan lagi keadaan mayat yang membengkak dan berulat.

``Dua penutup hidung masih gagal menghalang bau yang meloyakan, malah saya terpaksa memakai empat penutup hidung bagi menghilang bau busuk,'' ujarnya.

Sementara itu, Ramakrishnan berkata, pasukan sukarelawan berkenaan menggunakan Jalur Gemilang yang dikibarkan pada kenderaan sebagai tiket untuk bergerak bebas di kawasan kampung.

``Apabila penduduk Aceh melihat Jalur Gemilang, mereka cukup hormati kami.

``Wartawan asing sendiri turut menghormati kami apabila melihat Jalur Gemilang.

``Dengan Jalur Gemilang, kami mendapat kerjasama penuh penduduk di kawasan kampung,'' katanya.

Kawasan-kawasan itu termasuk Kampung Mataie, Lam Pisang, Tanjung Deah, Seleue, Lhokseumawe, Desa Paya dan Kerbing yang terletak antara tujuh hingga lapan kilometer antara satu sama lain.

Ramakrishnan menambah, kebanyakan mangsa tsunami yang terselamat kini mengalami trauma.

``Mereka ini takut untuk kembali ke kawasan rendah walaupun bantuan sudah tiba,'' ujarnya.
Utusan Malaysia: 8/1/05

Thursday, January 06, 2005

Terapung 9 hari di lautan hanya berbekal doa tahan lapar

Oleh: ZAINI RABAN

PELABUHAN KLANG 5 Jan. - Sembilan hari hanyut di lautan tanpa sebarang makanan tetapi masih hidup, rahsianya, mengamalkan doa menahan lapar.

Rizal Sahputra, 20, yang ditemui terapung-apung di Lautan Hindi oleh kapal Durban Bridge kelmarin, selepas kampungnya di Aceh dilanda gempa bumi dan ombak besar tsunami pada 26 Disember itu berkata:

``Saya tidak makan apa-apa. Saya membaca doa tahan lapar.''

Mangsa ombak tsunami itu juga berkata, doa itu dibacanya ketika berpaut pada sebatang pokok besar sepanjang berada di lautan tersebut.

Ketika ditemui pemberita di sini hari ini, Rizal berkata:

``Ya, saya cukup bersyukur kepada Tuhan.

Sepanjang saya di laut saya hanya melakukan solat dan hanya berdoa (kepada Allah).''

Rizal ditemui kira-kira 100 batu nautika dari pantai Aceh pada pukul 5.20 petang waktu tempatan dengan hanya memakai baju-T kuning dan berseluar pendek berwarna hijau tua.

Kapal yang membawanya, berlabuh pada pukul 7 pagi ini di Dermaga 21, Pelabuhan Utara di sini selepas jadual perjalanan asal ditunda akibat masalah tertentu.

Menceritakan pengalamannya berdepan dengan malapetaka itu, pemuda dari Banda Aceh itu berkata, dia hanya mampu melihat dari jauh keluarganya ditelan ombak ganas itu.

Rizal berkata, dia terpaksa berdepan dengan satu lagi detik menyayat hati apabila menyaksikan sendiri seorang rakannya yang sama-sama berpaut pada sebatang kayu, hilang selepas menyelam ke laut.

Kejadian itu berlaku dua hari sebelum dia ditemui oleh kapal Durban Bridge kelmarin yang belayar dari Cape Town, Afrika Selatan menuju ke Pelabuhan Utara di sini.

Rizal merupakan mangsa ombak tsunami kedua yang ditemui terapung di Lautan Hindi.

Sebelum itu, Malawati, 23, juga ditemui terapung di lautan itu dengan berpaut pada batang pokok rumbia sepanjang enam hari sebelum ditemui oleh kapal tuna Malaysia.

Ketika diminta memberi ucapan kepada keluarganya di Banda Aceh jika ditakdirkan mereka masih hidup, Rizal berkata: ``Mahu cakap apa lagi, keluarga saya sudah meninggal semua.''

Rizal yang masih keletihan dan mengalami banyak luka di kaki berkata, kejadian gempa bumi yang membentuk ombak tsunami itu berlaku dalam sekelip mata ketika dia bersama penduduk kampung termasuk ahli keluarganya sedang bergotong-royong membina sebuah masjid.

``Ketika sedang membina masjid, tiba-tiba datang anak-anak menjerit `lari ombak besar' dan Masya-Allah, saya nampak ombak besar lalu terus berlari dan menaiki sebuah bangunan dua tingkat.

``Ombak besar itu menyebabkan semua tenggelam, tinggal saya seorang sahaja. Selepas itu datang lagi ombak yang tinggi kira-kira 15 meter dan barulah saya dibawa ke laut.

``Pada masa itu saya lihat mayat di sekeliling saya. Kiri dan kanan semuanya mayat tetapi saya enggak rasa takut, cuma saya rasa... alah kalau orang tua saya sudah meninggal ya udah,'' katanya.

Ketika ditanya bagaimana boleh selamat semasa hanyut di lautan, Rizal berkata, segala yang berlaku adalah berkat doa dan kebesaran Allah.

``Saya hanya pegang pada sebatang pokok. Makan? Tak makan apa, cuma minum air kelapa. Allah telah mengizinkan saya panjang umur, ya saya panjang umur,'' katanya dalam nada sebak.

Menurut Rizal lagi, sebelum ditemui oleh kapal berkenaan, dia ternampak beberapa buah kapal lain.

Bagaimanapun kapal-kapal tersebut tidak menyedari kehadirannya kerana kedudukan kapal berkenaan agak jauh.

Rizal kini sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

Sementara itu, Penolong Pegawai Keselamatan Northport, Inspektor Polis Bantuan Abdul Rashid Harun juga berkata, bacaan doa menahan lapar

itu yang menyebabkan Rizal mampu menahan lapar ketika di lautan.

Beliau yang berkesempatan melawat mangsa sebaik sahaja kapal itu berlabuh di Pelabuhan Utara pada pukul 7 pagi ini memberitahu:

``Syukur, Alhamdulillah, Rizal selamat.

``Cuma saya nampak kesan-kesan luka di bahagian kaki dan dia kelihatan lemah tetapi Alhamdulillah dia sudah boleh berjalan.''

Abdul Rashid yang juga merupakan pegawai pertama Northport menerima maklumat mengenai penemuan Rizal itu berkata, mesej itu disampaikan oleh kapal Durban Bridge menerusi e-mel pada pukul 9 pagi, semalam.

Katanya, beliau terus menyampaikan mesej itu kepada pihak yang berkenaan seperti agen kapal, pegawai-pegawai kanan Northport serta Pusat Mencari dan Menyelamat Maritim (MRCC).

``Maklumat yang sama juga saya salurkan kepada Pusat Panggilan Pelabuhan dan menghubungi semua pegawai keselamatan bagi mengambil langkah awal untuk menyambut kehadiran kapal Durban Bridge.

``Saya juga telah dimaklumkan oleh Rizal sendiri bahawa pihak kapal telah memberi layanan baik terhadapnya dan telah memberi makanan secukupnya seperti bubur dan air minuman,'' katanya.

Utusan Malaysia : 6/1/2005

Suasana di Aceh lebih dahsyat daripada Nagasaki, Hiroshima

Daripada: ZULKEFLEE BAKAR

BANDA ACEH 5 Jan. - Sukar hendak digambarkan.

Hati kami begitu sayu, saya menitiskan air mata melihat anak-anak kecil, bayi-bayi, wanita, orang tua menjadi mayat yang tidak lagi bergerak - sudah berbau, hitam, kembung, berulat - yang sepatutnya dikafan dan dikebumikan dengan sempurna.

Kesemua mereka yang dilanda dengan gelombang maut tsunami yang melanda wilayah ini 26 Disember lalu dipercayai mati secara tiba-tiba. Berdasarkan pengamatan di bandar ini yang menjadi padang jarak padang terkukur, saya boleh bayangkan mereka tidak sempat menyelamatkan diri.

Suasananya umpama gambar-gambar keadaan selepas bom atom yang dijatuhkan di Nagasaki dan Hiroshima - malah lebih dahsyat lagi - tiada tara dengan perbuatan bangsa Amerika itu.

Kejadian ini amat menyedarkan diri kami semua, inilah perbuatan Allah kepada hambaNya - satu bayangan kiamat kecil - yang disaksikan oleh mata kita semua.

Ombak yang datang bergulung-gulung setinggi bangunan lima tingkat menyapu bersih siapa sahaja. Yang benar-benar bernasib baik sahaja yang selamat.

Di satu kampung berjumlah 30,000 dekat sini, semua generasinya hilang.

Menurut perangkaan kerajaan, kira-kira 400,000 penduduk wilayah Aceh ini mati. Jika benarlah angka itu bererti ia adalah sekitar 10 peratus daripada seluruh empat juta penduduk wilayah jolokan Serambi Mekah ini.

Tinjauan saya dan jurugambar Halim Khalid di sekitar beberapa jalan utama di pusat bandar hari ini mendapati anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) masih lagi menjalankan gerakan mencari mayat dan cebisan daging manusia.

Berdasarkan keadaan itu, orang ramai yang melalui kawasan berkenaan terutamanya di Jalan Tengku Che Pante Kulu terpaksa berhati-hati bagi mengelakkan mereka terpijak mayat atau cebisan itu.

Di jalan berkenaan, selain cebisan daging manusia, mayat-mayat mangsa yang terbunuh ada antaranya dibiarkan di pinggir jalan atau dalam bangunan yang musnah atau rosak.

Pihak tentera meneruskan usaha bagi memungut mayat-mayat di Sungai Pante Perak yang merupakan kawasan paling banyak mayat ditemui sebelum ini.

``Kami melakukan tugas dalam serba kekurangan, tapi tugas perlu diteruskan, kami harus menyempurnakan semua mayat-mayat ini,'' kata seorang askar Indonesia dari Jawa yang sudah kelihatan letih, selekeh tapi masih bersemangat.

Rakyat Aceh, yang terkenal dengan semangat juangnya meneruskan kehidupan harian dengan perasaan bercampur-aduk - kesedihan, kesayuan, sebak, keliru - satu gangguan psikologi dan jiwa yang amat menekan.

Keadaan itu berlaku memandangkan pusat bandar merupakan kawasan yang teruk dilanda bencana tsunami yang mengorbankan lebih 100,000 orang manakala berpuluh ribu lagi mengalami kecederaan termasuk kehilangan tempat tinggal.

Keadaan yang menyedihkan juga dapat dilihat apabila terdapat ratusan penduduk yang kehilangan tempat tinggal membuat khemah sementara di pinggir jalan yang sama dan di sekitar Jalan Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda.

Malah, ada antara mereka terpaksa tinggal di bangunan-bangunan kerajaan dan sekolah.

Selain itu, sebahagian besar pinggir jalan berkenaan juga turut dijadikan kubur besar bagi mengebumikan mayat-mayat yang tidak dikenali identitinya.

Penduduk juga terpaksa bergantung kepada bantuan bagi mendapatkan air bersih berikutan bekalan berkenaan sehingga hari ini tidak dapat dipulihkan.

Air bersih terlalu bernilai. Saya meminta rakyat Malaysia menghantar bekalan air bersih segera. Makanan, ubat-ubatan, selimut amat diperlukan.

Dalam perkembangan berkaitan, Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda terus sibuk dengan kemasukan pesawat asing termasuk dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa barang makanan dan ubatan serta mangsa yang tercedera.

Utusan Malaysia difahamkan, pasukan penyelamat kini dikatakan berjaya memasuki kawasan-kawasan luar bandar yang sebelum ini sulit untuk dikunjungi berikutan jalan-jalan yang rosak teruk.

Antaranya ialah di daerah Kreung Raya, Long dan Lepong di Aceh Besar serta beberapa kawasan di Pidei yang masih belum menerima bantuan.

Tinjauan Utusan di kawasan Bait dan Khaju yang sebelum ini didiami hampir 30,000 penduduk musnah sama sekali.

Sehingga ke hari ini, hanya beberapa peratus penduduk sahaja di kawasan itu berpindah ke penempatan sementara.

Esok kami akan cuma menghantar lebih banyak laporan dan gambar. Walaupun keadaannya amat sukar kerana bekalan elektrik sering terputus dan telefon satelit yang dibawa sukar dicaj, kami akan terus berusaha.

Rakyat Malaysia harus mengetahui apa yang berlaku kepada saudara mereka di sini.

Itu janji kami, di sebalik bau mayat yang terlalu menyesakkan. - Utusan

um 6/1/2005

Suasana di Aceh lebih dahsyat daripada Nagasaki, Hiroshima

Daripada: ZULKEFLEE BAKAR

BANDA ACEH 5 Jan. - Sukar hendak digambarkan.

Hati kami begitu sayu, saya menitiskan air mata melihat anak-anak kecil, bayi-bayi, wanita, orang tua menjadi mayat yang tidak lagi bergerak - sudah berbau, hitam, kembung, berulat - yang sepatutnya dikafan dan dikebumikan dengan sempurna.

Kesemua mereka yang dilanda dengan gelombang maut tsunami yang melanda wilayah ini 26 Disember lalu dipercayai mati secara tiba-tiba. Berdasarkan pengamatan di bandar ini yang menjadi padang jarak padang terkukur, saya boleh bayangkan mereka tidak sempat menyelamatkan diri.

Suasananya umpama gambar-gambar keadaan selepas bom atom yang dijatuhkan di Nagasaki dan Hiroshima - malah lebih dahsyat lagi - tiada tara dengan perbuatan bangsa Amerika itu.

Kejadian ini amat menyedarkan diri kami semua, inilah perbuatan Allah kepada hambaNya - satu bayangan kiamat kecil - yang disaksikan oleh mata kita semua.

Ombak yang datang bergulung-gulung setinggi bangunan lima tingkat menyapu bersih siapa sahaja. Yang benar-benar bernasib baik sahaja yang selamat.

Di satu kampung berjumlah 30,000 dekat sini, semua generasinya hilang.

Menurut perangkaan kerajaan, kira-kira 400,000 penduduk wilayah Aceh ini mati. Jika benarlah angka itu bererti ia adalah sekitar 10 peratus daripada seluruh empat juta penduduk wilayah jolokan Serambi Mekah ini.

Tinjauan saya dan jurugambar Halim Khalid di sekitar beberapa jalan utama di pusat bandar hari ini mendapati anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) masih lagi menjalankan gerakan mencari mayat dan cebisan daging manusia.

Berdasarkan keadaan itu, orang ramai yang melalui kawasan berkenaan terutamanya di Jalan Tengku Che Pante Kulu terpaksa berhati-hati bagi mengelakkan mereka terpijak mayat atau cebisan itu.

Di jalan berkenaan, selain cebisan daging manusia, mayat-mayat mangsa yang terbunuh ada antaranya dibiarkan di pinggir jalan atau dalam bangunan yang musnah atau rosak.

Pihak tentera meneruskan usaha bagi memungut mayat-mayat di Sungai Pante Perak yang merupakan kawasan paling banyak mayat ditemui sebelum ini.

``Kami melakukan tugas dalam serba kekurangan, tapi tugas perlu diteruskan, kami harus menyempurnakan semua mayat-mayat ini,'' kata seorang askar Indonesia dari Jawa yang sudah kelihatan letih, selekeh tapi masih bersemangat.

Rakyat Aceh, yang terkenal dengan semangat juangnya meneruskan kehidupan harian dengan perasaan bercampur-aduk - kesedihan, kesayuan, sebak, keliru - satu gangguan psikologi dan jiwa yang amat menekan.

Keadaan itu berlaku memandangkan pusat bandar merupakan kawasan yang teruk dilanda bencana tsunami yang mengorbankan lebih 100,000 orang manakala berpuluh ribu lagi mengalami kecederaan termasuk kehilangan tempat tinggal.

Keadaan yang menyedihkan juga dapat dilihat apabila terdapat ratusan penduduk yang kehilangan tempat tinggal membuat khemah sementara di pinggir jalan yang sama dan di sekitar Jalan Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda.

Malah, ada antara mereka terpaksa tinggal di bangunan-bangunan kerajaan dan sekolah.

Selain itu, sebahagian besar pinggir jalan berkenaan juga turut dijadikan kubur besar bagi mengebumikan mayat-mayat yang tidak dikenali identitinya.

Penduduk juga terpaksa bergantung kepada bantuan bagi mendapatkan air bersih berikutan bekalan berkenaan sehingga hari ini tidak dapat dipulihkan.

Air bersih terlalu bernilai. Saya meminta rakyat Malaysia menghantar bekalan air bersih segera. Makanan, ubat-ubatan, selimut amat diperlukan.

Dalam perkembangan berkaitan, Lapangan Terbang Sultan Iskandar Muda terus sibuk dengan kemasukan pesawat asing termasuk dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa barang makanan dan ubatan serta mangsa yang tercedera.

Utusan Malaysia difahamkan, pasukan penyelamat kini dikatakan berjaya memasuki kawasan-kawasan luar bandar yang sebelum ini sulit untuk dikunjungi berikutan jalan-jalan yang rosak teruk.

Antaranya ialah di daerah Kreung Raya, Long dan Lepong di Aceh Besar serta beberapa kawasan di Pidei yang masih belum menerima bantuan.

Tinjauan Utusan di kawasan Bait dan Khaju yang sebelum ini didiami hampir 30,000 penduduk musnah sama sekali.

Sehingga ke hari ini, hanya beberapa peratus penduduk sahaja di kawasan itu berpindah ke penempatan sementara.

Esok kami akan cuma menghantar lebih banyak laporan dan gambar. Walaupun keadaannya amat sukar kerana bekalan elektrik sering terputus dan telefon satelit yang dibawa sukar dicaj, kami akan terus berusaha.

Rakyat Malaysia harus mengetahui apa yang berlaku kepada saudara mereka di sini.

Itu janji kami, di sebalik bau mayat yang terlalu menyesakkan. - Utusan

um 6/1/2005

Belajar bencana dari Jepun

Oleh Aziz Ishak


Kejadian tsunami yang melanda beberapa negara Asia mengingatkan penulis kepada satu misi penghantaran bantuan dan pasukan penyelamat tentera Malaysia ke Pulau Flores, Indonesia pada Disember 1992.

Penulis turut menyertai misi itu yang diketuai oleh Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Leftenan Jeneral Datuk Mohd. Yunus Tasi yang ketika itu memandu sendiri pesawat yang membawa pelbagai barangan bantuan.

Pulau Flores musnah akibat pukulan gulungan ombak besar yang melimpah lebih 500 meter ke daratan. Sesiapa sahaja yang melihat kesan kemusnahan itu tergamam dengan serangan tsunami yang mengorbankan hampir 3,000 orang.

Penduduk Flores tidak melupakan kejadian tersebut yang masih meninggalkan trauma tetapi di wilayah persisiran pantai lain, siapa peduli dengan tsunami. Maknanya, ia bukan kejadian pertama di Indonesia mahupun Asia tetapi selepas peristiwa 26 Disember lalu yang mengorbankan 150,000 orang di beberapa negara, tsunami tidak lagi akan diambil mudah.

Di Malaysia, bencana tersebut tidak pernah terlintas pada fikiran rakyat selama ini dan ternyata ia menjadi kejutan yang bukan setakat memecahkan batas psikologi bahkan diharap mencetuskan kesedaran baru. Mesejnya, ia adalah pengajaran bernilai kepada Malaysia. Banyak yang perlu diperbaiki termasuk kemampuan segera menyalurkan bantuan secara lebih berkesan.

Inilah juga kesempatan terbaik untuk memperhebatkan budaya maritim dalam semua aspek berkaitan termasuk penyelidikan dan kesedaran terhadap perairan, yang kini pada tahap rendah.

Tetapi yang lebih penting ialah menjadikan tsunami satu lagi titik tolak baru kepada Malaysia untuk menghadapi kejutan-kejutan lebih besar selepas ini. Tidak kira kejutan ekonomi, keganasan, ombak tsunami mahupun kemungkinan satu lagi ancaman alam sekitar yang tidak pernah difikirkan - gempa bumi - meskipun Malaysia di luar lingkungan garis gempa.

Tiada yang mustahil apatah lagi dalam fenomena kemerosotan kualiti alam sekitar menjadikan bumi menghadapi apa yang dipanggil kecelaruan pada sifat hakikinya. Semua kemungkinan ancaman alam sekitar daripada jerebu sehinggalah kepada tsunami patut digariskan dalam konsep keselamatan baru. Tahap kesiapsiagaan ancaman alam sekitar ini atau Environmental Security seharusnya menjadi prioriti dalam perancangan masa depan meliputi belanjawan, orientasi mahupun unjuran.

Dalam kaitan ini, kita perlu belajar dari Jepun dalam menjadikan bencana sebagai daya lonjak supaya negara jauh lebih kuat, berjaya dan maju sebagai persediaan jangka panjang.

Masyarakat Jepun memajukan negara mereka antara lain dengan kemampuan seakan-akan untuk berdepan 100 bencana alam setahun terutamanya gempa bumi. Kemusnahan akibat bencana selalu menjadikan Jepun lebih gagah dan rakyat lebih bersatu ke arah membina sebuah negara yang bukan sahaja bermaruah bahkan paling berdikari menghadapi ancaman.

Tahun 2005 diharap permulaan terbaik untuk semua pihak menjana kecemerlangan dan pinggirkan hal-hal seperti politik picisan kerana biasanya bencana `tidak akan terlupa' untuk menguji kita lagi.

Utusan Malaysia: 5/1/2005

Trauma kanak-kanak mangsa tsunami

Oleh Sapora Sipon


Bencana tsunami menyebabkan begitu ramai kanak-kanak kehilangan ibu bapa dan tempat tinggal. Kehidupan mereka dengan sekelip mata berubah. Kini mereka terpaksa menjalankan satu kehidupan yang amat asing.

Bagi kanak-kanak yang tiba-tiba hilang tempat bermanja seperti ibu bapa, mereka akan menghadapi pelbagai kesukaran hidup. Tentu sekali, persoalan asas ialah siapakah yang akan menjaga mereka setelah kehilangan orang-orang yang paling dikasihi. Inilah senario yang berlaku kepada beribu-ribu kanak-kanak di Aceh yang tiba-tiba sahaja menjadi yatim piatu.

Keadaan menjadi lebih malang lagi apabila terdapat pihak yang tidak berperikemanusiaan yang mengambil kesempatan untuk mencari keuntungan dengan memperdagangkan mereka. Tentu sekali, sikap pihak ini kejam dan menambahkan lagi penderitaan kanak-kanak mangsa bencana ini.

Mangsa bencana akan mengalami kesan sama ada dari sudut fizikal atau psikologikal atau kedua-duanya sekali. Keadaan yang sama juga berlaku kepada kanak-kanak.

Kesan yang dialami oleh kanak-kanak akan bergantung kepada beberapa faktor. Kajian yang dilakukan oleh University of Illinios Extension Disaster Resources menjelaskan antara faktor yang akan mempengaruhi kesan yang dialami oleh kanak-kanak akibat bencana ialah sama ada persiapan telah dilakukan untuk menghadapi bencana.

Selain daripada itu faktor implikasi bencana itu terhadap masyarakat sekeliling dan setakat mana kanak-kanak itu terdedah kepada bencana akan juga menentukan tahap kesan bencana kepada kanak-kanak tersebut.

Dua perkara penting yang akan dialami oleh kanak-kanak mangsa bencana ialah (i) kesan trauma yang dialami akibat bencana dan (2) perubahan dan gangguan yang akan dilalui dalam kehidupan seharian mereka.

Dari aspek trauma yang akan dialami mengikut kajian universiti tersebut ialah seperti kesan akibat dari kehilangan dan kerosakan harta benda termasuklah kerosakan dan kehilangan rumah dan juga barang-barang kepunyaan peribadi mereka.

Trauma kanak-kanak juga boleh dialami apabila mereka mengalami kecederaan atau menyaksikan sendiri kematian.

Kesannya boleh berlaku untuk jangka masa pendek atau panjang atau kedua-duanya sekali. Yang pastinya, bencana sering meninggalkan kesan yang akan mengakibatkan perubahan dalam kehidupan harian dan kesusahan dan penderitaan dalam jangka masa panjang.

Sepertimana yang mungkin dialami oleh kanak-kanak di Aceh, perubahan dalam kehidupan yang akan membawa kepada kesukaran dalam kehidupan mereka ialah apabila tempat tinggal mereka musnah dan kehilangan ibu bapa mereka.

Ini menyebabkan kanak-kanak terpaksa dipindahkan ke tempat lain atau tinggal dengan saudara-mara atau rakan-rakan. Bertukar tempat tinggal juga memberi kesan seperti terpaksa berkongsi dan tinggal dengan rakan-rakan yang ramai. Mereka juga terpaksa belajar di sekolah yang baru. Jelasnya, kanak-kanak terpaksa menyesuaikan diri kepada persekitaran yang baru.

Kajian oleh universiti tersebut juga mendapati bahawa terdapat tanda-tanda biasa yang akan dialami oleh kanak-kanak selepas bencana.

Tanda-tanda yang biasa ialah seperti tingkah laku regresif (antaranya seperti menghisap ibu jari, sering menangis, dan terlalu bergantung kepada orang lain), kesukaran untuk tidur, mengalami mimpi buruk, kekurangan ekspresi emosi, kelihatan amat sedih, menarik diri dan lebih banyak mendiamkan diri tidak seperti biasa.

Selain daripada itu, antara tanda-tanda yang biasa dialami oleh kanak-kanak akibat bencana ialah mengadu tentang sakit kepala, sakit perut dan simptom-simptom penyakit, bersikap agresif, tidak mengikut kata dan sering kepenatan.

Seterusnya kanak-kanak yang berisiko tinggi untuk mengalami kesan selepas bencana ialah kanak-kanak yang paling terdedah kepada bencana tersebut.

Contohnya, kanak-kanak yang mengalami kecederaan atau mengalami kematian di pihak ahli keluarga.

Walaupun simptom yang dijelaskan tadi dilihat sebagai tindak balas normal bagi kanak-kanak yang mengalami bencana, kanak-kanak perlu dirujuk kepada ahli-ahli profesional untuk rawatan jika mereka menunjukkan beberapa simptom tertentu.

Kajian tersebut mendapati kanak-kanak yang menunjukkan perubahan yang luar biasa dalam tingkah laku dan diri di mana tanda-tanda ini berlanjutkan lebih daripada dua minggu memerlukan bantuan ahli profesional. Kanak-kanak yang mengugut untuk mencederakan diri dan menunjukkan tanda-tanda penderaan juga memerlukan rawatan ahli profesional. Begitu juga kanak-kanak yang tidak diberi perhatian.

Tentu sekali, berdasarkan penderitaan yang dialami kanak-kanak mangsa bencana terutama sekali kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa dan tempat perlindungan, adalah amat tidak wajar jika ada pihak yang ingin mengambil kesempatan di atas penderitaan mereka dengan memperdagangkan mereka.

Mereka amat memerlukan bantuan daripada orang ramai terutama sekali pertubuhan-pertubuhan atau badan-badan yang teratur dan sistematik yang dapat meminimumkan penderitaan yang dialami.

* Sapora Sipon ialah pensyarah Fakulti Dakwah dan Pengurusan Islam Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM).

utusan malaysia:6/1/2005

Setiap nyawa boleh diselamatkan

Oleh RAMLI ABDUL SAMAD


Kemaraan terjahan tsunami boleh diramal oleh staf kaji cuaca di mana-mana negara yang terlibat setelah berlaku gempa bumi submarin di sekitar Sumatera.

Gelombang itu mengambil masa sekurang-kurangnya tiga jam untuk akhirnya melampiaskan tenaga ke persisiran pantai.

Masa tiga jam amat memadai untuk mengevakuasikan manusia di sekitar pantai ke tempat yang lebih selamat

Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra memecat ketua pengarah kaji cuacanya kerana gagal mengeluarkan sebuah amaran tatkala gempa bumi di Sumatera dengan kekuatan 9.0 pada skala Richter pada 26 Disember 2004 lalu.

Thailand pernah dilanda tsunami 300 tahun yang lalu, tetapi ketika itu tiada lagi peralatan moden yang boleh mengesan gegaran gempa bumi.

Sekarang semua negara dalam kelompok `membangun pesat' sepatutnya memiliki sebuah agensi seperti jabatan kaji cuaca untuk bukan saja memantau perihal gerakan bumi tetapi harus memanfaatkan sesuatu fenomena gegaran, apatah lagi yang berskala tinggi untuk menyedarkan rakyat dan agar rakyat dapat diselamatkan dalam jangka waktu yang mencukupi.

Ramai di antara kita yang masih terkilan kenapa pihak kaji cuaca tidak bertindak apabila berdepan dengan gegaran berkekuatan 9.0 pada skala Richter? Takat 9.0 itu sudah dikira tinggi dan luar biasa, tetapi rewaksi kepada angka itu tidak pula luar biasa.

Apakah stafnya asyik mengambil statistik gegaran bumi sana sini saban hari, tetapi apabila gegaran mencatat angka 9.0, mereka seakan-akan tidak tahu untuk meramalkan yang satu bahaya senyap kelak akan meragut beribu-ribu nyawa?

Dr. Tad Murty di University of Manitoba, Winnipeg berkata'' Tiada sebarang sebab seorang individu itu harus terkorban dalam malapetaka tsunami.

Gelombangnya boleh diramal waktu ia sampai ke pantai dalam tempoh 3-4 jam adalah masa yang memadai untuk memberi amaran dan bertindak membuat evakuasi''.

utusan malaysia : 6/1/2005

Impak tsunami ke atas pertumbuhan ekonomi

Oleh Amran Ahmad (Wartawan Utusan)


USAHA menentukan jumlah kerugian yang dialami oleh kesemua 11 negara di rantau Asia yang dilanda ombak besar adalah sukar.

Hal ini diakui sendiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dipetik sebagai berkata, kerajaan memerlukan masa untuk membuat taksiran terperinci terhadap kerugian yang dialami oleh mangsa-mangsa tsunami.

``Orang ramai tidak perlu mempersoalkan sebab-sebab kerajaan belum mengagihkan wang sumbangan daripada pelbagai pihak kepada mangsa bencana 26 Disember lalu,'' jelas Najib.

Apa pun, soal kerugian ini adalah suatu aspek yang kecil jika dibandingkan dengan kesan ekonomi akibat ombak besar tsunami yang setakat hari ini dilaporkan telah meragut lebih 145,000 nyawa.

Di peringkat serantau, ekonomi Sri Lanka dijangka terjejas paling teruk manakala industri pelancongan Thailand pula terpaksa bangkit semula selepas mengalami kemerosotan akibat ancaman wabak sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dan kekacauan politik di wilayah selatan negara itu.

``Secara keseluruhan, ekonomi Asia akan hanya mengalami masalah untuk tempoh singkat ekoran bencana itu dan tidaklah sehingga menjadi faktor penyekat kadar pertumbuhan ekonomi,'' ujar ahli ekonomi JP Morgan Chase, Lian Chia Liang.

Ujar beliau, setakat ini saham sebilangan kecil syarikat pelancongan jatuh dan pasaran saham Thailand merosot sebanyak 1.6 peratus, tetapi mata wang baht Thailand dan rupiah Indonesia hanya jatuh sedikit sahaja, manakala pasaran saham Bombay naik 0.6 peratus.

Bagi peringkat tempatan pula, seorang penganalisis pasaran dari sebuah bank terkemuka tanah air berpendapat, bencana yang melanda hanya melibatkan negeri-negeri di bahagian utara Semenanjung Malaysia.

``Bencana tsunami ini tidaklah dijangka sampai ke peringkat untuk menyekat pertumbuhan ekonomi Malaysia, malahan mungkin sedikit sahaja terjejas dalam soal perdagangan serantau akibat pengurangan perbelanjaan kerajaan serta penduduk di kawasan yang terkena bencana itu,'' katanya lagi.

Beliau berkata, pasaran saham tempatan juga masih menjadi tarikan kepada pelabur asing dan tempatan, walaupun jumlah kematian akibat bencana itu terus meningkat.

Pendapat itu selaras dengan jangkaan pakar runding pelaburan antarabangsa, Morgan Stanley yang mengekalkan unjuran pertumbuhan Malaysia dan Indonesia bagi tahun ini, masing-masing sebanyak 4.8 peratus dan 4.5 peratus.

Morgan Stanley, walau bagaimanapun, telah menurunkan sedikit unjuran pertumbuhan ekonomi Thailand sebanyak 0.3 mata peratusan kepada 5.7 peratus.

Kata firma itu, Malaysia dan Indonesia agak tidak terjejas, meskipun apa yang pasti ia merupakan bencana terdahsyat sepanjang kehidupan manusia yang setakat ini telah mengorbankan banyak nyawa.

Dalam perkembangan yang sama, Naib Presiden Urusniaga Mayban Securities Sdn. Bhd., Wan Ahmad Satria Wan Hussein berpendapat, sehingga hari ini, rantau Asia Tenggara masih lagi menjadi lokasi pelaburan tumpuan pengurus dana asing.

Sambil menekankan bahawa ekonomi serantau terutamanya Malaysia hanya menerima impak negatif daripada bencana itu, beliau berkata, bencana yang berlaku hanya akan melibatkan sektor pelancongan dan penerbangan.

``Itu pun hanya seketika dan beberapa kawasan sahaja kerana tsunami tidak `menyerang' lokasi yang menjadi tempat tumpuan pelabur dan pedagang atau pusat pertumbuhan ekonomi seperti kawasan perkilangan,'' jelasnya.

Tambah beliau, pasaran saham tempatan juga tidak terkena `tempias' bencana itu kerana masih kukuh di paras melebihi 900 mata sehingga kini, dan dijangka terus melonjak ke paras melebihi 1,050 mata dalam masa antara empat hingga lima bulan lagi.

Ditanya mengenai prestasi eksport, ujarnya, Malaysia merupakan negara yang mempunyai fundamental yang sangat kukuh dan mampu `berdikari' kerana bergantung kepada penggunaan dalaman sebagai enjin utama pertumbuhan ekonomi.

Justeru, jumlah eksport yang menurun tidak akan menjejaskan pertumbuhan yang disasarkan, jelasnya.

Tambahan pula, kebanyakan daripada kawasan yang terlibat dalam bencana tsunami ialah kawasan pelancongan atau pantai negara-negara terbabit dan tidak menjejaskan eksport Malaysia dalam beberapa sektor utama seperti elektronik dan elektrik.

Bencana itu, jika dilihat dari aspek positif pula, akan memberi peluang kepada ketua-ketua negara di rantau ini untuk mengeratkan kerjasama dan persefahaman menerusi pemberian bantuan dan saling bergandingan untuk memperbaiki keadaan.

Utusan Malaysia :: 6/1/2005

Anjakan minda pasca-tsunami

Selepas satu minggu peristiwa tsunami melanda Malaysia dan merata tempat di seluruh dunia, masih ada yang kehilangan ahli keluarga walaupun sebahagian besarnya sudah ditemui sama ada mati, dirawat di hospital ataupun masih bergelut dengan nyawa di unit penjagaan intensif hospital.

Usaha mencari masih diteruskan oleh pelbagai pihak walaupun hakikat mereka yang masih bersabung dengan nyawa amat tipis sekali. Tsunami yang berlaku akibat gerakan tanah dan laut dari gempa bumi yang melanda Sumatera sebenarnya suatu kejadian alam yang tidak pernah diimpi akan berlaku di negara kita. Walaupun begitu, banyak nyawa yang terkorban yang angka sebenarnya akan terus menjadi misteri.

Apakah yang harus dilakukan kini iaitu dalam tempoh masa pasca-tsunami Asia!

Apakah mungkin bilangan yang terkorban itu sebenarnya merupakan pejuang keamanan untuk keselamatan berbilion nyawa di dunia ini. Sejak kebelakangan ini, banyak peristiwa berlaku akibat tindakan manusia sendiri yang dianggap seolah-olah mahu menjadi `Tuhan', melangkaui batasan-batasan tertentu yang tidak bersifat kemanusiaan sama sekali. Pasca-tsunami melihat bagaimana gencatan senjata boleh mengambil tempat di Aceh, perbalahan etnik di Sri Lanka di antara kumpulan Singhala dan gerila Tamil dan pertembungan keagamaan dapat dielakkan untuk bersama-sama menyelamat dan membantu mangsa ancaman yang maha dashyat ini.

Kesemua pihak tanpa mengira kelas, agama, bangsa dan warna kulit menjadi mangsa `taufan pelabuhan', terjemahan dari tsunami (perkataan Jepun) dan hari ini kita melihat bagaimana manusia dari kategori yang sama saling bantu-membantu di antara satu sama dengan matlamat yang satu - Satu Negara, Satu Masa Depan.

Kemuafakatan ini harus diikat menjadi kukuh, bukan sekadar menunggu bala melanda dan hanya memperlihatkan kematangan fikiran sewaktu bencana itu. Di Malaysia, kita masih menunggu untuk melihat kerjasama dari pihak atau parti yang bertentangan ideologi untuk bersama menangani bala ini.

Masing-masing menggunakan kapasitinya untuk membantu mangsa. Adalah wajar kesemua pihak, parti politik terutamanya tanpa mengira sama ada penyokong kerajaan ataupun tidak membuat gerakan bersama agar kerahan tenaga itu dapat memantapkan lagi struktur atau jentera mencari, menyusun semula kedudukan mangsa tragedi ini, tanpa menuding jari mencari kesalahan.

Ketepikan perbezaan pendapat atau pegangan untuk bersama-sama meringankan beban mangsa dan membentuk pelan tindakan yang bersifat menyeluruh.

Inilah mesej tsunami - penghuni bumi harus bersama-sama menangani apa sahaja dugaan tanpa mengira kelas, status, agama dan bangsa, jangan alpa dengan kehidupan yang bersifat sementara.

Sahsiah dan amalan kerohanian mesti dipertingkatkan. Perbezaan agama tidak harus menidakkan bantuan, malahan menerima sesuatu bantuan itu wajar dikongsi bersama. Yang kaya, seharusnya murah hati, yang miskin, tabahkan hati.

Ini juga merupakan peringatan kepada generasi muda. Walaupun seronok bermain futsal, menghantar sms dan minum kopi di Starbucks, mendengar musik R&B dan menari seperti penyanyi Barat, pegangan keagamaan jangan sekali-kali dilupakan. Ia tidak akan dikompromi.

Nilai moral harus dijaga di dalam arus peredaran zaman. Wanita, kanak-kanak dan bayi yang terkorban sebenarnya merupakan insan yang paling bermaruah - pejuang keamanan dunia. Mereka terkorban untuk meninggalkan mesej supaya yang masih selamat, jangan leka dengan kehidupan.

Laungan nyanyian simpati ke atas mangsa sebenarnya merupakan laungan ikhlas bersama, elak rasa benci yang berlebihan dan bantulah mereka yang memerlukan. Ramai yang menjadi mangsa merupakan mereka yang daif dan miskin. Bantu untuk mereka terus hidup. Proses pemulihan pasti memakan masa. Pihak berkuasa harus memastikan kemudahan asas dan prasarana yang akan dibina akan mengubah gaya hidup masyarakat di tempat berlakunya tragedi.

Beberapa langkah di masa hadapan juga harus diambil supaya jika ia berlaku sekali lagi, kita bersedia. Mungkin dewan serbaguna dengan kelengkapan peralatan keselamatan boleh dibina, begitu juga dengan hospital bergerak misalnya. Penempatan sementara bagi mangsa juga harus disediakan dengan pemantauan yang berterusan.

Mereka boleh diminta bekerja sementara di agensi-agensi bergantung kepada kebolehan mereka supaya motivasi tidak tergugat atau mula merasa tertekan dengan segala dugaan. Jangan biarkan pihak tertentu memanipulasi insiden ini untuk kepentingan diri. Wakil rakyat di kawasan terlibat wajar memain peranan mereka dengan lebih efektif kerana Perdana Menteri dan menteri mempunyai tanggungjawab yang besar dan tidak mampu untuk memantau setiap masa.

Pengorbanan adik Junaydi Baharuddin yang berumur 10 tahun untuk menderma kesemua wang simpannya wajar dijadikan iktibar dan dorongan untuk tampil dan bantu. Pihak berkuasa juga mesti memastikan mangsa mendapat bantuan secepat mungkin.

Biarlah tahun 2005 bermula sebagai secara satu pengajaran ke arah kehidupan masyarakat cemerlang, masyarakat kelas satu di sebuah negara kelas pertama, masyarakat yang berganding bahu untuk kesejahteraan masa depan. - Dr. Sivamurugan Pandian, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM).

Utusan Malaysia :: 6/1/2005

Saturday, January 01, 2005

Tsunami ubah tanggapan

MUKADIMAH

Fenomena gempa bumi yang berpusat di lautan dan menyebabkan gelombang ombak besar tsunami melanda rantau Asia merupakan yang terburuk dalam tempoh 40 tahun.

Ahad lalu gelombang ombak besar terjadi di sekitar Lautan Hindi apabila gegaran sekuat 6.0 hingga 9.0 pada skala Richter yang berlaku di kawasan seluas 250 kilometer ke barat daya Sumatera telah mengorbankan lebih 100,000 orang di selatan Asia dan sebahagian Afrika.

Kejadian terburuk yang amat jarang sekali berlaku di rantau ini amat memeranjatkan dan sepatutnya menjadi titik tolak kepada perubahan paradigma berhubung tanggapan bahawa Malaysia bebas daripada bencana besar.

Wartawan Utusan, LAUPA JUNUS dan KHAIRUNNISA SULAIMAN mendapatkan pandangan beberapa pakar bagi membincangkan tragedi berkenaan dan persediaan menghadapinya pada masa akan datang.


Tidak ramai daripada kita mengenali apa dia fenomena tsunami, sehinggalah ombak besar itu membawa bencana alam baru-baru ini.

Tsunami hanyalah sebahagian daripada bencana alam.

Terdapat banyak bencana alam tetapi tiga kejadian besar ialah gempa bumi, letupan gunung berapi dan taufan.

Tsunami boleh berlaku akibat daripada gempa bumi, letupan gunung berapi atau gelungsuran yang berlaku di dasar laut.

Mungkin gempa bumi dan gunung berapi tidak berlaku di negara kita tetapi kesannya dapat menimpa Malaysia sekiranya terjadi di negara jiran.

``Tetapi kita di Malaysia sejak awal lagi, telah ada pemahaman sendiri bahawa kita bebas daripada bencana alam.

``Apabila berlaku bencana kecil seperti tanah runtuh, selalu dianggap ia kejadian sekali sahaja atau kes terpencil,`' kata Pengarah Institut Pembangunan dan Alam Sekitar (Lestari), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Ibrahim Komoo.

Bagaimanapun, rakyat Malaysia sepatutnya mengubah paradigma tersebut memandangkan sejak 10 tahun kebelakangan, beberapa kejadian tanah runtuh yang besar berlaku dan terbaru dilanda ombak besar tsunami.

Oleh itu, Malaysia bukan kawasan yang bebas bencana, kata Ibrahim.

Pakar kejuruteraan geologi atau kaji bumi itu berkata, walaupun Malaysia bukan dalam lingkungan kawasan berlakunya bencana, tetapi terdedah kepada bencana disebabkan kita terletak dalam kawasan laut terbuka.

Justeru bencana seperti ombak besar dan angin taufan dari kawasan luar boleh melanda negara bila-bila masa seperti yang dibuktikan oleh fenomena tsunami.

Malah katanya, kira-kira 25,000 tahun dahulu, sebuah gunung di Tawau, Sabah pernah meletup.

``Sehubungan itu, kemungkinan dia berlaku (meletup) akan datang, adalah tidak mustahil,'' katanya.

Perubahan paradigma kata beliau penting sebagai langkah berjaga-jaga dan sikap kewaspadaan yang tinggi terhadap apa juga yang berlaku di luar Malaysia kerana ia boleh membawa kesan kepada negara.

Katanya, sebuah institusi perlu diwujudkan bagi memantau sebarang perkembangan berkaitan bencana yang berlaku di luar negara bagi membolehkan pengawasan dan pemantauan dilakukan.

Pada masa sama, institusi tersebut dapat menghimpunkan kepakaran dalam pelbagai bidang berkaitan bencana alam yang akan menilai dan meneliti setiap rekod bencana yang diterima.

Pada masa ini hanya Jabatan Kaji Cuaca yang dipertanggungjawabkan berhubung bencana yang berlaku tetapi timbul masalah bagaimana jabatan berkenaan memanfaatkannya.

Ini kerana katanya, anggapan bahawa Malaysia bebas daripada beberapa bencana di luar negara menyebabkan rekod tersebut dijadikan maklumat simpanan sahaja dan bukan maklumat tindakan.

``Akibatnya, apabila tsunami berlaku, kita memang tidak bersedia mengambil tindakan susulan yang boleh meminimumkan kesan bencana,'' katanya.

Sebagai contoh kata beliau, berdasarkan rekod, gempa bumi yang menyebabkan tsunami Ahad lepas, dikatakan berlaku kira-kira pukul 9 pagi dan ombak besar tersebut tiba tiga jam kemudian ke pesisir pantai barat Semenanjung Malaysia.

Ini memberi peluang kepada amaran awal disebarkan kepada penduduk yang berada di kawasan terdedah kepada ancaman.

Mengenai tsunami baru-baru ini, Ibrahim berkata, ia berlaku kerana gempa bumi di dasar laut di Lautan Hindi.

Kata beliau, secara umum, apabila berlaku gempa bumi, ada tiga perkara akan berlaku iaitu:

i) Rekahan permukaan atau dalam istilah geologi dikenali sebagai sesaran. Ia berlaku di tempat kejadian atau juga dikenali sebagai pusat gempa.

Ia satu fenomena yang tidak boleh dihalang dan boleh menyebabkan bangunan runtuh sekiranya terdapat struktur di lokasi tersebut.

ii) Gegaran-Ia boleh merebak dan dirasai dalam lingkungan garis pusat sehingga beberapa ratus kilometer dari pusat gempa. tersebut

Menurut Ibrahim, kadangkala gegaran boleh dirasai dalam lingkungan antara 200 dan 500 kilometer.

Gegaran semakin kecil bagi kawasan semakin jauh tetapi kadangkala meruntuhkan struktur bangunan atau tanah kerana frekuensinya yang pantas.

Gegaran

Kata beliau, catatan saintis geologi menunjukkan bahawa tidak kurang 500,000 gegaran berlaku setiap tahun di seluruh dunia iaitu di kawasan Lingkaran Api Pasifik tetapi kebanyakan magnitudnya agak kecil dan tidak dapat dirasai.

iii) Tsunami-Berlaku kerana pelepasan tenaga daripada dua struktur yang bergeser iaitu kepingan lautan (batu di dasar laut) yang menjunam masuk ke kepingan benua atau daratan.

Gerakan kepingan batu lautan setebal kira-kira 30 kilometer yang menjunam masuk ini dihalang oleh kepingan benua tetapi apabila ia berjaya merempuh halangan tersebut, pelepasan tenaga berlaku. Tenaga yang dibebaskan ini memampatkan air laut menyebabkan berlakunya ombak besar.

Ombak besar ini dinamakan ombak kelautan kerana ia bukan berpunca daripada tiupan angin seperti lazimnya ombak di permukaan laut.

Tsunami merupakan bahasa Jepun bermaksud ombak pelabuhan dan ia digunakan sebagai istilah khusus untuk menggambarkan ombak besar.

Ia disebut tsunami kerana dibincangkan secara saintifik di Jepun, negara yang juga dilanda ombak tersebut.

Ombak ini menurut Ibrahim sangat besar dan boleh berkelajuan mencapai 800 kilometer (km) sejam.

Menurut Ibrahim, berdasarkan rekod yang berlaku di Indonesia, ombak tsunami boleh mencapai ketinggian sehingga 35 meter.

Ombak tsunami yang melanda negara baru-baru ini berpusat di Lautan Hindi iaitu kepingan lautan (Hindi) menjunam masuk ke kepingan Sunda (Sumatera).

Oleh kerana dihalang oleh Pulau Sumatera, Malaysia bernasib baik kerana kekuatan ombak diminimumkan oleh halangan pulau tersebut.

Dalam pada itu beliau memberitahu, fenomena kepingan lautan tersebut antara punca peta dunia berubah.

Proses tersebut yang berlaku melibatkan hanya pergerakan kira-kira lapan milimeter setahun bagaimanapun mengubah kedudukan atau menenggelamkan pulau-pulau.

Pergerakan ini berlaku kerana sifat semula jadi Bumi yang dinamik.

Satu ketika, benua kecil India terasing dengan selatan Asia tetapi apabila berlaku pergerakan kepingan bumi secara berterusan, India bercantum dengan Asia

Pergerakan berterusan ini menjadi punca pembentukan Banjaran Himalaya dan gempa bumi.

Berdasarkan rekod, kira-kira 280 juta tahun dahulu, benua Afrika dan benua Amerika Selatan mungkin bercantum, manakala Pulau Langkawi terletak berhampiran dengan Australia.

Sementara itu, berdasarkan rekod gempa bumi yang besar, China antara yang terawal menerima kesannya yang membunuh kira-kira 6,000 orang.

Tragedi ini berlaku 70 tahun Sebelum Masihi.

Selepas itu, lebih 40 gempa bumi besar dicatatkan di seluruh dunia tetapi magnitudnya yang paling besar ialah di Chile (1960) dan Alaska (1964) iaitu masing-masing berukuran 8.5 dan 8.6 skala Richter.

Bermakna, magnitud gempa bumi yang menimbulkan tsunami baru-baru ini adalah yang terbesar dalam sejarah yang direkodkan manusia kerana ia mencapai 9 pada skala Richter.

Dua gempa bumi besar yang menyebabkan tsunami ialah pada 1896 di Jepun yang mengorbankan 22,000 orang dan di Alaska tetapi hanya mengorbankan 131 orang.

Pada 1883 pula, ombak tsunami yang berpunca daripada letupan gunung berapi Krakatoa di Indonesia antara yang terbesar dan membunuh ramai mangsa di Jawa.

Sementara itu, pensyarah di Jabatan Geologi, Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Mohd. Ali Hasan berkata, struktur bumi di sekitar Lautan Hindi tidak aktif dan tidak menunjukkan tanda-tanda akan berlakunya sebarang gempa bumi yang besar terutama di bawah aras laut.

``Itulah antara sebab utama amaran awal tidak dapat dikeluarkan kerana tiada siapa menduga kejadian sebegitu buruk akan berlaku,'' katanya.

Sebelum ini bencana yang sebegini besar memang tidak pernah berlaku atau direkodkan dalam sejarah.

``Walaupun demikian rekod menunjukkan terdapat lebih kurang 30,000 gegaran berlaku di sekitar Lautan Hindi dan Lautan Pasifik sekitar 1961 hingga 1967,'' katanya lagi.

Gegaran berkenaan menurut Mohamad Ali adalah kecil dan tidak dapat dirasai serta tidak memberikan sebarang kesan kepada struktur bangunan.

Bagaimanapun gempa yang berasal daripada dasar lautan amat jarang berlaku dan jika berlaku, ia akan memberikan impak yang besar.

Gempa bumi yang berlaku bawah permukaan laut pernah direkodkan bermula 0 kilometer sehingga 700 km bawah laut.

``Semakin dalam gempa yang berlaku, semakin kuat kesannya dan gempa yang berlaku baru-baru ini hanya 40 km di bawah paras bumi,'' katanya.

Menurut Mohamad Ali, gempa bumi yang berlaku di dasar laut akan mengakibatkan gelombang ombak besar dan menyebabkan pelbagai kerosakan besar di kawasan tepi pantai.

``Biasanya pertembungan antara benua lautan dan daratan (dua jisim berlainan) akan menghasilkan kekuatan yang amat luar biasa.

``Pertembungan berkenaan akan menghasilkan gegaran kuat di lautan yang kemudiannya dijelmakan dalam pepejal.

``Kemudian tenaga disebarkan kepada jisim air yang membentuk serakan dan apabila sampai ke pantai menghasilkan gelombang besar dan dengan cepat menghempas pantai dan memusnahkan apa saja yang ada di depannya,'' katanya.

Biasanya sesuatu perkara yang jarang berlaku akan menghasilkan magnitud lebih kuat berbanding gegaran yang berlaku di daratan yang lebih kerap tetapi magnitud rendah kerana tenaga kurang.

Makin jauh pusat gempa di bawah paras laut semakin kuat gelombang yang dihasilkan di permukaan.

Menurut Mohamad Ali, gegaran berkenaan dapat dirasai hingga ke India, Sri Lanka dan sebahagian benua Afrika mungkin kerana dipengaruhi oleh arah dan kelajuan tiupan angin.

Biasanya terdapat beberapa siri gegaran selepas gempa bumi dan akan stabil dalam masa satu atau dua minggu.

Ada kalanya beberapa tempat mungkin mengalami gegaran kuat di daratan dan menghasilkan kemusnahan besar seperti di California, Amerika Syarikat.

Ini berlaku apabila ada zon sesar di mana lapisan bumi akan bergesel antara satu sama lain dan ada rekahan.

Tetapi mengapakah gegaran tidak dapat diramalkan lebih awal?.

Mohamad Ali berkata, ketiadaan sistem amaran pemantauan seismik di sekitar Lautan Hindi berbanding Lautan Pasifik seperti sekitar Jepun menyebabkan amaran awal tidak dapat dikeluarkan.

``Mungkin kerana fenomena berkenaan tidak pernah berlaku di sekitar Lautan Hindi.

``Bagaimanapun kita harus mengambil iktibar mengenai apa yang telah berlaku walaupun negara terletak jauh dari Lingkaran Api Pasifik,'' katanya.

Mohamad Ali menambah, langkah-langkah sewajarnya perlu diambil kerana apa yang berlaku menunjukkan negara telah mula mendapat kejadian alam luar biasa yang lebih kerap berbanding tahun 60-an.

Mohamad Ali berkata sudah tiba masanya kerajaan mewujudkan geohazard centre (pusat pemantauan malapetaka alam).

``Pusat berkenaan diwujudkan bukan saja untuk memantau kejadian seperti tsunami tetapi juga kejadian lain seperti banjir, tanah runtuh dan jerebu supaya amaran awal boleh diberikan,'' katanya.

Kerajaan boleh memanfaatkan kepakaran tempatan dan pusat gempa bumi sedia ada dengan mewujudkan rangkaian dengan baik.

Mungkin pengesanan awal telah dirasakan oleh pusat gempa bumi yang ada di negara maju tetapi tidak mempunyai mekanisme untuk menyampaikannya kepada penduduk.

Pihak berkuasa pula perlu mendapatkan kesahihan mengenai sesuatu maklumat sebelum menyebarkannya kepada orang ramai.

Bagi mengatasi masalah berkenaan pusat kaji cuaca perlu meluaskan khidmat seismologi dengan kaedah lebih baik dan ini perlu dilakukan segera.

Utusan Malaysia::1Januari 2005